Transformasi tanaman padi bukit

Oleh AMRIZAN MADIAN


PASANGAN Bonnie Mbuh Udal dan Raoh Gangkum dari Kampung Gahat Mawang meneliti padi bukit yang telah matang dan sedia dituai.


 

PADI bukit sememangnya diakui menghasilkan beras yang berkualiti tinggi. Menyedari akan potensi penanaman padi bukit yang menghasilkan beras lebih baik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melaksanakan projek percubaan meningkatkan potensi hasil padi bukit di Kampung Gahat dan Kampung Sepadah Bau di Sarawak.

MARDI cuba menyuntik pelbagai teknologi baru dalam penanaman padi bukit di Sarawak yang biasanya dilakukan di kawasan lereng bukit dan kawasan tanah beralun. Petani padi bukit juga kebiasaannya menjalankan pertanian secara berpindah-randah dengan kaedah tebang dan bakar hutan.

Ketua projek tersebut Dr. Sariam Othman berkata, projek yang dilaksanakan itu melibatkan transformasi teknologi dalam penapakan tanaman, pengurusan pembajaan, pengurusan rumpai, pengurusan penyakit dan perosak selain mekanisasi penanaman dan penuaian.

Projek yang bermula sejak September 2009 dijangka berakhir pada Ogos tahun ini dengan objektif utamanya ialah untuk menambah dan meningkatkan pendapatan penanam padi bukit.

Variasi padi bukit yang ditanam mempunyai jangka masa matang yang panjang iaitu kira-kira 150 hari dan tidak memberi gerak balas kepada pembajaan.

Kadar minimum

Padi bukit ditanam untuk tujuan sara diri sahaja di Sarawak iaitu kadar penggunaan input yang sangat minimum dengan purata hasil hanya sekadar 720 kilogram sehektar.

Sariam berkata, 21 petani dari Kampung Gahat terbabit dalam projek itu yang melibatkan kawasan seluas 10.8 hektar. Projek itu juga dijangka bertambah dengan penyertaan lebih ramai peserta.

“Pada musim 2010/2011 jumlah petani terlibat dalam projek ini meningkat kepada 27 orang melibatkan kawasan seluas 15 hektar selain pembabitan beberapa petani di Kampung Sepadah Bau melibatkan kawasan seluas 3.75 hektar,” katanya.

Menurut Sariam berdasarkan kajian musim pertama (tanaman musim 2009/2010) projek di Kampung Gahat memperoleh hasil purata sebanyak 916 kilogram sehektar iaitu purata peningkatan hasil 24.1 peratus berbanding 737 kilogram sehektar sebelum ini.

Projek di Kampung Sepadah Bau pula menunjukkan pencapaian yang lebih membanggakan apabila memperoleh hasil sebanyak 2,012 tan sehektar iaitu peningkatan 42.4 peratus berbanding 1,419 kilogram sehektar.

“Hasil tanaman kedua (2010/2011) di Kampung Gahat dituai pada Februari lepas, sementara Kampung Sepadah Bau pada April ini,” katanya.

Meningkatkan hasil


PENGGUNAAN mesin tuai menjimatkan tenaga dan masa petani.


 

Sariam berkata, pihak MARDI telah mengemukakan beberapa cadangan kepada penanam padi bukit untuk membolehkan mereka meningkatkan hasil sekali gus, memajukan lagi penanaman padi bukit di Sarawak pada masa akan datang.

Antara cadangan itu termasuklah menggalakkan penanam padi bukit menerapkan amalan pertanian yang lebih sistematik melalui penanaman padi bukit dalam petak, tidak berpindah-randah serta tidak membakar hutan untuk membuka kawasan tanaman baru.

Petani juga perlu diberi jaminan pasaran daripada Padi Beras Nasional (Bernas) jika mereka dapat meningkatkan hasil padi bukit.

Penanam padi bukit, Bonnie Mbuh Udal, 56, berkata kaedah yang diperkenalkan oleh MARDI memang baik dan terbukti banyak memberi perubahan kepada cara penanaman padi bukit di Kampung Gahat.

Sebelum ini kebanyakan penanam padi bukit berhadapan pelbagai masalah seperti tapak yang tidak sesuai, pokok yang mudah tumbang serta kesukaran untuk menanam dan menuai hasil.

“Saya yakin padi bukit memang ada potensi dan jika teknologi ini berjaya, pasti ia dapat meningkatkan lagi hasil padi bukit di Sarawak,” katanya.

Raoh Gangkum, 57, berkata dia amat menyokong usaha MARDI memperkenalkan teknologi baru dalam penanaman padi bukit yang kini hanya diusahakan oleh kebanyakan penduduk yang sudah berusia.

Minat golongan muda dalam penanaman padi bukit adalah sangat kurang dan ia memang satu kerja yang sukar terutama ketika membuka kawasan tanaman baru dan kerja menanam serta menuai hasil.

“Mana ada anak muda yang mahu buat kerja ini (tanam padi), tapi kalau ia dapat mengeluarkan hasil yang lebih lumayan, saya pasti keadaan akan berubah suatu hari nanti,” katanya.

Dana buat MARDI

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof berkata, MARDI yang mendapat pembiayaan Dana TechnoFund berjumlah RM1.3 juta daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah dipertanggungjawab untuk memperkenalkan teknologi terkini dalam penanaman padi bukit di Sarawak dan Sabah.

Ujar beliau, MOSTI dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta sokongan daripada kerajaan negeri Sarawak juga bercadang untuk mengembangkan lagi projek tersebut ke beberapa kawasan tanaman padi bukit di Sri Aman, Sarikei dan Kapit yang melibatkan kawasan hampir 12,000 hektar.

Jika projek tersebut berjaya ia akan dapat membantu mengubah nasib penanam padi bukit di Sarawak yang majoritinya masih menggunakan kaedah pertanian tradisional.

– Bernama

About these ads

Posted March 21, 2011 by Keluarga82 in Berita

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 40 other followers

%d bloggers like this: