Pelancongan Mesir

Prestasi buruk pelancongan Mesir


MESIR sunyi sepi tanpa pelancong sejak tercetusnya rusuhan di negara itu penghujung Januari lalu.


 

SEPERTI ada yang tidak kena di lokasi kemegahan pelancong di Mesir itu. Selama ini, Giza yang terletak di kawasan pinggiran ibu negaranya, Kaherah penuh dengan lambakan pelancong seantero dunia kerana piramid-piramidnya, kini sunyi sepi.

Daniel Tham dari Malaysia turut merasai keadaan itu. Daniel seperti pelancong- pelancong lain tidak melepaskan peluang merakam gambar terutama piramid-piramid sebagai kenangan. Namun, dia merasakan seperti ada kekurangan. Ya, ke manakah perginya orang-orang tempatan di negara itu dan ke manakah pergi pengunjung-pengunjung lain?

Daripada ribuan pelancong asing yang lazimnya memenuhi bas, tetapi pada Rabu lalu hanya Daniel dan rakannya saja yang ada. Lebih malang, mereka hanya berpeluang merakam gambar piramid yang merupakan salah satu keajaiban dunia itu dari jarak jauh. Semuanya gara-gara pintu gerbang memasuki lokasi bersejarah itu dikunci sejurus selepas tercetusnya rusuhan di negara itu penghujung Januari lalu.

“Banyak lagi yang ditutup, agensi-agensi pelancongan juga tak boleh membawa kami ke mana-mana, satu lagi, di sana tiada perkhidmatan kereta api,” keluh Daniel ketika ditemui Reuters.

Kata Daniel, rancangannya tidak menjadi kenyataan. Dia hanya melihat saja sebahagian pemandangan dan sejarah hebat Mesir walhal ada banyak lagi yang perlu dilawati.

Pengunjung takut

Pergolakan berdarah itu menyebabkan ramai pengunjung luar berasa takut. Mereka segera berkampung di lapangan terbang. Tujuan mereka hanya satu. Kesemuanya mahu keluar dari negara itu. Ia bukanlah masa yang sesuai untuk bergembira dan percutian harus dibatalkan serta-merta.

Dengan berbuat demikian, bermakna mereka memberi prestasi buruk terhadap industri pelancongan Mesir dan ekonominya.

Fouad Hassan, 63, seorang rakyat tempatan juga mengeluh. Pintu rezekinya tertutup. “Kami mahu hidup dengan aman, orang luar telah pun pulang ke negara masing-masing. Sampai bila keadaan ini akan berterusan,” kata Fouad yang terpaksa menutup kedai cenderamatanya.

Di sebalik kemurungan itu, ada satu perkara yang perlu diketahui. Kebanyakan pemandu pelancong dan peniaga-peniaga di Giza menyokong kepimpinan Presiden, Hosni Mubarak. Mereka cukup marah dengan penunjuk perasaan yang mahu menjatuhkan Presiden mereka.

“Beliau (Mubarak) telah melakukan yang terbaik, kamu tahu? Pada masa yang sama, beliau juga banyak mengubah 90 hingga 95 peratus wajah Mesir seperti yang dilihat sekarang ini,” beritahu Abdullah, 35, yang merupakan pemandu pelancong yang sudah kehilangan pelancong.


GAMAL, 54, menunggu pelancong untuk menggunakan khidmat untanya di Giza, Mesir.


 

Mubarak dikatakan telah melaksanakan pelbagai transformasi. Di tengah-tengah Kaherah misalnya, iaitu jalan yang menjadi kawasan pergolakan sebenarnya terletak dalam lingkungan kawasan Muzium Mesir yang terkandung mumia-mumia, harta karun, barang antik sejak zaman Firaun. Ia menjadi fokus utama kerajaan negara itu dalam aktiviti pelancongannya.

Piramid Giza yang terletak 15 kilometer (km) dari pusat bandar Dataran Tahrir, dianggap terlalu ‘tenang’ bagi penduduk tempatan. Dulu, kawasan itu tidak putus-putus dikunjungi pelancong luar. Situasi itu sememangnya sangat janggal.

Jalan-jalan yang berdebu dekat piramid-piramid itu lazimnya sarat dengan lalu-lalang unta begitu juga dengan penjual minyak wangi dan orang ramai. Tapi kini, semuanya lenyap.

Sungguh mengecewakan apabila pemilik-pemilik kedai hanya duduk di depan kedai masing-masing. Rusuhan kata mereka, telah menjerat perniagaan yang diusahakan. Sokongan kepada Mubarak sebelum ini, telah menyelamatkan mereka dan berjaya menggamit jutaan pelancong ke Mesir setiap tahun.

Mubarak diberi jolokan sebagai ‘Firaun’ oleh sesetengah rakyat Mesir. Mereka menggambarkan Presiden mereka sebagai seorang yang bersekongkol dengan Barat dan orang-orang sekelilingnya dijadikan sebagai benteng kestabilan.Ramai yang mengkritik bahawa kerajaan yang dikendalikan oleh Mubarak sangat kejam, suka menindas dan penuh dengan unsur rasuah.

Kepimpinan yang kejam

Pasukan Mubarak juga dilaporkan berjuang dalam pemberontakan kekerasan orang Islam di selatan Mesir pada tahun 1990-an. Pemberontakan itu melibatkan serangan berdarah ke atas pelancong-pelancong di Luxor. Justeru, Mubarak mengambil langkah menempatkan askar-askar untuk menjaga kawasan kereta api, resort dan lokasi yang menjadi tumpuan ramai.

“Ia selamat dan ia benar-benar selamat dengan adanya Mubarak,” kata Ayman yang merupakan penjual cenderamata. Ketika itu dia duduk di luar kedainya yang dipenuhi dengan poskad, daun papyrus, seramik dan barang hiasan berbentuk piramid.

Sebelum tercetusnya rusuhan, industri pelancongan Mesir berkembang secara konsisten selama beberapa dekad lamanya sebelum bom diledakkan di Semenanjung Sinai, yang terletak di antara Laut Mediterranean dan Laut Merah, Mesir. Lebih 12 juta pelancong berkunjung ke Mesir pada tahun 2009 dengan janaan pendapatan mencecah AS$11 bilion (RM33.5 bilion).

Pada hari-hari biasa kata Ayman, lazimnya dia melihat sekitar 200 hingga 300 pelanggan di kedai dekat Sphinx, sebahagian besarnya dari Eropah. Tapi pada Rabu lalu, hanya tiga orang saja datang ke situ.

Namun jiran lelaki itu, Gouda Fayed, 55, ada pandangan tersendiri. Sambil menghirup teh di kedainya yang penuh dengan monumen yang melambangkan keagungan Mesir 4,500 tahun lalu dia berkata: “Saya pasti, jika semuanya tamat, segala-galanya akan kembali seperti biasa.” – Reuters

Posted February 15, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: