Budak tumpaskan siakap 8kg

Oleh Zulhilmi Hat
FAThi bersama siakap seberat 8kg yang  ditewaskannya. 

FAThi bersama siakap seberat 8kg yang ditewaskannya.

SUNGAI PETANI: Aksi lambungan seakan ketulan timah di atas air masih terbayang di benak penulis yang memancing ikan siakap dalam bekas kolam ternakan udang Bedong dekat sini, baru-baru ini.

Kocakan air kolam seluas padang futsal itu membuatkan mata pemancing lain tertumpu melihat kanak-kanak berlawan dengan seekor mangsa.

Kanak-kanak itu, Muhammad Fathi Aizzuddin Azyyat Rahmat ,7, dilihat bergasak kira-kira 10 minit dengan siakap dianggarkan 8 kilogram (kg) yang menyeret jorannya masuk ke dalam kolam air masin itu.

Dia menggunakan umpan udang hidup sebesar ibu jari dan melakukan pancingan dasar seperti diajarkan ayahnya, Azyyat Rahmat.

Kanak-kanak dari Kuantan itu melontar umpan berhampiran paip PVC di mana siakap bersaiz besar yang dilepaskan oleh tauke kolam, Ah Thye, dilihat kerap timbul dekat situ.

Belum sempat dia duduk, joran yang diletakkan sekelip mata ‘terjun’ ke dalam kolam.

Melihatkan keadaan itu, Azyyat bergegas mendapatkan pekerja yang kebetulan membersihkan kolam udang berdekatan untuk mencari joran yang terhumban ke dalam kolam itu.
Selang beberapa minit, joran Fathi ditemui dengan ikan masih tertancap pada mata kail.

Seperti biasa, Fathi yang sering ke kolam itu apabila balik ke rumah datuknya di Taman Kepala Batas, Alor Setar bergegas menyambung perlawanan dengan mangsa yang masih kuat kudratnya.

Selepas berhempas pulas kira-kira 10 minit, siakap kira-kira 8kg dinaikkan sekali gus memecahkan rekod tangkapan peribadi kanak-kanak itu.
Selepas puas mengambil gambar sebagai rekod dan kenangan, ikan itu dilepaskan semula ke kolam.

Kolam milik Ah Thye terletak dalam ladang kelapa sawit dan beroperasi sejak 10 tahun lalu. Beliau turut menternak udang putih untuk pasaran tempatan dan dieksport ke Singapura.

Untuk menjana pendapatan tambahan, Ah Thye membina tiga kolam pancing yang dihuni siakap, ikan bulan, jenahak dan bandang bersaiz mega untuk kaki pancing. Yuran RM30 untuk memancing seharian bagi kaedah tangkap dan lepas.

Posted February 17, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: