Archive for the ‘DEKOR’ Category

Keladi sutera

Oleh Abubakr As-Siddiq
  • Foto
  • Foto
  • Langkah 1
  • Foto
  • Langkah 2
  • Foto
  • Langkah 3

Tanaman Scindapsus pictus ‘Argyraeus’ atau keladi sutera mudah

SPESIES Scindapsus pictus ‘Argyraeus’ adalah antara tanaman hiasan popular dewasa ini. Daunnya berbentuk bujur sireh, berwarna hijau tua tetapi ditutupi dengan corak ala batik warna perak. Bahagian atas daunnya pula agak berkilat seakan permukaan kain satin atau sutera sebab itulah ia diberi jolokan ’Satin pothos’ atau ‘Silk pothos.’

SALAM perkenalan. Mulai minggu ini di kolum ini, saya akan membawa pembaca semua mengenali alam seni taman dengan lebih dekat lagi dalam keluaran setiap dua minggu.

Seperti ramai yang sedia maklum, bidang seni taman atau landskap adalah salah satu hobi yang kian diminati ramai tidak kira baik bagi golongan lelaki mahu pun wanita. Ia juga sangat mengasyikkan dan boleh menyihatkan badan tetapi jika kita tidak mengenalinya, maka tidak mungkin kita akan mencintainya.

Buat permulaan, saya mengetengahkan keunikan salah satu tanaman hiasan popular iaitu spesies Scindapsus pictus ‘Argyraeus.’

Dulu tanaman hiasan ini dikenali sebagai Epipremnum pictum ‘Argyraeus’ dan ia tergolong dalam famili tumbuhan keladi iaitu Araceae. Pokok ini ditanam kerana bentuk dan warna daunnya yang unik, cantik dan menarik.

Daunnya berbentuk bujur sireh dengan warna latar belakangnya hijau tua tetapi ditutupi dengan corak ala batik berwarna perak, sememangnya menghasilkan penampilan yang sangat unik dan menarik sekali. Bahagian atas daunnya pula agak berkilat seakan permukaan kain satin atau sutera sebab itulah ia diberi nama jolokan ’Satin pothos’ atau ’Silk pothos.’
Dengan ciri pokoknya yang boleh memanjat menggunakan akar udara itu ia pula diberi nama jolokan ’Pothos vine’. Pertumbuhannya agak perlahan untuk membesar namun pokoknya boleh mencapai sepanjang 6 kaki (1.8 meter) apabila meningkat dewasa dan matang.

Penanaman

Ia senang ditanam menggunakan keratan batang atau keratan anak tunas. Kaedah penanamannya adalah seperti berikut:

1) Kerat batang atau anak tunasnya pada bahagian ruas yang berdekatan dengan bukunya dan sebaiknya yang sudah tersedia tumbuh akar udara padanya.

2) Tanam keratan tadi dalam medium tanamannya dan letakkan di tempat teduh.
Ia sesuai ditanam dalam medium tanaman di mana air senang mengalir keluar dan campuran yang disyorkan adalah 3:2:2 (Tanah peroi: Tanah gambut atau baja kandang (najis ayam): Pasir sungai). Medium tanaman yang sudah siap dicampur untuk pokok berpasu boleh juga digunakan yang dibeli dari pusat tanaman. Pokok ini juga sesuai untuk ditanam dalam medium air iaitu secara Hidrofonik dan juga medium tanaman ‘jelly’ atau agar-agar.

3) Siram dan berikan pembajaan agar pokok cepat tumbuh (foto 6).

Penjagaan

  • Cahaya: Untuk mendapatkan corak dan warna pada daunnya yang menarik dedahkan kepada cahaya matahari yang terlindung sekerap mungkin.
  • Air: Ia sukakan medium tanaman yang lembap oleh itu siram dua kali sehari pada hari panas iaitu di waktu pagi dan petang. Semburkan pokok terutama daun dan akar udaranya bagi mengekalkan kesuburannya. Siram bila perlu pada hari hujan jika terdedah terus kepada air hujan.
  • Pembajaan: Gunakan baja cecair atau baja garam larutan berwarna hijau untuk dilarutkan dalam air siraman dan siram ke medium tanaman. Baja ini juga boleh dimasukkan ke dalam air semburan yang disembur kepada daun atau akar udara. Sila rujuk kepada arahannya ditulis pada setiap pek baja yang digunakan untuk mengetahui kekerapan dan jumlah baja yang perlu digunakan. Awas ketika menggunakan baja biji kerana ditakuti terkena daun atau batangnya yang boleh menyebabkannya melecur.INFO: Tip penjagaannya
  • Sembur daunnya untuk mendapatkan pameran daun yang segar sentiasa.
  • Cuci daunnya dengan tuala lembap dan sapukan cecair pengilat daun atau ‘leaf gloss’ untuk mendapatkan pameran daunnya yang cantik dan berkilat.
  • Potong batang di bahagian hujung pucuknya bagi menggalakkan pertumbuhan ranting yang baru bagi membentuk rumpun yang lebih padat.Idea pameran:
  • Ia boleh ditanam sebagai pokok spesimen menjalar batang kayu yang diselaputi lumut ‘sphagnum moss’ dan biasanya digunakan sebagai hiasan pejabat, kediaman dan sebagainya.
  • Ciri pertumbuhannya yang menjalar dan menjurai serta berjuntai ke bawah memang cantik dan sesuai untuk ditanam sebagai pokok gantungan dalam pasu atau raga gantung.
  • Pokok ini juga sesuai dijadikan bahan untuk pelbagai gubahan dengan tanaman hiasan lain yang akan saya tunjukkan dalam keluaran selepas ini

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita, DEKOR

Awas Lidah Mentua

Bersama Albubakr As-Sidddiq

  • Foto 
  • Foto 
  • Foto
  • Gabungan warna hijau pekat dan cerah menyerlahkan laman.

Mungkin nama gelaran pokok ini agak unik dan pelik namun sebenar ia adalah sejenis pokok berdaun unik, cantik dan menarik untuk dijadikan tanaman hiasan. Pokok yang nama spesiesnya, Sansevieria juga cukup tahan lasak, senang ditanam dan dijaga memang sesuai untuk mereka yang baru berjinak dengan seni taman.

POKOK lidah mak mertua ditanam kerana mempamerkan dedaun pelbagai bentuk seperti silinder atau nipis, panjang atau pendek dan tirus di hujungnya manakala warna daunnya adalah pelbagai seperti hijau tua, hijau dan bercorak atau bergaris kuning di sekelilingnya dan tumbuh menegak. Kadangkala ia mengeluarkan bunga berwarna hijau pucat.

Nama saintifiknya Sansevieria dan tergolong dalam famili tumbuhan Dracaenaceae. Ia juga dikenali dengan pelbagai nama gelaran lain seperti pokok lidah jin, pokok lidah buaya dan pokok ular. Kebanyakan pokok ini dikatakan berasal dari Negara di Afrika yang beriklim tropika.

Spesies Popular Ditanam;

Di antara spesies yang popular ditanam termasuklah Sansevieria trifasciata, Sansevieria trifasciata ‘Golden Hahni’, Sansevieria trifasciata ‘Hahni’, Sansevieria trifasciata ‘Laurenti’, Sansevieria cylindrica dan beberapa jenis Sansevieria trifasciata kacukan.

Pembiakan Dan Penanaman: Ia senang dibiakkan menggunakan anak pokoknya yang tumbuhan di sekeliling pokok induknya.

Kaedah Penanaman adalah seperti berikut:
1)Potong akar rizom anak pokok yang bersambung dengan pokok induknya (foto 1).

2)Tanam anak pokok (foto 2) dalam beberapa pasu dengan campuran medium tanaman yang baru (foto 3).

Ia juga boleh dibiakkan menggunakan kaedah belahan rumpun dan juga keratan daun. Ia memang sesuai tumbuh dalam pelbagai campuran medium tanaman asalkan air senang mengalir keluar dan tidak bertakung. Campuran medium tanaman yang disyorkan ialah 1:1:1 (Tanah peroi: Baja organik: pasir sungai).

Penjagaan:

  • Ia boleh tumbuh dalam pelbagai keadaan dedahan cahaya seperti di tempat teduh atau cahaya terus matahari. Namun begitu ia lebih sesuai di tempat teduh atau agak redup seperti di dalam rumah dan sebagainya.
  • Kawal siraman air kerana terlalu banyak air di dalam medium tanamannya akan mengakibatkan perdu pokok menjadi masam dan reput secara perlahan. Pastikan medium tanamannya kering sebelum menyiram semula. Untuk itu, cucuk jari telunjuk anda ke dalam medium tanaman sedalam satu inci sebelum pokok disiram. Jika didapati medium tanamannya kering itu menandakan pokok berkenaan perlu disiram semula.
  • Baja kandang seperti najis ayam atau kelawar yang siap diproses adalah terbaik untuk mendapatkan pertumbuhan daunnya yang cantik. Namun begitu anda juga boleh menggunakan baja kimia dalam bentuk cecair atau garam.

    INFO: Sansevieria

  • Daun pokok ini juga boleh digunakan sebagai bahan dalam gubahan bunga hidup kerana bentuk dan corak daunnya yang unik, segar serta dapat bertahan lama.
  • Untuk kelihatan lebih cantik lagi daunnya perlu dibersihkan dari habuk dan kotoran yang melekat di atasnya. Gunakan tuala lembap untuk membersihkannya dan selepas itu sapukan cecair ‘leaf gloss’ atau susu cair tanpa gula untuk memberi sinar semula kepada daun berkenaan.

    Idea pameran:

  • Pokok ini sesuai ditanam di tanah atau dalam pasu.
  • Pokok ini boleh dijadikan salah satu pokok dalam gubahan pokok hidup sebagai pokok tinggi yang tumbuh menegak untuk dijadikan latar belakang gubahan berkenaan.
  • Untuk hiasan di pejabat atau ruang dalam rumah adalah dicadangkan anda menanamnya secara solo atau dicampur dan digubah dengan pokok lain pelbagai bentuk dan warna daunnya. Anda juga boleh membuat satu gubahan menggunakan pelbagai spesies Sansevieria pelbagai bentuk dan warna daunnya. Tentu ianya akan menjadi satu gubahan yang unik dan menarik untuk dipamerkan. Ikuti idea menarik cara mempamerkan tanaman hiasan ini pada keluaran akan datang.

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita, DEKOR

Si cantik beracun

  • Foto
  • Foto
  • Foto

Tumbuhan berdaun menarik sudah lama dijadikan hiasan

SEBAHAGIAN besar keladi hiasan ini berdaun dengan corak dan warnanya yang menarik. Malah memang cantik dijadikan tanaman hiasan, namun awas ada di antaranya mengeluarkan getah yang beracun jika batang, tangkai, daun atau ubinya dipotong.

Keladi hiasan ini tergolong dalam famili tumbuhan Araceae dan di antaranya yang beracun termasuklah spesies dari genus Alocasia, Caladium dan Dieffenbachia. Ada pokok jenis asli ini tumbuh meliar di kebun getah atau kelapa sawit atau belukar di kampung. Namun, pokok ini telah lama ditanam masyarakat kampung sebagai tanaman bagi menghiasi halaman di kediaman mereka kerana mempunyai spesies yang berdaun cantik dan menarik sekali.

Untuk minggu ini, saya ini memperkenalkan dulu spesies keladi hiasan dari genus Caladium.

Di antara spesies yang sering di tanam oleh peminat seni taman ialah:

Caladium humboldtii:

Ia digelar keladi liliput kerana saiz pokoknya yang kecil dan tidak tinggi iaitu hanya tumbuh sehingga 20 sentimeter saja, manakala daunnya juga agak kecil saiznya. Spesies ini dikatakan berasal dari Negara Brazil dan Venezuela di Amerika Selatan.
Caladium lindenii:

Spesies ini dahulunya dikenali sebagai Xanthosoma lindenii. Ia dikatakan berasal dari Negara Colombia di Amerika Selatan.

Caladium bicolor:

Lebih dikenali ‘Fancy Leaf Caladium’ atau Caladium berdaun beranika corak menarik. Ia juga dikenali sebagai Caladium hortulanum kerana mempunyai banyak spesies kacukan baru yang dihasilkan melalui penanaman dan kacukan. Spesies asalnya dikatakan berasal dari Negara Caribean dan negara Amerika Selatan yang beriklim tropika. Sebagai contoh, spesies Caladium ‘Pink Symphony’ yang berdaun dengan corak yang unik iaitu seperti lukisan batik yang menarik manakala Caladium ‘Red flare’ pula berwarna merah pada keseluruhan daunnya. Beberapa spesies pokok keladi ini sesuai untuk dipamerkan dalam satu pasu secara kumpulan. Ikuti cara melakukannya dalam keluaran dua minggu akan datang.

Pembiakan: Ia senang dibiakkan menggunakan ubinya.

Langkah Penanaman:

Langkah 1: Dapatkan ubinya yang bertunas atau tanpa tunas anaknya.

Langkah 2: Tanam dalam medium tanaman kekalnya seperti tersebut di bawah.

Ubinya ini perlu ditanam sedalam kira kira 2 sentimeter dari permukaan medium tanamannya bagi memastikan sistem akarnya terbentuk dengan baik untuk pertumbuhan yang lebih subur.

Langkah 3: Siram medium tanamannya dan letakkan bekas tanaman di tempat teduh untuk mempercepatkan pertumbuhan akar anak pokok.

Pokok ini sesuai ditanam dalam campuran medium tanah yang kaya dengan humus. Medium tanaman untuk pokok berpasu dalam nisbah 3:2:1 (tanah peroi:bahan organik:pasir sungai) adalah sesuai untuk penanaman.

Penjagaan:

Dedahkan kepada cahaya yang banyak tetapi terlindung untuk mendapatkan corak dedaunnya yang cantik dan menarik.

Siram medium tanamannya dua kali sehari pada hari panas untuk mengekalkan kelembapan sentiasa. Namun elakkan air bertakung dalam medium tanamannya kerana ini boleh menyebabkan bahagian bawah perdu pokok menjadi reput. Jika ini terjadi keluarkan pokok dari medium tanamannya yang lembap itu. Basuh serta keringkan ubinya dan tanam semula dalam medium tanaman yang baru yang lebih gembur.

Baja organik seperti najis ayam adalah terbaik. Namun begitu anda boleh juga gunakan baja kimia untuk pokok berdaun yang tinggi kandungan nitrogen. Elak gunakan baja biji yang boleh melecurkan perdu atau dedaunnya.

INFO: Keladi hiasan

Pokok ini mengeluarkan getah yang gatal dan beracun jika bahagian pokoknya seperti batang daun dan ubinya dipotong. Oleh itu lakukan langkah berikut:

  • Pamerkan pokoknya di kawasan yang jauh dari tempat lalu lalang orang ramai bagi mengelakkan perkara yang tidak di ingini berlaku.
  • Gunakan sarung tangan ketika memotong batang daun atau ubinya.
  • Jika terkena getahnya segera basuh dengan air.
  • Jika keracunan seperti termakan dan sebagainya segeralah berjumpa doktor untuk rawatan selanjutnya.
  • Pokok keladi ini sangat menarik ditanam dalam pasu cantik sebagai pokok spesimen untuk pameran dedaunnya yang cantik lagi menarik. Ia juga sesuai ditanam di atas tanah untuk hiasan landskap ala tropika dan sebagainya.

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita, DEKOR

Bangkit seri keladi

Bersama Abubakr As-Siddiq
  • Foto
  • Foto

Idea kreatif gubah keladi hiasan jenis Caladium dan Alocasia ikut tema tropika, Bali

MESKIPUN keladi hiasan kurang menarik dari segi penampilan khususnya spesis asli namun andai diberi sentuhan ilham dan gaya kreatif seperti di pameran, ia mungkin berupaya tampil cantik sekali gus meraih perhatian orang. Ini yang cuba saya utarakan minggu ini. Beberapa ilham menarik yang boleh dicuba meliputi:

Tanaman di tanah

Kebanyakan pokok keladi yang ditanam di tanah adalah untuk pembentukan taman mini atau landskap bertemakan tropika, Bali dan sebagainya.

Tanaman dalam pasu atau bekas tanaman lain

Kaedah 1: Ia sangat menarik dijadikan pokok spesimen dan ditanam secara solo di dalam pasu dekoratif. Rupa daunnya yang cantik boleh dijadikan bahan pameran umum. Pasu tembikar, seramik dan sebagainya adalah pilihan terbaik. Begitupun, sesetengah keladi hiasan elok dibuat gubahan. Untuk ini, sebaiknya beberapa spesis ditempatkan secara berkumpulan dalam satu pasu.

Kaedah 2: Melalui kaedah kreatif serta menarik, pokok berkenaan yang pada mulanya ditanam secara solo atau berkumpulan, akan diubah serta dipamerkan dalam bekas pameran cantik dan ini diistilahkan sebagai ‘ displaying planter.’
Ada banyak bekas pameran menarik di pasaran baik yang diperbuat daripada kayu, logam, bahan anyaman dan sebagainya. Ikuti langkah ilham pameran diperturunkan ini dengan menggunakan spesis disyorkan seperti dari genus Caladium dan Alocasia:

1) Alas pasu tanaman dengan jaring atau serat kelapa supaya medium tanaman tidak mudah terkeluar bersama air siraman (foto 1).

2) Masukkan campuran medium tanaman untuk pokok berpasu (foto 2).

3) Keluarkan pokok dari pasu masing-masing dan letak atau susunkannya dulu dalam pasu bagi disesuaikan kedudukannya agar nampak cantik dan menarik.

Seterusnya, masukkan lagi campuran medium tanaman atau tanah untuk pokok berpasu kemudian padatkannya supata pokok dapat tumbuh subur (foto 3 dan 4).

Selesai kerja penanaman, siram dan sembur pokok dengan air agar kekal segar dan subur. Kemudian, letak di tempat teduh sehingga pokok berkenaan terus hidup subur selain tidak kecut. Apabila didapati ia semakin subur melalui tanda-tanda seperti pertumbuhan daun baru, bolehlah ia didedahkan kepada cahaya matahari yang banyak namun pastikan juga ia mendapat perlindungan seperti diperlukan.

4) Akhir sekali, bagi penampilan lebih menarik, pamerkan tanaman tadi secara lebih kreatif dengan meletakkan pasu tanaman itu ke dalam bekas pameran yang cantik serta menarik bentuknya.

Tip

  • Sebagai alternatif, anda juga boleh meletakkan bahan sungkupan seperti lumut ‘Sphagnum moss’, serat kelapa dan batu kerikil di bahagian atas medium tanaman bertujuan mengekalkan kelembapan medium tanamannya agar pokok dapat hidup subur. Selain itu, bahan sungkupan juga boleh mencantikkan lagi gubahan berkenaan (foto 5).
  • Bagi hiasan ruang sempit seperti di balkoni, sudut ruang laman dan tempat letak kereta, disyorkan menggunakan beberapa pasu tanaman seperti ini untuk mengindahkan ruang berkenaan.Pamerkan tanaman ini di tempat tinggi agar tidak dicapai oleh kanak kanak sekali gus berupaya mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
  • Jika ingin dipamerkan dalam kediaman, pastikan ia dikeluarkan untuk didedahkan kepada cahaya matahari namun pastikan dalam beberapa hari sekali, diletak di kedudukan terlindung bagi pertumbuhan subur.Menanam pokok hiasan secara berkumpulan lebih baik berbanding ditanam solo kerana ia dapat membina satu ekosistem tersendiri. Ini bermaksud tahap kelembapan kepada medium tanaman juga di persekitarannya akan menjadi lebih tinggi kerana dedaun pokok bertindak melindungi satu sama lain daripada terik matahari sekali gus menghasilkan pokok yang sentiasa subur.

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita, DEKOR

Teras siling

  • Foto 
  • Foto
  • Kemasan siling yang dipilih perlu selamat, lasak dan sesuai.

Kemasannya bahan tak sesuai hanya cacatkan pandangan ruang

SILING adalah struktur bahagian atas ruang dalaman dan bertindak sebagai bahagian bawah bumbung selain menyembunyikan elemen seperti saluran elektrik, penghawa dingin, pembesar suara, perenjis air ketika kebakaran dan sebagainya.

Namun pada masa sama, siling turut menjadi teras bagi membolehkan aksesori hiasan dalaman berfungsi seperti lampu dan kipas.

Rekaan siling bergantung kepada ketinggiannya. Justeru, pereka dalaman yang bijak pasti akan mengambil kira ketinggian dulu diikuti material, keperluan lampu, kipas dan penghawa dingin.

Kemasan siling perlu menarik membabitkan estetika warna, tekstur serta corak dan lazimnya ia ditentukan oleh pilihan bahan kemasannya. Tanpa kemasan sesuai dikhuatiri menyumbang kepada kecacatan pemandangan ruang secara menyeluruh.

Bahan dan kemasan adalah komponen penting elemen reka bentuk dalaman dan berupaya mendefinisikan fungsi sesuatu ruang dalaman. Pemilihannya dapat menguatkan konsep reka bentuk, memberi kesan kepada ruang, pandangan visual serta ekspresi kualiti, bentuk dan gaya.

Justeru, penggunaannya perlu dipastikan memenuhi beberapa kriteria berikut:
Fungsi

  • Ia haruslah selamat dan selesa, tahan lasak, mudah dibersihkan, dijaga dan dibaiki. Pada masa sama, ia juga harus memiliki darjah ketahanan kebakaran dan kesesuaian dari segi nilai akustik.

    Estetika

  • Nilai kecantikan dari segi warna dan keadaan semula jadi dengan sesuatu kawasan
  • Tekstur sesuatu bahan
  • Kesesuaian corak dan rekaan.

    Ekonomi

  • Kos awalan diperlukan serta pemasangan
  • Kos sepanjang hayat yang mengutarakan ketahanan bahan selain belanja membersih, menjaga, membaiki dan serta mengganti jika perlu.

    Ada dua jenis siling menghiasi ruang kediaman iaitu:

  • Siling Konkrit Asal
    Ia adalah siling yang terhasil daripada permukaan bawah lantai konkrit dan kemasan lazimnya cat air. Namun, ada juga kemasan lapis atau papan gipsum yang dibina secara terus.
  • Siling gantung
    Siling gantung tanpa penyambung diperbuat dari papan gipsum dan sambungannya dilepa dengan kapur (gipsum) dan dicat. Ia adalah siling yang dibina dan digantung pada siling konkrit. Lazimnya struktur gantungan menggunakan besi dawai (galvanis) atau kayu bergantung jenis kemasan bagi permukaan siling itu.

    Kemasan siling pula dibahagikan kepada kategori berikut:

  • Tanpa penyambung
  • Berpanel – diperbuat daripada kepingan bod simen.
  • Jejalur – diperbuat daripada logam atau papan jalur.
  • Terbuka – diperbuat daripada logam atau kayu dengan corak yang berongga.
  • Dekoratif – diperbuat daripada papan gipsum dengan panel dekoratif menghiasi permukaan kumai serta siling.

    INFO: Tip rekaan/binaan tambahan bagi mencantikkan siling

  • Kubah
    Ia membentuk fokal selain meninggikan siling. Rekaan corak menarik sekeliling kubah diperbuat daripada bahan poliester dan gentian kaca seterusnya hiasannya berupa lampu gantung dan kipas siling.
  • Panel Tengah
    Ia membantu mencantikkan siling selain membentuk titik tumpu. Ia juga berfungsi sebagai pembahagi ruang, membentuk titik fokus selain menggantikan binaan kubah yang tidak dapat dibina akibat tinggi siling terhad. Binaan panel tengah hanya membabitkan kumai hias yang dicorakkan bentuk bulatan. Di tengahnya dipasang lampu gantung dan kipas.
  • Birai Hias
    Fungsinya adalah untuk menutup dan mencantikkan sambungan dinding serta siling. Ukurannya bergantung ketinggian siling dan luas ruang. Patuhi nisbah yang betul supaya birai tidak nampak terlalu kecil atau besar.
  • Penyangga (corbel)
    Binaannya membabitkan sudut tiang dan penjuru tepi rumah serta dinding. Ia tidak mempunyai fungsi tertentu melainkan sekadar hiasan

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita, DEKOR

Rahsia dapur selesa

Bersama Hamidon Abdullah
pix_gal0

Susun atur sinki, perkakasan memasak dan peti sejuk perlu diutama

TANYALAH sesiapa saja mengenai akrabnya ‘hubungan’ ruang dapur dengan golongan wanita. Pasti ramai akur kerana di ruang inilah mereka menyediakan hidangan keluarga selain mencuba resipi baru.

Bahkan, menurut petua orang tua dulu-dulu, salah satu cara memikat suami adalah melalui masakan yang lazat. Sebab itu, jika diteliti, ruang dapur khasnya di rumah kampung mempunyai ruang luas dan hanya di kawasan bandar terutama teres menyediakan ruang terhad. Begitupun, ramai cuba memaksimumkan keluasannya melalui pengubahsuaian membabitkan lebihan tanah belakang rumah.

Perancangan dapur sempurna

Faktor kewangan sering mengekang pengubahsuaian penuh. Sebab itu, langkah awal membabitkan penilaian secara terperinci reka bentuk ruang serta fungsinya perlu dilakukan. Selanjutnya, selesaikan masalah ruang penyimpanan kelengkapan serta barangan dapur.

Secara asasnya, perancangan dilihat sebagai jawapan kepada persoalan perkara perlu dilakukan bagi aspek kelengkapan dan ruang penyimpanan barang. Seterusnya, difikirkan formula bagi mengimbangi keperluan ini menerusi reka bentuk ruang sedia ada.

Tidak dinafikan, sukar mencari penyelesaian tepat kerana minat individu berbeza namun tiga faktor utama penentu proses susun atur dapur selesa iaitu kawasan menempatkan sinki, perkakasan memasak dan ketiga, peti sejuk.
Sebaik saja kedudukan berkenaan dikenal pasti, proses susun atur ruang dijamin menjadi lebih praktikal mudah dilaksanakan. Konsep segi tiga hakikatnya mendefinisikan hubungan kerja antara satu sama lain menerusi tiga kedudukan. Namun, ia bukan bermakna susunan ruang itu kelihatan berbentuk tiga segi.

Ketika merangka pelan, satu garis khayalan dilukis membabitkan tiga pusat kerja utama iaitu sinki, tempat memasak dan peti sejuk. Secara ergonomik, jarak antara mana-mana dua pusat kerja utama ini dipastikan tidak melebihi dua meter. Walaupun cara begini jarang dipraktikkan dalam situasi sebenar namun ia menjadi kunci kepada ruang dapur selesa.

Apakah ruang dapur yang praktikal dan selesa? Sesetengah pendapat menyatakan bagi pembentukan ruang dapur sedemikian, yang paling utama adalah susun atur ruang kerja disediakan berfungsi menjimat masa bekerja. Ini juga mencetuskan idea reka bentuk dapur yang kecil atau kompak meskipun mempunyai kekurangan dari segi penyediaan ruang kaunter mencukupi.

Walaupun reka bentuk kompak dapat mengurangkan langkah pergerakan namun masalah lain yang timbul berpunca aktiviti serentak ialah tidak cukup kaunter bagi menampung kerja berkenaan.

Jika ruang kaunter tidak mencukupi bermakna ketika ketika menyediakan masakan, anda perlu mengalih dulu, membasuh serta menyimpan sesuatu perkakasan sebelum menyediakan menu lain. Jika tidak, keadaan mungkin menjadi kelam kabut selain mengambil masa panjang dan tenaga bagi mencari bahan serta kelengkapan diperlukan ketika itu.

Sebaliknya, jika kaunter terlalu panjang atau dibina berselerak dalam ruang, maka kerja yang dilakukan di dapur juga menjadi lambat dan tidak cekap.

Justeru, bagi mengimbangi masalah ruang dapur terlalu kecil atau luas, pastikan dapur memasak, sinki, tempat simpanan dan kaunter penyediaan makanan disusun seperti berikut:

  • Tiada ruang antara dua pusat yang dinamakan tadi berjarak tiga meter antara satu sama lain.
  • Panjang keseluruhan kaunter, tidak termasuk sinki, dapur memasak dan peti sejuk sekurang-kurangnya empat meter panjang.
  • Tiada kaunter kabinet yang dibina dengan lebar kurang daripada 1,200 milimeter.

Tidak semestinya kaunter bercirikan binaan kekal sebagai mana pelan pembentukan ruang dapur moden hari ini. Sebaliknya, perlu juga mengandungi perabot mudah alih misalnya meja atau kaunter bebas. Yang penting, pertalian antara ketiga-tiga pusat kerja utama dipastikan berkait rapat kerana peranannya cukup kritikal dalam membentuk ruang dapur praktikal serta efisien.

Tip

Ruang idaman, praktikal

  • Pastikan mengandungi ruang yang cukup pada segi tiga kerja membabitkan sinki, tempat memasak dan peti sejuk.
  • Kekalkan permukaan tempat melakukan kerja dengan lantai berdekatan segi tiga kerja bersih dan lapang. Ini memudahkan pergerakan dan menyenangkan kerja anda.
  • Pelbagaikan juga ketinggian permukaan tempat bekerja di dapur. Bagi aktiviti yang memerlukan tenaga seperti menguli tepung, ia lebih sesuai dilakukan di permukaan rendah berbanding kerja memerlukan koordinasi mata serta tangan seperti memotong sayur dan herba.
  • Jika keadaan di dapur sentiasa sibuk, letakkan peti sejuk di hujung binaan kabinet.Cara begini membolehkan ahli keluarga yang lain keluar masuk ruang dapur tanpa mengganggu ’tukang masak’.
  • Ketinggian biasa permukaan unit kabinet adalah 900 milimeter dan ia sesuai bagi kerja-kerja penyediaan makanan ringan. Manakala, para atau rak kabinet yang dibina hingga 1,800 milimeter membolehkan anda mencapai barangan dengan mudah. Ketinggian seterusnya membabitkan penyimpanan barang-barang jarang digunakan.

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita, DEKOR

Kediaman mesra alam

Bersama Hamidon Abdullah

  • Foto
  • Foto
  • Rumah Melayu tradisional rujukan terbaik konsep mesra alam kerana mempunyai pengudaraan yang baik.

Rumah moden perlu ambil kira reka bentuk, pengaliran udara elak panas

REKA bentuk kebanyakan rumah moden kini dibina secara tertutup. Keperluan bukaan tingkap dan lubang angin tidak diambil kira, sebaliknya penggunaan pendingin hawa lebih diambil kira. Kekerapan penggunaan alat berkenaan menyebabkan pergantungan terhadap pencahayaan, sekali gus meningkatkan bil elektrik, sumber tenaga dan seterusnya pemanasan global.

Justeru, bagaimana boleh diklasifikasikan sebagai sebuah kediaman berupaya menyelamatkan bumi? Ia sepatutnya dibina daripada bahan binaan jimat tenaga selain menawarkan reka bentuk yang mengambil kira faktor menjimat tenaga terutama menonjolkan aliran udara dan pencahayaan semula jadi.

Ciri kediaman mesra alam

Rumah berciri mesra alam membenarkan pengaliran udara secukupnya untuk tujuan ventilasi. Hasilnya, udara sejuk dihasilkan sekali gus mengurangkan kesan kelembapan.

Masalah utama dihadapi penduduk di negara beriklim tropika adalah suhu yang tinggi, pancaran terik dan silau sinaran matahari di samping kadar kelembapan tinggi. Masalah ini semakin buruk ditambah suhu dikeluarkan oleh badan manusia itu sendiri.

Reka bentuk pengaliran udara
Pengaliran udara bermaksud penggantian udara dalaman yang panas dengan yang sejuk dari luar. Ada tiga cara pergerakan udara atau angin iaitu;

Pengaliran udara semula jadi
– berlaku tiupan angin
– perbezaan suhu

Pengaliran udara tidak semula jadi
– peralatan elektrik seperti kipas angin dan penyaman udara

Selain itu, untuk memaksimumkan potensi angin bagi pengudaraan, aliran pengudaraan perlu berlaku dalam bangunan bagi memperoleh pengaliran yang baik, perlu;

Membina bukaan pada sisi bangunan

Binaan banyak bukaan terutama tingkap adalah cara terbaik mendapatkan pengaliran udara. Bukaan lebih daripada satu dengan posisi secara berdepan akan menghasilkan pengudaraan silang.

Bagi membolehkan lebih banyak angin memasuki ruang dalam rumah menerusi bahagian sisi, maka bina banyak bukaan di bahagian itu. Jika matahari terik sepanjang hari dan menyebabkan satu sisi rumah panas, maka bahagian buka tingkap atau pintu di sisi yang lain untuk membawa masuk udara segar.

Membina bukaan pada atas bangunan

Selain untuk pengudaraan, bukaan atas dinding juga berfungsi sebagai lubang cahaya. Bagi menghindari kemasukan haiwan dan serangga, maka tutup ia dengan kawat berjaring.

Angin adalah udara yang bergerak. Pergerakan udara berlaku daripada tempat bertekanan tinggi menuju tekanan rendah. Justeru, baik sekiranya reka letak bukaan dinding dan lubang angin diperhatikan fungsinya. Jika fungsinya untuk mengalirkan udara panas keluar, maka lubang angin patut ditempatkan di bahagian atas. Misalnya, menempatkan lubang udara dalam bilik air berguna bagi mengalirkan udara panas akibat penggunaan air mandian panas.

Bumbung kecil terangkat

Pengaliran udara juga boleh dilakukan menerusi binaan seperti bumbung kecil terangkat. Caranya, bina satu bumbung kecil di atas bumbung sedia ada. Binaan seumpamanya mengelakkan udara panas dalam rumah terperangkap, sebaliknya udara baru akan masuk melalui binaan tingkap sedia ada.

Pengaliran udara mekanikal

Posted April 27, 2011 by iqmarl in DEKOR

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 40 other followers

%d bloggers like this: