Santubong

Singkap misteri Santubong

Oleh KARL SHAFEK IBRAHIM


PAPAN tanda penunjuk arah di KBS ini sudah cukup menunjukkan diversiti budaya.

 


LEGENDA Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang bertukar menjadi gunung mungkin menarik perhatian sepanjang waktu penerbangan kami ke Kuching, Sarawak.

Namun, tujuan kami bukanlah mahu merungkai misteri kedua-dua orang puteri itu. Kunjungan sempena penggambaran episod 3 Hari 2 Malam kali ini adalah untuk meneroka kegiatan menarik yang boleh dilakukan di kawasan Santubong yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Bandar Raya Kuching.

Tepat seperti namanya, Pantai Damai yang terletak di kaki gunung Santubong sememangnya mendamaikan. Penginapan pilihan kami kali ini ialah di Damai Puri Resort & Spa yang terletak cuma lima minit berjalan kaki dari Kampung Budaya Sarawak (KBS).

Lokasi yang majestik! Bunyi desiran ombak begitu asyik dinikmati sambil berlatarbelakangkan gunung legenda itu, lebih-lebih lagi ketika landskap itu dilitupi kabus nipis. Pada kebanyakan waktu, kami terbuai dengan keindahan ciptaan Ilahi itu.

Walaupun tidak banyak aktiviti ekstrem boleh dilakukan di pantainya, ia tetap sempurna buat pengunjung yang ingin bersendirian mencari ketenangan mahupun menikmati keseronokan berbulan madu. Peluang menyaksikan pemandangan ketika matahari terbenam di pantai itu tidak harus dilepaskan.

Siar sungai

Selain dipukau suasana matahari terbenam di Pantai Damai, anda juga boleh memilih untuk menyaksikan keindahan perubahan cahaya siang ke malam dengan menaiki bot siar Sarawak River Cruise yang perpangkalan di Kuching Waterfront.

 

TENGKORAK yang digantung di dalam salah sebuah rumah etnik di KBS.

 

 


Perkhidmatan tersebut bermula dari pukul 5.30 petang hingga 7 malam setiap hari. Pengunjung akan dibawa menyusuri Sungai Sarawak untuk menyaksikan keindahan alam dan warna-warni kehidupan manusia di kedua-dua belah lembangannya.

Pesiaran selama satu setengah jam berada di atas bot persiaran itu bagaikan tidak terasa lantaran para penumpang masing-masing terpesona dengan sajian pemandangan yang istimewa dan berharga.

Selain menawarkan makan malam yang enak dengan hidangan tempatan, para penumpang bot juga dihiburkan dengan persembahan tarian etnik yang menghiburkan.

Semarak festival

Setiap pertengahan Julai sejak beberapa tahun lalu, kaki Gunung Santubong menjadi tumpuan ribuan peminat muzik yang menghadiri Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia. Acara tahunan berprestij itu diadakan di KBS dan sentiasa mendapat perhatian komuniti pencinta world music yang sanggup datang dari dalam mahupun luar negara.

Kalau bukan ketika berlangsungnya festival itu, KBS sememangnya mempunyai tarikan yang hebat sepanjang tahun.


RUANG baruk di Rumah Bidayuh menjadi tempat pelbagai aktiviti keluarga.

 


‘Muzium hidup’ itu adalah lokasi sehenti bagi merasai elemen keseluruhan Bumi Kenyalang tanpa perlu menjelajah jauh di negeri terbesar Malaysia itu. Selain replika rumah-rumah asal kaum etnik negeri, kakitangan KBS sentiasa bersedia menjadi kamus kepada pengunjung untuk menerangkan perincian budaya mereka.

Rumah Bidayuh, Rumah Iban, Rumah Orang Ulu dan Rumah Penan antara tujuh buah rumah etnik Sarawak yang didirikan di atas tapak perkampungan seluas 17 ekar itu.

Seni bina Rumah Bidayuh misalnya, terdiri daripada sebuah rumah panjang dan rumah kepala yang lazimnya dibina di bahagian hadapan rumah panjang.

Pada masa dahulu, Rumah Kepala atau Baruk menjadi kediaman pahlawan-pahlawan Bidayuh yang masih bujang.

‘Ditegur’ Tegundur

Menurut ceritanya, sebelum para pahlawan keluar berperang, mereka wajib menyembah patung Tegundur terlebih dahulu untuk mendapatkan restu dan perlindungan.

Pahlawan Bidayuh terkenal kerana kehandalan mereka dalam medan perang. Kepala musuh yang tewas dipancung lalu dibawa pulang ke Rumah Kepala dan digantung dan diasapkan setiap masa bagi menandakan kekuasaan mereka.

 

TEGUNDUR yang menyeramkan pengacara 3 Hari 2 malam, Karl Shafek dan Fizo Omar.

 

 


Kami diingatkan supaya tidak bermulut lancang ketika di situ. Khabarnya, semua peralatan, baik senjata, perkakasan mahupun gantungan tengkorak di tengah rumah dipercayai mempunyai ‘penunggu’.

Kami sendiri merasai ‘gangguan’ mistik ketika melakukan penggambaran. Saya dan Fizo Omar sukar untuk mengingati skrip dan menyampaikan maklumat mengenai Rumah Kepala itu sehingga perlu mengulangi rakaman lebih 20 kali.

Namun setelah dinasihatkan supaya membaca beberapa potongan ayat suci al-Quran, kekalutan itu berakhir dan penggambaran berjalan dengan lancar. Wallahualam.

Jika anda mahu menyaksikan pelbagai tarian kebudayaan Sarawak, Panggung Budaya KBS adalah tempatnya. Pertunjukan kebudayaan itu diadakan dua kali sehari iaitu pada pukul 11.30 pagi dan 4 petang.

Posted February 15, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: