Dalam rumah ada taman

Oleh KUMARA SABAPATTY

PEMANDANGAN dari luar tidak semestinya menggambarkan keunikan yang ada di dalamnya.

 

KEDIAMAN pilihan Jurnal minggu ini mengetengahkan sebuah banglo setingkat yang bercirikan seni bina Bali.

Terletak di Kampung Delek Baru, Klang, Selangor, rumah ini dihuni sejak lima tahun lalu. Strukturnya ringkas sahaja tetapi elemen kayu jati jelas terpancar.

Elemen yang paling menarik perhatian ialah pintu masuk utamanya yang bak sebuah pintu gerbang.

Mempunyai ketinggian kira-kira dua meter, pintu kayu itu akan membawa terus penghuni ke laman terbuka dan tidak berbumbung.

Reka bentuk sebegini jarang ditemui di rumah-rumah Melayu di Malaysia.

Ia unik dan apabila digabungkan dengan landskap mini yang ada ‘di dalam rumah’ ini, ia lantas mencipta kelainan dan ketenangan.

Laman itu dipenuhi tumbuh-tumbuhan hijau termasuk sepasu pokok bonsai. Persekitarannya sangat semula jadi.

ADAKALANYA laman mini ini menjadi tempat persinggahan burung-burung kecil mencari makanan.

 

Malah, kru Jurnal sempat menyaksikan beberapa ekor burung merbah hinggap di sebatang pokok di situ, mungkin untuk mencari makanan.

“Konsep terbuka Bali sememangnya lebih kemas dan semula jadi,” kata anak pemilik, Nor Fadilah Abdul Rahman, 23.

Pintu

Menurut beliau, pintu masuk itu diimport khas dari Indonesia.

“Reka bentuk serta lakaran taman mini diuruskan oleh dua orang bapa saudara saya, Abdul Rauf dan Mohd. Abdullah Razali yang bekerja sebagai jurutera awam dan pereka letak grafik.

“Selepas lakaran pintu itu siap, ia diserahkan kepada seorang pengedar perabot jati tempatan sebelum tempahan itu dihantar kepada pihak berkaitan di Indonesia.

“Kos untuk membuat pintu kayu jati itu ialah RM3,500,” cerita Fadilah.

DARI sudut mana pun anda berdiri, pemandangan taman mini begitu dominan.

 

Sebaik sahaja pintu utama dibuka, satu lepaan simen menanti penghuni. Di bawah laluan itu dibina sebuah kolam kecil yang menempatkan 19 ekor ikan koi.

Kadangkala kocakan air ikan-ikan bermain memberi irama yang mengasyikkan.

Dari laman mini itu, penghuni boleh memasuki ruang tamu menerusi pintu gelangsar.

Koridor di laman mini juga merupakan laluan utama untuk pergi ke keempat-empat bilik yang ada.

Apa yang menarik, kesemua pintu bilik menghadap ke taman sekali gus menghidangkan pemandangan yang sejuk mata memandang setiap kali penghuni keluar dari bilik.

“Sebenarnya bangunan asal rumah ini ialah di kawasan yang sekarang menempatkan bilik-bilik tidur.

“Namun, selepas kami membeli tanah lot bersebelahan daripada jiran, kami mengubahsuai kediaman ini secara keseluruhan. Ia mengambil masa selama beberapa bulan.

PERABOT jati mendominasi ruang tamu yang dibina menghadap taman mini.

 

“Kos untuk pengubahsuaian itu melebihi RM200,000. Ia tidak termasuk nilai perabot serta barang-barang lain selepas bangunan baru siap dibina,” kata Fadilah, seorang eksekutif bank di Subang Jaya, Selangor.

Dari ruang tamu, penghuni boleh terus memasuki dapur. Seiring dengan konsep Bali, kebanyakan perabot di sini diperbuat daripada kayu jati yang dipilih secara teliti oleh ibu bapa Fadilah.

Selain itu, pilihan warna kuning coklat pada hampir kesemua dinding membuatkan ia sepadan dengan warna perabot.

Terdapat juga beberapa buah jam dinding klasik serta radio antik diletakkan di hadapan bilik tidur utama.

Keluarga tujuh beranak ini menamakan kediaman mereka sebagai Vila Manja, yang menurut Fadilah memberi makna ia sebuah tempat tinggal yang selesa dan menenangkan.

About these ads

Posted June 29, 2011 by iqmarl in Berita

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 40 other followers

%d bloggers like this: