Buru baung, toman menyambar

Oleh Zulhilmi Hat

pix_gal0

BAUNG yang diidam, toman pula yang melekat – itulah situasi ‘toman makan malam’ yang membuatkan Razali Azni bersama anaknya tersentak kehairanan sejurus berjaya mendaratkan spesis persis kepala ular yang dipancing di Empangan Jus, di Jasin, Melaka baru-baru ini.

Kunjungan beliau bersama anaknya, Mohd Iman Shirazzi, 6, dan rakannya Asri, ke empangan paling dalam itu pada asalnya untuk memancing ikan baung yang dikatakan banyak menghuni empangan di negeri Bersejarah itu.

Berbekalkan umpan cengkerik dan cacing yang dibawa, mereka yakin dapat menepati syarat untuk memikat ikan bermisai yang cukup lazat dimasak tempoyak itu.

Port berbatu di sepanjang persisiran empangan menjadi lokasi mereka bertiga. Ini kerana di lokasi sebeginilah Asri yang pernah memancing sebelum ini, berjaya menaikkan baung berskala 2 kilogram (kg).

Jam di tangan Razali menunjukkan pukul 5.30 petang dan getuan ikan lampam kecil mengusik umpan menandakan baung tidak muncul seperti diharapkan mereka bertiga.

Tiba-tiba segerombolan mangsa dilihat muncul sambil membuat ledakan air tidak jauh dari tempat umpan Asri berlabuh.

Percikan air yang semakin membesar cukup membuatkan mereka terkejut dan mulut Mohd Iman menyangkakan buaya muncul di permukaan air.
“Tomam…toman,” jerit Asri sambil menjelaskan toman dekat empangan ini akan galak timbul menjelang lewat petang berbanding pagi.

Razali dengan tidak membuang masa, bergegas mendapatkan set joran mengilat kepunyaannya terletak dalam bonet kereta. Set mengilat ini sentiasa dibawanya walaupun ke tempat kerja sekalipun.

Kelihatan beberapa kumpulan toman semakin dekat menghampiri tebing. Kata Asri lagi toman berbuat demikian mungkin kerana kelaparan mencari makanan atau mungkin menjaga gerombolan anak-anaknya.

Razali sudah siap dengan ‘senjata tempur’ bergegas membuat balingan menggunakan set Daiwa Certate yang dipadankan dengan Abu Carcia Ultracast 8-14 paun sambil gewang permukaan jenis Rapala Skitter Pop Mat Tiger dijadikan taruhan untuk menjinakkan ‘mama toman’ yang berlegar tidak jauh dari mereka bertiga.

Teknik karauan aksi gewang seakan ikan tercedera di permukaan dilakukan Razali nyata menggoda pemangsa di bawah air.

Apa tidaknya, sejurus aksi dimulakan, beliau tidak menunggu masa lama apabila mangsa di bawah air tiba-tiba muncul dan menerkam gewang yang digayakan itu.

Berdesit-desit bunyi kekili Razali menahan asakan dari mama toman. Drag gegelung kekili terpaksa diketatkan separa maksimum untuk mengelakkan tali sulam 20 paun putus digetu deretan gigi tajam milik si toman Empangan Jus.

Razali pula mengambil tempat di kawasan tanjung yang berbatu bagi mengelakkan ikan merejam diri di bawah dasar tasik. Asri pula bersedia membantu menangguk ikan yang akan didaratkan itu.

Selepas berhempas pulas kira-kira 10 minit, akhirnya toman berskala 5 kilogram yang penuh bercorak batik berjaya ditewaskan.

Mohd Iman yang belum pernah melihat ikan sebesar itu berasa kagum dengan kecantikan corak ikan tempatan itu dan meminta untuk bergambar kenangan dengan ikan toman terbabit sebelum dilepaskan kembali ke habitat asalnya.

Posted February 17, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: