Candi Prambanan dan Candi Borobodur

Teguhnya dua candi mistikal


CANDI Prambanan ini, sama seperti Candi Borobudur, telah diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu UNESCO pada tahun 1991.


 

SESIAPA yang menjejakkan kaki ke kompleks Candi Prambanan dan Candi Borobodur di Jawa Tengah, Indonesia pasti terpukau menyaksikan keajaiban struktur binaan bangunan lama yang gah lagi cantik itu.

Candi Prambanan merupakan seni bina kuil Hindu yang terbesar di Asia Tenggara dan dibangunkan pada abad ke-10 semasa pemerintahan dua raja iaitu Rakai Pikatan, iaitu raja kedua dalam dinasti ulung Wangsa Mataram I dan Balitung Maha Sambu semasa Wangsa Sanjaya atau Kerajaan Mataram Kuno.

Tidak lama setelah dibangunkan, kompleks candi itu ditinggalkan dan rosak sehingga ia terpaksa dibaiki semula bermula pada pada tahun 1733 oleh orang Belanda.

Candi Prambanan mempunyai tiga candi utama iaitu Candi Brahma, Vishnu, dan Shiva.

Ketiga-tiga candi tersebut adalah lambang Trimurti dalam kepercayaan Hindu dengan setiap candi utama itu memiliki satu candi pendamping yang menghadap ke barat iaitu Candi Nandini untuk Shiva, Angsa untuk Brahma dan Garuda untuk Vishnu.

Candi Shiva merupakan bangunan paling tinggi iaitu mencapai ukuran 47 meter. Dalam ruang candi itu terdapat beberapa arca selain Shiva iaitu Durga (isteri Shiva), Agastya (guru Shiva), dan Ganesha (putera Shiva).

Candi Vishnu pula terletak di sebelah utara Candi Shiva. Dalam candi Vishnu itu, terdapat arca Tuhan Pelindung tersebut manakala Candi Brahma terletak di sebelah selatan Candi Shiva. Seperti dua candi utama lain, dalam Candi Brahma terdapat arca Brahma yang bergelar Tuhan Pencipta.


Antara wakil media yang teruja bergambar di halaman Borobudur.


 

Selain tiga candi utama itu terdapat 237 buah candi lain di dalam perimeter kompleks Candi Prambanan tersebut. Masing-masing dengan reka bentuk yang eksotik, namun setiap satunya mempunyai pertalian, baik dari segi warna, material binaan, struktur ukiran mahupun maksud di sebalik pembinaannya.

Kawasan Candi Prambanan terletak 17 kilometer dari pusat kota Yogyakarta. Seluruh taman itu dihiasi pemandangan yang indah bagai sebuah taman yang menempatkan istana purba.

Mengikut mitos yang selalu diceritakan masyarakat Jawa mengenai candi tersebut, bangunan itu dibina dalam tempoh satu malam oleh seorang putera raja Kerajaan Pengging bernama Bandung Bondowoso. Bandung mencintai Roro Jonggrang iaitu puteri kepada Kerajaan Keraton Bako.

Namun, wanita itu tidak mencintai Bandung selepas putera raja itu diketahui telah membunuh ayahandanya. Sebagai mencari jalan menolak cinta Bandung, Roro meminta Bandung mendirikan candi dengan 1,000 arca dalam tempoh semalaman.

Putera raja itu menyambut syarat tersebut dengan meminta bantuan angkatan jin. Tatkala hampir keseluruhan candi itu dapat disiapkan mengikut waktunya, Roro yang gelisah terpaksa membuat helah lain.

Dia memanggil semua gadis di kampung itu supaya menumbuk padi lalu membakarnya sehingga tercipta api yang sangat besar dan marak seolah-olah tercetus suasana seperti pagi hari.

Tindakan Roro menyebabkan jin-jin berhenti membuat kerja dan hanya sempat menyiapkan 999 buah arca kerana menyangka siang sudah menjelma.

Walaupun muslihat Roro itu hampir menjadi, Bandung yang dapat membongkar penipuan tersebut telah menyumpah Roro menjadi batu manakala semua anak gadis yang membantunya turut disumpah menjadi perawan tua.

Gempa bumi

Sejak dibangunkan semula bermula tahun 1733, kompleks candi itu pernah beberapa kali runtuh angkara gempa bumi dan letupan Gunung Merapi. Kali terakhir seni bina bersejarah itu musnah sebahagiannya adalah ketika malapetaka gempa bumi pada 27 Mei 2006 yang berkekuatan 5.9 pada skala Richter.

Banyak usaha pemuliharaan seni bina dilakukan untuk mengekalkan struktur ukiran.


 

Gempa yang berpusat di Bantul itu bukan saja menyebabkan ramai penduduk terkorban malah kompleks Candi Prambanan, khususnya Candi Brahma menerima kesan paling teruk.

Kesan gempa bumi itu belum dapat dibaiki sepenuhnya memandangkan banyak bongkah batu yang digunakan untuk membina candi itu terbenam ke dalam tanah.

Kemegahan Magelang

Mengenai Candi Borobodur yang dibangunkan sekitar abad ke-9 pula, ia terletak di Magelang iaitu kira-kira 40 kilometer dari Yogyakarta. Candi ini hanya terletak kira-kira 28 kilometer dari Gunung Merapi.

Semasa Gunung Merapi meletus pada 5 November lalu, kesannya turut diterima oleh candi itu apabila ia diliputi debu Merapi yang berasid. Kerja-kerja pembersihannya segera dilakukan kerana bimbang elemen penghakis dalam debu itu merosakkan warna dan tekstur pada permukaan candi tersebut.

Selain menjadi pusat ibadat bagi penganut Buddha di Indonesia terutamanya pada Hari Wesak pada bulan Mei, candi di atas bukit itu menjadi tarikan utama bagi pelancong dunia yang melawat Jawa Tengah.

Candi Borobudur merupakan candi kedua terbesar di dunia selepas Candi Angkor Wat di Kemboja. Dengan pemandangan menarik berlatar belakang Gunung Merapi, ia sungguh mempesonakan.

Candi tersebut dibangunkan oleh para penganut agama Buddha Mahayana pada zaman pemerintahan kerajaan Mataram daripada dinasti Sailendra.

Maksud nama Borobudur adalah ‘biara di perbukitan’, yang berasal dari kata ‘bara’ (candi atau biara) dan ‘beduhur’ (perbukitan atau tempat tinggi) dalam bahasa Sanskrit.

Pada abad ke-15, candi itu mula dilupai ekoran kemasukan pengaruh Islam ke Indonesia. Candi Borobudur mula mendapat perhatian semula pada tahun 1814 apabila Orang Inggeris menakluki Indonesia.

Orang Inggeris bernama Sir Thomas Stamford Raffles yang berminat dengan tinggalan sejarah telah menghantar pasukan penyelidik dari Belanda untuk membuat kajian terhadap candi itu.

Pada tahun 1973 Candi Borobudur mula mendapat perhatian seluruh dunia dan sehingga kini ia terus teguh berdiri dan menerima kunjungan ribuan pelancong setiap hari.

Posted February 15, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: