Air Terjun Sungai Pisang

Tubuh ditujah air terjun

Oleh NOR AZIRAN YUNUS 



RASA gayat dan gerun bagai menggigit-gigit jantung. Kalau diikutkan hati, mahu saja meminta pengecualian daripada aktiviti abseiling itu, walaupun peralatan keselamatan telah siap terpakai.

‘Bolehkah aku melakukannya? Kalau orang lain boleh buat, mengapa aku tidak?’. Begitulah runtun hati gadis bernama Izura Zainal, 26, salah seorang peserta yang mengikuti program Canyoning D’ Malaysia di Air Terjun Sungai Pisang, Gombak, Selangor baru-baru ini.

“Bila kaki mencecah bumi, barulah saya boleh menarik nafas lega dan saya berasa keyakinan diri semakin bertambah!” Katanya dalam nafas tersekat-sekat tanda kepenatan.

Sejak awal berada di lokasi tersebut, dia cuba memotivasi dirinya dengan bisikan-bisikan positif.

Lokasi terpencil berhampiran Lebuh Raya Karak itu sememangnya menjadi tumpuan ramai ‘pemburu’ aktiviti sebegitu khususnya pada hujung minggu atau cuti umum. Dengan latar suasana hutan dara menghijau, aktiviti abseiling di kawasan air terjun tersebut menjadi pengalaman yang sungguh istimewa.

Bagi Izura, pengalaman seumpama itu memang sukar dicari dan pasti menjadi antara kenangan paling manis dalam hidupnya. Ternyata dia begitu seronok menyertainya kerana sebelum itu dia hanya mendengar cerita kawan-kawan mengenainya.

 

KEKUATAN fizikal dan mental amat diperlukan untuk menyempurnakan aktiviti abseiling menuruni air terjun.

 

 


Menurut gadis yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan di Putrajaya itu, dengan menyertai aktiviti riadah, dia dapat menghilangkan segala tekanan kerja yang sentiasa membelenggu diri.

Baginya, abseiling menuruni air terjun itu bukan saja satu terapi yang mampu merehatkan minda, malah sebagai pengisian yang meningkatkan keyakinan dirinya.

“Kalau diikutkan hati, memang saya takut pada ketingggian, apatah lagi kalau hanya bergantung pada tali untuk menuruni air terjun yang sangat curam,” kata Izura mengenai cabaran tebing setinggi 20 meter itu.

Kepuasan diri

Bagi sahabatnya yang turut serta dalam aktiviti itu, Mohamad Aizalazri Razali, 27, pengalaman rekreasi lasak tersebut memberikannya kepuasan.

“Tujahan air terjun yang mencurah-curah sudah tidak dirasakan kerana dalam hati telah tersemat satu tekad iaitu cepat sampai ke permukaan air terjun,” ujar Aizalazri.

Bukan saja membiasakan diri dengan faktor ketinggian, peserta abseiling juga perlu patuh pada arahan penganjur program yang berpengalaman.

Antara yang perlu diberi perhatian adalah soal pemakaian yang sesuai dan teknik mengawal pelepasan tali abseiling. Selain berhati-hati dengan halangan semula jadi seperti batuan yang licin dan rintangan akar-akar kayu, mereka juga perlu tahu sudut bukaan kaki serta langkah yang betul bagi menstabilkan diri sewaktu menuruni air terjun itu.

Menurut Aizalazri, tempoh lima minit untuk sampai ke tapak mendarat adalah sesuatu yang tidak dapat digambarkan. Perasaan seronok dan bangga itu hanya dapat dirasai orang yang berjaya menyudahkannya.


PENGANJUR memberikan taklimat kepada peserta sebelum memulakan aktiviti.

Sementara itu, seorang lagi peserta yang juga pertama kali menyertai aktiviti itu, Hasimi Mat Hassan, turut gembira menyertai aktiviti tersebut.

Menurut lelaki yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu, peralatan keselamatan yang lengkap menjadikannya bertambah yakin untuk melakukan abseiling. Baginya, persediaan yang mencukupi telah memadam perasaan gementarnya.

“Saya pernah melihat orang melakukan aktiviti abseiling di dinding batu atau di bangunan tinggi. Namun, apa yang dicuba di dalam hutan ini adalah sesuatu yang berbeza,” ujarnya.

Pengisian waktu senggang

Hasimi menggesa orang ramai khususnya para remaja agar meluangkan masa untuk mengikuti aktiviti rekreasi lasak seumpama itu sebagai pengisian waktu senggang.

“Selain memberi satu dimensi baru dalam pembinaan aspek keyakinan diri, ia juga dapat menghindar mereka daripada melakukan aktiviti-aktiviti lain yang tidak berfaedah,” pesannya.

Sementara itu, wakil penganjur program dari Equip Management, Azlishah Abdullah, 30, berkata, penyertaan aktiviti kali itu adalah terbuka dan tidak terhad kepada kumpulan-kumpulan tertentu.


SEMUA peserta bergambar sebelum memulakan aktiviti abseiling di Air Terjun Sungai Pisang.

Kebanyakan peserta yang mengikuti aktiviti itu datang secara individu dan semuanya mengakui bahawa mereka tidak pernah melakukan aktiviti lasak tersebut.

Azlishah memberitahu, kawasan Air Terjun Sungai Pisang dipilih menjadi lokasi aktiviti riadah tersebut kerana landskap semula jadinya yang masih terpelihara. Ditambah pula dengan tarikan sudut perkelahan yang bersih, ia menjadikan kawasan itu sangat selesa dan mempunyai daya penarik tersendiri.

Justeru, Azlishah menyeru mana-mana individu atau kumpulan yang berminat menyertai aktiviti itu atau ingin mendapatkan maklumat lanjut supaya menghubungi wakil pihak Equip Management

Posted February 16, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: