Taman Negara Mulu

Menakluk titian kanopi terpanjang dunia

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN



 

BAHANG mentari yang menyinsing sejak dinihari tidak segan silu menerobos ruang kamar bilik berdinding kayu di Royal Mulu Resort.

Kadangkala hembusan bayu nyaman meniup lembut dari celahan kayu dan tingkap kaca walau masih tertutup erat. Jam baru menunjukkan pukul 9 pagi. Penantian untuk menjejak laluan jambatan gantung terpanjang dunia tinggal lagi 30 minit.

Selesai bersantapan, ekspedisi dimulakan dengan penerangan ringkas oleh Pemandu Pelancong dari Tropical Adventure yang sudah serasi dengan senario Taman Negara Mulu, Richard Anak Burong, 30.


SUNGAI Melinau menjadi laluan utama yang menghubungkan penduduk di pesisir Taman Negara Mulu.


 

Teruja? Itulah perasaan yang bermain di minda, tatkala meredah liku-liku denai jalan merah berlopak menuju ke pintu utama Taman Negara Mulu yang letaknya lebih kurang satu kilometer (km) dari lokasi penginapan.

Selama 45 minit yang diperuntukkan untuk pengembaraan sejauh 1.3 km berjalan kaki disejukkan dengan panorama alam hijau mengiringi laluan pejalan kaki.

Usah risau bagi yang takutkan pacat, lintah atau serangga yang gemar merayap di tanah kerana laluan kayu ini dibina agak tinggi daripada jarak rumput di lantai hutan. Namun, masih perlu berhati-hati lantaran pemegang di sebelah kiri laluan tersebut mungkin menjadi ‘lebuh raya’ utama serangga atau haiwan berbisa.

Bagai tidak terasa penat kaki melangkah apabila acap kali telinga didendangkan dengan kicauan mergastua dan unggas yang masih aktif di hutan tebal yang digazet di bawah perlindungan Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Setiba di menara tiga tingkat setinggi 20 meter yang didirikan bersebelahan batuan bukit, penerangan tambahan dibekalkan kepada pengunjung sebelum meneruskan perjalanan merentasi aliran Sungai Lupar dan Sungai Paku yang mengalir lembut di bawah lantai jambatan yang ditambat di pokok-pokok besar.

“Setiap kali melalui jambatan dari satu stesen ke stesen seterusnya hanya dua orang dibenarkan bergerak pada satu-satu masa,” tegas Richard memberi arahan.

Silau suria semakin hangat membahang epidermis kulit apatah jarak perjalanan semakin hampir dengan ruang udara.

SPESIES cicak yang berupaya menyamar seperti keadaan sekeliling yang masih menghuni Taman Negara Mulu.


 

Mujur perjalanan dimulakan awal pagi lagi, sekurang-kurangnya litupan dedaun meneduhkan titian yang luasnya hanya boleh dilalui seorang pada satu-satu masa itu mengurangkan rasa penat.

Struktur titian gantung beralas kayu itu disokong oleh kabel besi yang melilit utuh sekeliling pokok selain turut ditampung oleh blok-blok kayu.

“Selain mengelakkan pokok-pokok cedera terkena tali yang kasar untuk menggantung jambatan kanopi ini, blok-blok kayu memberi sumber nutrien tambahan kepada pokok yang menyokong setiap stesen,” ujarnya memberi rasional mengapa dua orang dihadkan setiap kali berjalan merentas setiap stesen.

Ekskavasi gua

Sekiranya terlalu ramai yang melalui jambatan itu pada satu-satu masa dikhuatiri struktur tersebut akan melayut ke bawah kerana ketinggian binaannya yang mencecah paras separuh sebatang pokok matang berusia puluhan ribu tahun.

Namun, keupayaan jambatan gantung itu sebenarnya mampu menampung berat sebuah kereta perodua kancil yang dihitung bebannya bersamaan dua tan atau 2,000 kilogram (kg).


PEMBENTUKAN stalagtik unik di ruang gua Lang antara tarikan pengunjung yang bertamu.


 

Pengunjung yang gemarkan aktiviti tempat tinggi itu biasanya memerlukan masa sekitar 45 minit untuk menempuhi laluan sempit sepanjang 480 meter.

Tidak lengkap sekiranya bertandang ke Mulu yang merupakan antara daerah terkecil di Sarawak dengan populasi kurang daripada 1,000 penduduk itu sekiranya tidak bertamu ke lohong-lohong gua yang terdapat di sana.

Di banjaran Mulu sahaja terdapat 76 buah gua keseluruhannya yang hanya 24 buah daripadanya baru diteroka oleh pengembara.

Menurut Richard, daripada jumlah tersebut hanya empat buah gua dibuka untuk kunjungan pelancong dan selebihnya dikhaskan kepada individu berpengalaman untuk aktiviti lebih mencabar.


USAH gusar untuk meneroka laluan gua terbesar dunia ini kerana laluan pejalan kaki khas siap tersedia.


 

Jarak laluan ke gua-gua tersohor seperti Gua Lang dan Gua Rusa tidak sejauh yang diduga walau jarak perjalanannya masih berbaki 45 minit.

Kehebatan alam yang mempunyai niche atau keluarga sendiri ditambah dengan simbiosis untuk menjamin kemandirian hidup masing-masing merancakkan lagi penerokaan.

Takjub dengan keunikan pokok rotan dan semut yang saling membantu membekalkan sumber makanan dan mengawal daripada penceroboh, pepohon besar berakar banir turut mengiringi hayunan langkah ke muka pintu gua akhirnya.

Tarikan Gua Lang yang berusia 4,000 tahun dengan formasi stalagtik dan stalagmit yang terbentuk dari aliran air gua batu kapur diserikan dengan simbahan lampu LED berwarna oren bagi menyerlahkan lagi corak dan bentuk-bentuk unik yang terhasil.

“Setiap satu sentimeter (sm) kiub stalagtik atau stalagmik mengambil masa 1,000 tahun untuk terbentuk, jadi bayangkan usia gua batu kapur yang telah terbentuk setelah proses demi proses berlaku,” terang Richard sambil menunjukkan dinding gua yang membentuk corak seumpama obor-obor yang menjadi tarikan utama Gua Lang.

Laluan sejauh 200 meter dalam gua batu kapur itu dibantu dengan laluan pejalan kaki yang menghubungkan setiap batuan-batuan kasar dan licin.

Ekskavasi diteruskan dengan meneroka gua yang mempunyai laluan terbesar di dunia iaitu Gua Rusa.

“Selain dipercayai berupaya menempatkan 40 buah jet jumbo, laluan yang terbentuk daripada laluan arus air ini dikatakan sistem gua terbesar dunia mengatasi Gua Son Doong di Vietnam,” ceritanya lanjut selain menjadi tarikan kepada lebih 16 spesies kelawar yang menghuni gua tersebut.

Jolokan nama Luyang Payau yang bermaksud lubang rusa dikaitkan dengan mitos tarikan pemburu ke gua tersebut sebelum meniti detik terakhir rusa ditemui pada penghujung tahun 1977.

Mitos dan mistik


PENGUNJUNG berpeluang mendapatkan kraf tangan suku kaum Penan di tebing Sungai Batu Burgan.


 

Tarikan lain di gua tersebut antaranya profil Abraham Lincoln yang terbentuk di pintu utama gua selain Taman Eden yang letaknya di bahagian belakang gua.

Selain Gua Lang dan Gua Rusa, terdapat lagi dua buah gua yang dibuka untuk pelancong iaitu Gua Air Jernih dan Gua Angin.

Perjalanan menaiki bot laju meredah Sungai Melinau menuju ke dua buah gua yang disebut tadi dianggap tidak lengkap sekiranya tidak singgah ke perkampungan etnik Penan di tepian perkampungan Batu Bungan.

Selain dapat meninjau proses pembuatan kraftangan asli di depan mata, pengunjung juga berpeluang memiliki cenderamata yang dihajati seperti anyaman tikar rotan dengan motif puak asli Sarawak ataupun ukiran kayu pada harga yang berpatutan.

Usah gusar jika anda kurang fasih bertutur dalam loghat Sarawak kerana majoriti penduduk di penempatan ini fasih berbicara dalam bahasa Melayu malah ada antaranya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.

Posted February 15, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: