Rahsia Kaktus

Sesuai untuk orang sibuk dan malas

Oleh NURUL IZZA ROSLY


MELIHAT sekilas fizikal tumbuhan berona hijau dengan duri bersusun teratur di permukaannya, secara automatik ramai yang sudah boleh meneka tumbuhan itu.

Tidak kira apa jua jenisnya, asalkan tumbuhan hijau itu berduri atau berbulu halus dan tajam, seantero dunia sudah mengenali pokok kaktus yang menjadi penghias wajib landskap di kawasan gurun.

Namun, mungkin ada yang hanya pernah melihat beberapa jenis kaktus biasa daripada jenis berduri tanpa mengetahui terdapat juga kaktus berdaun yang tergolong dalam kelompok sukulen.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai tumbuhan yang sinonim dengan duri ini, penulis bersama jurugambar ABDUL NAZIR MOHAMED terpanggil untuk mengharungi perjalanan ke Cactus Valley di tanah tinggi Cameron Highlands, Pahang bagi melihat sendiri variasi kaktus.

Saat menjejakkan kaki di Cactus Valley yang terletak di Pekan Lama, Brinchang, penulis begitu teruja melihat ribuan jenis kaktus yang kebanyakannya amat asing di mata penulis.

Di sana dapat dilihat pelbagai jenis dan rupa kaktus. Ada yang panjang, bulat, bentuk seperti ekor kucing, berbalut dengan kapas, berbentuk topi, pendek kata kaktus mempunyai pelbagai bentuk daripada jenis berduri dan sukulen.

Hobi kumpul kaktus

Pemilik Cactus Valley, Yeong Su Kok, 60, tidak menyangka hobi mengumpul kaktus sejak muda membolehkannya membuka syarikat Cactus Valley pada tahun 1996.

Dalam memastikan survival Cactus Valley, Su Kok telah menurunkan ilmu mengenai kaktus kepada lima orang anaknya.

Menurut anak sulung Su Kok, Yeong Bee Keong, 33, dia sememangnya membesar bersama kaktus.

“Terdapat ribuan jenis kaktus di seluruh dunia malah, ia mungkin lebih banyak kini apabila manusia mula mencipta variasi baru. Apa yang anda lihat di sini cuma ratusan jenis daripadanya sahaja.

“Sekali pandang mungkin ada beberapa jenis kelihatan sama tetapi, ia adalah daripada jenis yang berlainan namun, tergolong dalam satu famili yang sama,” kata Bee Keong sambil menunjukkan kaktus yang dimaksudkan.

KAKTUS digemari kerana tidak memerlukan banyak penjagaan.

Umum mengetahui bahawa pokok kaktus biasanya berwarna hijau tetapi, anda boleh menemui kaktus yang berwarna kuning, putih, merah dan sebagainya.

Bagaimanapun pokok kaktus ‘generasi baru’ itu sebenarnya tidak boleh hidup dengan sendirinya tanpa bantuan kaktus hijau.

Kaktus berwarna selain hijau umpama parasit yang menumpang pada kaktus hijau untuk sumber makanan bagi meneruskan survival.

Sesiapa sahaja yang bertandang di Cactus Valley pasti terkesima melihat kaktus King yang bersaiz gergasi.

Menurut Bee Keong, kaktus King yang dipamer pada satu ruangan yang berpagar berusia antara 70 hingga 80 tahun diimport dari Belanda merupakan koleksi kesayangan bapanya dan bukan untuk dijual.

“Bagi mereka yang benar-benar meminati kaktus, sekurang-kurangnya mereka wajib ada kaktus King ini. Ia seperti suatu kemestian. Kaktus King ini susah nak ada anak dan susah nak berbunga selain tidak boleh dihasilkan melalui kultur tisu. Kami sendiri import anak kaktus ini dari luar negara.

“Kaktus-kaktus yang dipamerkan di sini bukan untuk dijual. Kami hanya jual yang kecil-kecil sahaja dengan harga berpatutan mengikut jenis dan saiz kaktus,” katanya yang sudah menjual kaktus di pasar malam sejak darjah dua lagi.

Tip menanam kaktus

Bee Keong memberitahu, kebanyakan orang mempunyai hobi mengumpul kaktus biasanya mengumpul kaktus yang berduri berbanding sukulen kerana ia lebih tahan lama.

“Menjaga kaktus tidak rumit kerana ia mudah menyesuaikan diri dengan cuaca. Cuma jangan alih-alih tempat untuknya, sekejap di tempat panas dan sekejap di tempat redup kerana ia akan mati.

“Di sini kami juga menyemai anak-anak kaktus melalui biji benih yang kami peroleh dari pokok kaktus yang ada di sini. Benih itu kami akan keringkan kemudian taburkan di dalam bekas tanah yang bercampur pasir,” jelasnya.

POKOK buah naga salah satu spesies kaktus berbuah yang mempunyai khasiat tinggi.

Katanya, selepas enam bulan tunas kaktus sebesar biji sagu akan kelihatan tanpa dapat dikenal pasti jenisnya. Hanya selepas setahun jenis sesuatu kaktus itu dapat dikenal pasti.

Selepas usia setahun barulah kaktus tersebut dialihkan ke dalam pasu baharu mengikut saiz.

“Jangan sesekali terus menanam kaktus terus ke dalam pasu yang besar kerana ia tidak akan membesar sebaliknya akar kaktus sahaja akan berselirat memenuhi pasu.

“Kaktus ini pokok yang paling senang dijaga dan ia sangat sesuai untuk mereka yang malas kerana kaktus perlu disiram seminggu sekali atau sebulan sekali sahaja. Yang penting ia akan tetap akan hidup. Jika disiram hari-hari, cukup tiga hari ia akan mati,” katanya yang mendapat bekalan kaktus dari Belanda, Korea, Mexico, Amerika Syarikat dan Thailand.

Jelasnya, campuran tanah untuk kaktus ialah 50 peratus tanah dan 50 peratus pasir dan apabila disiram ia perlu disiram sehingga ‘banjir’ supaya air meresap ke dalam tanah agar kaktus dapat hidup lama.

Ditanya mengenai kaitan kaktus dengan feng shui, bapa kepada dua orang anak itu memberitahu, mengikut kepercayaan orang Cina, kaktus yang berbunga sangat bagus kerana memberikan ong (tuah), manakala kaktus yang berduri untuk menghalau hantu dan menghindar kecelakaan.

“Jika aura di dalam rumah tidak baik, perlu simpan kaktus untuk perbaikinya,” katanya.

35 tahun kumpul kaktus

CACTUS Valley yang terletak di Pekan Lama Brinchang dibuka setiap hari dengan bayaran masuk RM4 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak.

Dalam pada itu, seorang pengumpul kaktus tegar, Borhan Ali, 63, mula mengumpul kaktus ketika usianya 28 tahun.

Cintanya terhadap kaktus mula berputik selepas berkunjung ke Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur dan melihat pelbagai jenis tumbuhan kecil berduri.

“Dengan hobi yang berusia 35 tahun ini, saya sudah pun mengumpul 60 hingga 70 jenis kaktus di dalam lebih 250 pasu yang menjadi penghias bahagian depan dan belakang rumah.

“Penjagaannya sangat mudah dan orang yang malas sahaja yang boleh membela kaktus,” katanya sambil disusuli tawa.

Pesara Telekom itu memberitahu, dia tidak perlu khuatir jika balik ke kampung atau bercuti bersama keluarga dalam tempoh yang lama kerana kaktus boleh hidup lama sehingga sebulan jika tidak disiram.

Cerita Borhan, pernah sekali kaktusnya bersaiz besar yang disusun dengan kaktus-kaktus lain di luar rumah hilang kerana ada orang yang ‘berkenan’ mengambilnya.

“Orang itu bukan curi, cuma dia berkenan dengan kaktus yang satu itu. Kalau dia curi, pasti semua kaktus yang lain juga turut hilang.

“Jika ada kenduri kahwin yang berhampiran dengan rumah saya, ada di antara tetamu yang mengutarakan hajat mereka setelah berkenan dengan beberapa jenis kaktus yang saya ada. Satu hari sahaja, tujuh pasu kaktus sudah ‘disedekahkan’,” ujarnya yang turut mengumpul duit syiling 50 sen, bekas bunga telur dan bunga pananggah majlis kahwin.

Jika ada yang berkenan dengan kaktusnya, dia tidak lokek memberikan kaktus yang diingini kerana dengan memberikan kepada orang lain, kaktus yang lain dalam jagaannya tumbuh subur.

“Ramai yang tidak minat membela dan menanam kaktus sebenarnya, mereka hanya gemar melihat sahaja,” katanya yang membeli kaktus di Sungai Buloh dan Cameron Highlands.

Kaktus dalam perubatan

KAKTUS mudah dijaga malah, ia boleh hidup subur tanpa air biarpun sehingga sebulan.

Pokok kaktus bukan hanya dijadikan tumbuhan hiasan sahaja malah, ada yang berpendapat kaktus mampu meningkatkan daya ketahanan badan dan ia mampu mengimbangkan badan dengan mengurangkan kandungan glukos.

Carian maklumat dalam internet mendapati kaktus jenis Pereskia sacharosa atau nama tempatannya jarum tujuh bilah dikatakan boleh merawat kanser terutamanya kanser kolon. Malah, ia dikatakan dapat mengubat darah tinggi dan kencing manis.

Dalam pada itu, saintis mendapati kalsium dan fosforus yang mewakili tiga perempat daripada mineral tubuh, didapati banyak terkandung di dalam kaktus yang mampu membekalkan mineral untuk membina tulang, sendi dan tisu pengantara yang kuat.

Buah kaktus pula mengandungi antioksida dan fitonutrien. Berdasarkan kajian, kaktus dan buahnya dapat meningkatkan sistem imunisasi badan.

Pada tahun 1979, kaktus (nopalis) dikatakan mampu menurunkan kadar gula selepas kajian dilakukan oleh Dr. Ibanez Camacho dari Mexico, manakala pada tahun 1992 saintis lain pula membuktikan bahawa buah kaktus daripada jenis Prickly Pear mampu menurunkan kadar lemak dan kolesterol.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelidik Prinsipal Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Zainudin Meon turut mengakui bahawa kaktus punya nilai yang tinggi dalam perubatan terutamanya kaktus jenis Hylocereus undatus dan Hylocereus polyrhizus atau lebih dikenali dengan nama pokok buah naga.

“Ia adalah spesies kaktus yang mengeluarkan buah. Tidak dinafikan bahawa buah naga cukup kaya dengan zat vitamin dan mineral yang dapat meningkatkan daya tahan serta metabolisme badan. Ia juga baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah.

“Dalam masa yang sama, ia juga dapat memberikan tindak balas yang positif untuk mengurangkan tekanan emosi dan meneutralkan toksik di dalam badan,” katanya.

Kata Zainudin lagi, buah naga juga mempunyai kandungan karotena tinggi boleh didapati pada isi dan kulitnya, cuma kajian mengenainya tidak banyak dilakukan di negara ini.

Buah naga mempunyai fitoalbumin (dalam biji buah naga) yang mengandungi antioksida yang tinggi. Ia mampu mencegah pembentukan radikal bebas penyebab kanser selain rendah kolesterol, kaya sumber vitamin C, E dan serat.

“Saya sendiri pernah mendengar pengalaman seorang rakan yang menghidap darah tinggi yang mencecah bacaan 200. Dia mengambil ubat yang disarankan oleh doktor dan tekanan darahnya hanya turun sehingga 160 sahaja.

“Kemudian dia mengamalkan makan buah naga empat biji sehari yang dimakan pada waktu pagi dan petang. Rutinnya itu menyebabkan tekanan darahnya kembali normal iaitu 120,” ceritanya.

Katanya, kajian lebih mendalam terhadap potensi perubatan yang ada pada pokok kaktus dan buah naga seharusnya diperluaskan supaya ia dapat memberi pilihan alternatif kepada pesakit pada masa akan datang.

About these ads

Posted May 19, 2011 by iqmarl in Berita

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 40 other followers

%d bloggers like this: