Bunga Raya

Identiti sesebuah negara berdaulat

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA 



LELAKI itu leka memetik daun-daun kuning pada pokok berwarna merah terang itu, tangannya pantas mengutip bunga-bunga yang berguguran di atas tanah. Sesekali matanya meliar memerhatikan keadaan daun, bunga dan batang pokok, bimbang ia tidak cukup baja atau air atau paling tidak diserang kulat dan serangga yang boleh membantutkan tumbesarannya.

Tumpuannya sedikit terganggu apabila melihat kelibat dua pelancong asing yang sedang membelek beberapa spesies pokok bunga perlbagai warna yang menghiasi taman itu.

Salah seorang daripadanya kemudian mengeluarkan kamera dan merakamkan beberapa keping gambar sebagai kenang-kenangan.

Zainee Yusop tersenyum sendirian. Terbit sedikit perasaan bangga di dalam dirinya apabila melihat mereka teruja melihat keunikan dan keindahan bunga yang diiktiraf sebagai bunga kebangsaan itu.

Dia mengimbau detik-detik awal ketika bekerja di Taman Bunga Raya Kuala Lumpur sekitar awal tahun 90-an dahulu.

Zainee akui tidak banyak yang diketahui mengenai bunga berkelopak lima itu. Hampir setahun juga dia mengambil masa untuk mempelajari teknik penanaman dan penjagaannya.

“Sejak itu, saya mula jatuh cinta kepada bunga raya. Sifat, karakter dan variasinya yang unik berbeza daripada bunga-bunga lain yang terdapat di negara ini,” bicara lelaki berusia 44 tahun itu.

Ujarnya, disebabkan minat yang mendalam, dia dan kakitangannya sanggup menjelajah dari utara sehingga selatan tanah air untuk mengumpulkan beberapa spesies bunga raya khususnya yang sukar dijumpai di negara ini.

Di samping itu, terdapat juga beberapa spesies pokok bunga raya yang diimport sebelum dibiakkan di taman itu melalui teknik keratan batang, cantuman mata tunas, tut dan tisu kultur.

“Ketika itu, terdapat lebih 5,000 pokok bunga raya di tanam di sekitar taman ini membabitkan berpuluh-puluh spesies tempatan dan hibrid.

“Kami semua sanggup bersengkang mata setiap hari demi memastikan keceriaan dan kekemasannya sentiasa terpelihara, lagi pun ia adalah satu-satunya taman seumpamanya di negara ini,” katanya yang bertugas sebagai pembantu pertanian di taman itu.

Zainee memberitahu, sejak pembukaannya, taman itu sentiasa dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.

“Mereka teruja untuk melihat keunikan dan keistimewaan bunga ini dengan lebih dekat, apatah lagi dengan statusnya sebagai bunga kebangsaan.

“Di samping melakukan tugas-tugas hakiki, kami juga bertanggungjawab menjadi duta kecil dalam mempromosikan bunga raya kepada mereka,” katanya.

Khasiat bunga raya

Jelas Zainee, bunga raya tidak sekadar menjadi penghias landskap di taman atau pagar rumah semata-mata tetapi juga mempunyai khasiat dan kegunaan yang lain yang tidak ramai mengetahuinya.


CETAKAN bunga raya yang terletak di belakang sekeping duit syiling.

 


“Misalnya, Hibiscus sabdariffa atau lebih dikenali dengan nama Roselle boleh dijadikan sirap, jem dan halwa. Sementara itu, daun bunga raya putih pula boleh digunakan untuk menyejukkan badan serta menghitam dan melebatkan rambut,” katanya.

Terletak di kawasan seluas 0.9 hektar di Taman Tasik Perdana, Taman Bunga Raya Kuala Lumpur dibuka pada 16 Oktober 1989 di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bertemakan bunga raya, kawasan sekitarnya juga turut dilengkapi galeri khas untuk pameran di samping kemudahan-kemudahan awam seperti parkir, surau, tandas dan tempat duduk.

Timbalan Pengarah Jabatan Seni Taman dan Kawalan Pembersihan Bandar DBKL, Muhammad Abd. Latif berkata, pembukaan taman itu bertujuan mendedahkan masyarakat terhadap keistimewaan bunga raya.

“Ia berkonsepkan dua dalam satu iaitu kawasan riadah kepada warga kota di samping menerapkan elemen pembelajaran. Mereka yang berkunjung ke sini berpeluang mengenali dan melihat keunikan dan kepelbagaian spesies di dalamnya.

“Secara tidak langsung, ia menerbitkan perasaan bangga terhadap bunga itu dan menggalakkan mereka menjadikannya sebagai tanaman hiasan di rumah,” katanya.

Tambah Muhammad, DBKL sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa di samping melakukan pelbagai aktiviti seperti Rakan Taman, pameran dan sebagainya dalam usaha memartabatkan bunga raya sebagai kebangsaan.

Bunga kebangsaan

“Selain di taman ini, DBKL turut menjadikannya sebagai penghias landskap di sekitar bandar raya, misalnya di Parlimen,” katanya.

Bunga raya yang menjadi bunga kebangsaan dikenali sebagai hibiscus rosa-sinensis. Ia juga dikenali mawar China, bunga sepatu atau kembang sepatu dari keluarga Malvaceac.

Bunga ini yang mengandungi 200 hingga 300 spesies ditanam secara meluas sebagai tanaman hiasan di seluruh kawasan tropika dan separa tropika. Bunganya besar, merah, keras, tetapi tidak berbau.

 

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang mengambil gambar di Taman Bunga Raya.

 

 


Pelbagai kultivar, varieti dan hibrid dihasilkan dengan warna bunga pelbagai daripada putih kepada kuning dan kuning bata dan merah jambu lembut, dengan kelopak set tunggal dan berganda.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertanian diarah mencadangkan bunga sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan.

Pada akhir tahun 1958, Kementerian Pertanian mencadangkan tujuh jenis bunga iaitu bunga kenanga, bunga melor, bunga teratai, bunga cempaka, bunga tanjung, bunga mawar dan bunga raya.

Selepas perbincangan, pada 28 Julai 1960, bunga raya telah diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Polisi, Universiti Teknologi Mara, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, proses memilih dan menentukan bunga kebangsaan adalah satu perkara sukar kerana bunga dipilih perlu berdasarkan cita rasa seluruh rakyat dan falsafah yang mendasari kewujudan sesebuah negara.

Katanya, beberapa negara di dunia menjadikan bunga bagi menggambarkan satu identiti sesebuah negara yang berdaulat. Di Jepun misalnya, terkenal dengan bunga sakura, England dengan bunga ros dan Belanda tersohor dengan bunga tulip.

Bunga raya juga tidak kurang hebatnya, ia merupakan bunga kebangsaan bagi Korea Selatan (Hibiscus syriacus) manakala Hawaiian Hibiscus (Hibiscus brackenridgei) merupakan bunga kebangsaan di Hawaii.

“Pemilihan bunga raya sebagai lambang kebanggaan negara kerana beberapa sifatnya yang unik. Warnanya yang merah dan terang melambangkan keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian menempuh cabaran.

“Selain itu, sifatnya yang memiliki lima kelopak dikaitkan dengan lima prinsip Rukun Negara manakala kepelbagaian bunga raya dari segi bentuk, warna dan ukurannya melambangkan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya yang hidup dalam harmoni,” jelasnya.

Populariti merudum

Sejak itu, bunga raya menjadi simbol kemegahan rakyat Malaysia digunakan sebagai simbol logo, lencana, bendera dan setem malah turut diterjemahkan pada wang kertas dan syiling Malaysia.


PANORAMA indah dengan kehijauan pokok-pokok di Taman Bunga Raya, Taman Tasik Perdana.

 


Sejak tahun 2007, bunga raya telah diangkat sebagai warisan kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara.

Di bawah kategori objek warisan ketara, bunga raya diletakkan sebaris dengan objek warisan kebangsaan lain seperti Jalur Gemilang, Manuskrip Sejarah Melayu, Hukum Kanun Melaka, Manuskrip Hikayat Hang Tuah dan Watikah Perisytiharan Kemerdekaan.

Pada 28 Julai tahun lalu genaplah 50 tahun status bunga raya sebagai bunga kebangsaan. Namun di sebalik kedudukannya yang gah itu, popularitinya dilihat semakin merudum berbanding dua dekad lalu.

Mengulas isu tersebut, Ramlah berkata, ia disebabkan sikap ambil mudah dan semangat kebangsaan yang semakin terhakis khususnya di kalangan generasi muda pada hari ini.

Katanya, kebanyakan mereka tidak mengetahui sejarah dan kepentingan bunga raya sebagai bunga kebangsaan.

“Bunga orkid, mawar, carnation dan lain-lain bunga lebih digemari dan dihias di rumah, pejabat, kedai dan hotel dan di majlis-majlis rasmi mahupun tidak rasmi,” katanya.

Sehubungan itu, usaha perlu dilakukan bagi menyemarakkan kecintaan terhadap bunga raya terutama di peringkat kanak-kanak.

“Kempen-kempen perlulah berterusan, pada masa yang sama penggunaan imej bunga raya pada kain rentang dan buku atur cara majlis perlu diperluaskan.

“Bagi pihak kerajaan pula, bunga raya seharusnya dijadikan tanaman hiasan utama di kawasan bandar, pejabat dan sebagainya. Pada masa yang sama, kajian juga perlu dilakukan dalam mengkomersialkannya, sekali gus mengembalikan nostalgia masyarakat terhadap bunga ini,” katanya.

About these ads

Posted February 11, 2011 by Keluarga82 in Berita

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 40 other followers

%d bloggers like this: