Jimatkan AIR

Klik air Facebook


LAPORAN mendapati 1.8 juta penduduk dunia mati akibat cirit-birit kerana bekalan air tercemar.


 

KRISIS air di negara-negara mundur menjadikan rakyatnya bukan sahaja tidak mempunyai capaian kepada air bersih, bahkan terdedah kepada pelbagai penyakit merbahaya.

Perangkaan Majlis Air Sedunia mendedahkan, 1.1 bilion penduduk dunia tidak mendapat bekalan air yang selamat diminum manakala 2.6 bilion lagi hidup tanpa kemudahan loji pembersihan air yang sempurna.

Justeru, BROS dan World Vision Malaysia bergabung melancarkan kempen kesedaran mengenai krisis air di Facebook melalui projek Klik Air. Orang ramai hanya perlu menekan butang ‘Like’ di Facebook BROS yang bernilai 50 sen bagi satu klik.

Ketua Pegawai Eksekutif World Vision, Liew Tong Ngan berkata, laporan sama juga menunjukkan sebanyak 1.8 juta penduduk dunia mati setiap tahun akibat penyakit cirit-birit yang berpunca daripada bekalan air tercemar dengan 90 peratus daripada mangsa adalah kanak-kanak berusia bawah 5 tahun.

“Oleh itu, kami mengambil inisiatif bersama melancarkan projek Klik Air di laman sosial Facebook supaya komuniti dalam talian dapat sama-sama menyumbang,” katanya.

Menurut beliau, bermula 14 Februari ini, setiap klik pada simbol Like di laman Facebook BROS iaitu http://www.facebook.com/brosnews, BROS akan menyumbang 50 sen untuk membeli dua sistem rawatan kumbahan dan sistem bekalan air untuk masyarakat yang memerlukan di Vietnam.

“Sasaran kempen menerusi laman peminat BROS ini adalah untuk mendapatkan 20,000 klik pada simbol ‘Like’ bagi membolehkan sebanyak RM10,000 digunakan untuk membina dua sistem air dan rawatan kumbahan itu.

“Bukan bertujuan untuk sumbangan semata-mata, projek ini diharap dapat mendorong rakyat Malaysia untuk berfikir lebih mendalam mengenai kesengsaraan orang lain dan bersyukur dengan penggunaan sumber yang tidak ternilai,” katanya.


MASYARAKAT Vietnam akan mendapat dua sistem air dan kumbahan melalui projek murni ini.


 

Dalam pada itu, BROS memutuskan untuk menganjurkan kempen projek Klik Air menerusi Facebook kerana rakyat Malaysia termasuk dalam kelompok pengguna paling ramai di dunia melawat laman web sosial.

Menurut Pengarah Pembangunan Perniagaan Living Wing Sdn. Bhd., Terence Lee, semakin ramai pengguna mendapatkan maklumat dan menyokong kempen yang dijalankan menerusi laman sosial seperti Facebook.

“Atas sebab itulah kami menjalankan Projek Klik Air ini sebagai satu peluang untuk mengajak orang ramai ke arah memenuhi keperluan asas manusia iaitu mendapatkan bekalan air yang bersih dan selamat,” katanya.

Sememangnya pembiayaan projek air bersih bukanlah sesuatu yang baru untuk BROS.

Selama lebih setahun BROS telah mengumpulkan dana untuk program pembangunan di Nalaikh, Mongolia melalui sumbangan RM1 kepada World Vision dari setiap pembelian botol air BROS Crystal terpilih.

“Bagi anda, ia mungkin sekadar satu klik, tetapi bagi beribu-ribu lagi yang memerlukan, ia bererti memberikan harapan baru dalam hidup mereka,” katanya.

Posted February 10, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: