Berpuluh ekor bulan lolos

hilmi@bharian.com.my
ZUBER bersama ikan bulan berskala 500g yang dipancing menggunakan gewang jenis mikro. 

ZUBER bersama ikan bulan berskala 500g yang dipancing menggunakan gewang jenis mikro.

SIAPA sangka sungai selebar dua depa di Sungai Air Tawar dekat Sabak Bernam dihuni ikan yang banyak dan populasinya terpelihara sehingga hari ini.

Spesis seperti ikan bulan, siakap, haruan, bandang, puyu dan termasuk udang galah membiak dengan berkembang di sungai yang berair payau itu.

Penulis berkesempatan ke sungai itu bagi memburu ikan bulan yang mendominasi semua kawasan terbabit atas ajakan rakan, Aswadi yang juga anak jati di situ.

Berbekalkan set pancing ringan dan berumpan gewang mikro, penulis dan rakan – Arshiq, Zauber dan Afiz bergerak seawal jam 4 pagi dari Kuala Lumpur ke sungai yang dikatakan mempunyai banyak ikan bulan (Megalops cyprinoides) itu.

Aswadi menunggu kedatangan kami dan tanpa berlengah, penulis yang menggunakan rog Fenwick GT 4-12 paun (lb) dan berpasangan Shimano 500, cukup ampuh untuk mengekang ikan bulan yang gemar melakukan aksi akrobatik selepas terkena mata kail.

Aswadi sempat berpesan kepada kami bahawa ikan ini mudah melepaskan semula gewang apabila terasa mata kail di dalam mulutnya. Jadi katanya, apabila umpan disambar ikan, kami perlu mengarau dengan cepat supaya tali regang bagi mengekang ikan melompat dan tidak lolos.

Balingan terus dibuat menggunakan set mengilat ringan ke arah ikan bulan yang timbul di mana menurut Aswadi peratus untuk menerima sentapan pada ketika itu sangat tinggi.
Penulis membuat teknik ‘jerk’ atau karau dan sentap ke arah kumpulan itu. Belumpun gewang jenis Abu Tormentor 2g berwarna ikan trout sampai di tebing, satu sambaran berlaku.

Joran melentur dan penulis yang melonggarkan sistem seretan kekili pada awalnya melayan mangsa hingga ke tengah sungai. Apabila ikan kembali semula di tebing sambil melakukan lompatan akrobatiknya, tiba-tiba gewang yang disangkakan tertancap kemas pada mulut ikan kembali kepada penulis semula. Ikan terlepas!

Penulis yang bersedia selepas tewas dengan taktik ‘kotor’ mangsa, menukarkan gewang Baby Cima 2g berwarna putih dan terus membuat balingan nekad ke arah reba di mana kumpulan bulan kerap bermain di situ.

Belumpun aksi ‘jerk’ dibuat, satu sambaran berlaku dan mangsa terus membuat aksi lompatan akrobatik di tengah sungai. Penulis yang faham dengan taktik itu segera mengarau pantas supaya tali tegang.

Ikan bulan seperti tidak berputus asa dengan membuat tiga kali lompatan untuk melepaskan diri. Akhirnya ikan bulan berskala 600 gram terkulai di tangan penulis yang sekali gus dianggap mendapat lesen pertama mendaratkan ikan ini.

Sehingga waktu petang, kumpulan kami memperoleh kira-kira 10 ekor ikan bulan berskala 300 hingga 600 gram selain berpuluh lagi mangsa yang rabut.

Posted February 17, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: