FRIM Kepong

Berkhemah satu malam di FRIM


SURIA (tengah, berbaju hijau) merakamkan gambar kenangan bersama kanak-kanak dari Desa Amal Jireh, Semenyih dan Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Yatim Miskin, Sabak Bernam, Selangor.

 


KEHIJAUAN flora dan fauna Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong memukau pandangan 36 kanak-kanak sebaik sahaja mereka melangkah turun dari bas dan memasuki Kem Perah. Semuanya berkumpul di FRIM untuk perkhemahan satu malam atas jemputan Majlis Perkayuan Malaysia (MTC).

Kanak-kanak berumur antara 12 hingga 14 tahun dari Desa Amal Jireh, Semenyih dan Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Yatim Miskin, Sabak Bernam itu dibawa bercuti daripada rutin harian mereka untuk menikmati ketenangan suasana hutan buatan manusia di situ.

Sebaik sahaja tiba di FRIM, mereka disambut oleh Pengarah MTC, Suria Zainal, yang memberikan taklimat ringkas mengenai dasar pengurusan hutan mampan Malaysia, pentingnya pemuliharaan alam sekitar dan penggunaan sumber hutan secara bertanggungjawab.

Sejurus selesai, kanak-kanak tersebut diajar cara mendirikan khemah untuk membolehkan mereka bermalam. Namun, sebelum matahari melabuhkan tirai pada hari pertama, kanak-kanak itu dibawa menyusur hutan dan berjalan atas aras kanopi.


PESERTA tekun mendengar penerangan bagi menyelesaikan cabaran mencari harta karun.

 


Pengalaman mendebarkan

Pengalaman itu ternyata mendebarkan bagi kebanyakan mereka yang kali pertama meniti jambatan gantung sepanjang 200 meter itu. Dengan ketinggian kira-kira 35 meter dari atas permukaan bumi, banyak pokok tropika yang besar ditemui lantaran ia dijadikan titik perhentian di sepanjang laluan.

Sebagai ganjaran, mereka dapat menikmati pemandangan latar langit Kuala Lumpur yang indah apabila mereka berdiri di atas pelantar paling tinggi, yang dibina di keliling sebatang pokok di tepi jambatan gantung.

“Ia benar-benar mencabar kerana jambatan gantung itu sangat tinggi dan berhayun apabila kami berjalan di atasnya.

“Tetapi ia menyeronokkan kerana di tahap paling tinggi saya dapat melihat keindahan hutan dan bandar raya,” kata Nurul Nadirah Zainal, 13, dari Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Yatim Miskin.

Selepas berjalan di atas pokok-pokok hutan, mereka kembali ke Kem Perah untuk mengambil bahagian dalam acara perlumbaan berhalangan yang menguji ketangkasan, semangat kerja berpasukan, kepantasan dan kreativiti mereka.


KANAK-KANAK diberikan penerangan oleh kakitangan FRIM sebelum memulakan cabaran mencari harta karun.

 


Apabila malam menjelma, selera mereka disambut dengan sesi makan malam barbeku sambil ditemani unggun api yang memeriahkan suasana.

Aktiviti istimewa bagi mereka tentunya berjalan malam! Pengalaman unik itu membolehkan mereka melihat dan mendengar bunyi makhluk yang keluar berkeliaran pada waktu malam.

Sewaktu menyusur sungai, pemandu FRIM mengejutkan mereka dengan menangkap seekor udang hidup dan menyuruh seorang daripada mereka memakannya. Aksi itu mencetuskan derai ketawa yang memecah kesunyian malam.

Kenangan manis

Bagi Chin Cal Vin, 14 tahun, dari Desa Amal Jireh, aktiviti berjalan malam itu meninggalkan kenangan manis yang tidak akan dapat dilupakannya.

“Saya belajar banyak perkara baru tentang hutan semasa berjalan pada waktu malam. Kami jumpa bekas tapak kaki babi hutan dan banyak tumbuhan dan binatang yang luar biasa. Sungguhpun saya takut gelap, saya gembira menyertainya,” ujarnya.

Keesokan paginya mereka bersiap sedia untuk menyertai perlumbaan mencari harta karun yang merupakan acara kemuncak perkhemahan dua hari itu.

Dalam kumpulan bertiga atau berempat, mereka berlumba antara satu sama lain untuk cuba menyelesaikan teka-teki dan mengharungi cabaran di setiap stesen atau tempat pemeriksaan. Bagi anggota empat pasukan teratas, penat lelah mereka tidak sia-sia apabila mereka menerima hadiah daripada MTC.


KANAK-KANAK bekerjasama mendirikan khemah di Kem Perah sejurus tiba di FRIM.

 


Perasaan sedih jelas terpancar di wajah mereka apabila mereka mengemas barang mereka dan membersihkan tapak perkhemahan sebelum pulang.

Mereka ternyata gembira menyertai aktiviti yang diaturkan sehingga mereka keberatan untuk meninggalkan tapak perkhemahan dan berpisah dengan kawan-kawan baru.

“Saya rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan tempat yang cantik ini dan pulang ke bandar. Saya belajar sesuatu yang baru tentang alam sekitar dan hutan serta cara menjaga hutan.

“Aktiviti yang saya gemari ialah titian kanopi dan berjalan malam. Pengalaman yang di sini benar-benar sukar dilupakan,” kata V. Jeevan, 13, dari Desa Amal Jireh.

Program diteruskan

Menurut Suria, aktiviti perkhemahan malam untuk kanak-kanak kurang bernasib baik itu adalah yang pertama dianjurkan MTC.

“Kami ingin meneruskan usaha seperti ini pada tahun depan dan kami berharap untuk melibatkan lebih ramai kanak-kanak dan lebih banyak program.

“Perkhemahan ini memberi mereka peluang yang baik untuk mendapatkan pengetahuan tentang keajaiban alam.

“Kami berharap untuk meningkatkan kesedaran mereka terhadap hutan Malaysia dan lebih bertanggungjawab terhadap penggunaan dan pemuliharaan sumber alam,” katanya.

Posted February 16, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: