Taman Tasik Taiping

Pelengkap aura Taman Tasik Taiping

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

Sejak Hotel Flemington dibuka, ia berjaya menarik minat ramai pengunjung yang sebelum ini tidak pernah menjejakkan kaki ke Taiping, Perak.

AMBIL masa untuk berjalan-jalan di Taman Tasik Taiping yang cukup terjaga kebersihannya.


 

SEBAIK sahaja langsir yang menutupi cermin yang berfungsi sebagai dinding itu dibuka, kedamaian dan kehijauan pokok-pokok sekitar tasik itu nyata amat mendamaikan. Dari jauh, anda sudah dapat melihat kelibat beberapa orang lelaki dan wanita berjoging atau sekadar berjalan-jalan sambil menghirup udara yang segar.

Hotel itu dilancarkan secara rasminya pada Oktober tahun lalu. Maka, tidak hairanlah semua kemudahan yang ada di dalamnya masih baru. Tidak terkecuali karpet yang melitupi setiap inci lantainya.

FLEMINGTON cukup terkenal di kalangan pelancong dari Singapura, Thailand dan Filipina.


 

Bilik yang sempat saya inap semalaman itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden. Televisyen LCD, pendingin hawa dan susun atur perabot nyata melengkapkan konsep moden kontemporari yang diserapkan kepadanya.

Hotel Flemington ada sesuatu yang menarik untuk ditawarkan kepada setiap pengunjungnya. Berlokasi di Taiping, Perak, ia terletak hanya beberapa meter sahaja dengan Taman Tasik Taiping. Maka tidak hairanlah jika ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

“Kami percaya lokasi hotel ini sesuai bagi mereka yang ingin menenangkan fikiran, bercuti bersama keluarga atau mengadakan majlis korporat,” kata Eksekutif Jualan Hotel Flemington, Zureen Sofia Zakaria.

Ia menyediakan sebanyak 116 buah bilik. Bermula daripada jenis superior, premier, junior suite dan executive suite. Penginap juga boleh menikmati hidangan di empat lokasi F&B hotel termasuklah Raintree Café, restoran Cina, Flemington Lounge dan Sky Bar.

Hotel itu menyediakan kemudahan lain seperti kolam renang di tingkat atas. Tidak puas? Anda harus pergi menjalankan aktiviti yang melibatkan alam semulajadi.

SEMUA bilik Hotel Flemington mengetengahkan konsep moden komtemporari.


 

Selain lokasinya, keistimewaan hotel Flemington pastinya terletak pada tarikan yang ada di bandar Taiping. Jika anda berkesempatan ke sana, jangan lupa untuk menikmati keindahan taman serta menyaksikan binatang di Zoo Taping Night Safari. Selain itu, Taiping juga kaya dengan pelbagai bangunan bersejarah untuk dilawati.

Menurut Zureen, pakej istimewa yang bakal ditawarkan kepada pengunjung masih dalam perancangan. Di hotel itu nanti, akan wujud ‘tour counter’ bagi membolehkan hotel membawa pelanggannya pergi ke lokasi-lokasi pelancongan menarik.

Pelancong yang datang ke Hotel Flemington terbahagi kepada 50 peratus tempatan dan bakinya datang dari luar negara. Biasanya mereka datang Singapura, Thailand dan Filipina. Pihak pengurusan nyata agak terkejut dengan sambutan tersebut.

“Walaupun pada waktu pembukaannya, laman sesawang rasmi hotel masih belum siap. Tetapi orang ramai sudah bercakap mengenainya. Hasilnya, banyak ejen pelancongan yang membawa pelanggan mereka ke sini,” katanya lagi.

NIKMATI jualan kegemaran anda dalam suasana yang eksklusif dan tenang.


 

Lebih menarik lagi, kadar yang dikenakan ialah antara yang paling murah di Taiping. Bagi mereka yang datang secara berkumpulan pada hari biasa, caj bilik superior hanya RM128 lengkap bersama sarapan untuk dua orang.

Bilik premier yang mengadap tasik pula harganya ialah RM138 tetap. Bagi junior suite (RM198) dan executive suite yang merupakan bilik paling besar cuma RM258.

Secara keseluruhannya, bilik yang mengadap taman terbahagi kepada 30 bilik premier, tiga junior suite dan empat buah bilik executive suite.


TENANGKAN fikiran sambil berenang di kolam renang yang terletak di tingkat atas hotel.


 

“Kami ada menerima maklum balas daripada beberapa agensi kerajaan. Apa yang mahu dilaksanakan dalam masa terdekat ialah mewujudkan sesuatu yang benar-benar bernilai buat semua pelanggan.

“Bukan datang ke sini untuk tidur sahaja, tetapi banyak aktiviti yang boleh dilakukan. Mungkin kerjasama dengan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan terlibat dalam aktiviti yang mereka adakan.

“Malah MPT pernah mengetengahkan Hotel Flemington dalam rangka kerja mereka di Singapura,” kata Zureen.

Posted February 16, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: