Aiskrim Strawberi

Resipi aiskrim strawberi Cameron Highlands

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN

Mohamad Zulkepli Daud bersama isterinya, Rosnah Abdul Latif menunjukkan aiskrim strawberi yang dihasilkan dengan ramuan sendiri.


 

SEBUT sahaja Cameron Highlands, dua tanaman tanah tinggi yang pasti akan berlegar di fikiran adalah teh dan strawberi.

Manakan tidak, dengan suhu yang dingin dan nyaman, percutian ke kawasan peranginan itu pasti tidak lengkap tanpa menikmati secawan teh panas dan merasai produk-produk makanan berasaskan strawberi.

Selain dua tanaman itu, sebahagian besar kawasan tanah di lokasi pelancongan tersebut iaitu sekitar 8,000 hektar telah dimajukan dengan penanaman produk sayur-sayuran serta buah-buahan yang pelbagai jenis.

Memberi fokus kepada industri penanaman strawberi di Cameron Highlands, ia mempunyai keluasan kawasan tanaman sekitar 30 hektar dengan jumlah pekebun lebih kurang 50 orang.

Daripada jumlah itu, kuantiti pengeluaran buah strawberi segar setiap tahun adalah dianggarkan bernilai antara RM60 hingga RM70 juta.

Menurut salah seorang pengusaha ladang strawberi, Mohamad Zulkepli Daud, 46, beliau tertarik untuk terlibat dengan aktiviti penanaman buah tersebut kerana yakin dengan potensi pasarannya selain mempunyai minat yang mendalam dalam bidang perniagaan.

“Dahulu, saya bertugas di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Cameron Highlands bermula tahun 1985 hingga 1990 sebelum menjalankan perniagaan sendiri dalam bidang kontraktor binaan dan perusahaan calet sehingga tahun 2004.

“Sepanjang bekerja di MARDI, saya sering mendapat nasihat dan dorongan daripada rakan-rakan yang menggalakkan saya menyertai aktiviti perusahaan tanaman strawberi.

“Pada tahun 2005, saya mula mengusahakan tanaman ini secara kecil-kecilan dengan tujuan untuk dimakan sendiri,” katanya ketika di temui di calet miliknya di Kampung Taman Sedia, Tanah Rata, Cameron Highland baru-baru ini.

Selepas setahun mengusahakan tanaman itu, Zulkepli mendapati strawberi mempunyai permintaan tinggi dan mampu untuk dikomersialkan tidak kira dalam bentuk buah segar mahupun produk hiliran.

Melihat kelebihan tersebut, tahun 2006 menyaksikan dia telah memulakan operasi tanaman buah strawberi dalam skala lebih besar melibatkan 2,000 pokok strawberi.

Keuntungan jualan buah strawberi yang memberangsangkan kemudian mendorongnya memperluaskan operasi tanaman bertujuan meningkatkan pengeluaran hasil.

Justeru, pada tahun 2007, dia telah membuat pinjaman modal sebanyak RM20,000 daripada AgroBank untuk membeli anak benih dan peralatan tanaman seperti mesin titisan dan pengepam.

“Kesemua anak benih strawberi ini adalah daripada jenis Camarosa yang diimport dari Belanda.

“Ia merupakan baka terbaik yang mempunyai kelebihan aroma menawan dan wangi, rasa yang sangat manis serta saiz buah yang sama.

“Anak-anak benih ini biasanya akan mengambil masa pembiakan selama lebih kurang lima hingga enam bulan sebelum mengeluarkan buah,” jelasnya.

Zulkepli memberitahu, ladangnya yang berkeluasan suku hektar itu mengamalkan konsep tanaman secara fertigasi bertingkat yang mampu memberi penjimatan ruang.

Katanya, konsep tersebut sangat mudah kerana dilengkapi sistem pengairan yang lengkap dengan suntikan baja.

Kini, ladang miliknya telah mempunyai lebih kurang 6,000 pokok dengan pengeluaran buah kira-kira 30 kilogram (kg) dalam masa seminggu.

Setiap pokok strawberi itu pula mempunyai jangka hayat selama lebih kurang dua tahun.

Hasil-hasil buah strawberi yang telah dituai kemudiannya akan dijual di kedai miliknya selain dijadikan sebagai bahan asas dalam penyediaan produk hiliran strawberi.

Posted February 14, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: