Ibu kerisi Redang

Oleh Mohammad Shamwen Hashim

RAkAN penulis bersama seekor ibu kerisi yang ditawan di sekitar  lubuk sekitar Pulau Redang, Terengganu, baru-baru ini. 

RAkAN penulis bersama seekor ibu kerisi yang ditawan di sekitar lubuk sekitar Pulau Redang, Terengganu, baru-baru ini.

LAZIMNYA apabila sebut sahaja trip memancing di Terengganu, maka terbayanglah perjalanan menaiki bot berbelas jam ke pelantar minyak di tengah Laut China Selatan.

Namun, di sebalik kepayahan itu, pemancing yang tidak berkesempatan menjelajah hingga ke tengah laut, masih boleh membawa pulang pelbagai spesies ikan gred mahal seperti tenggiri, belitung, ikan merah, kerapu hinggalah kertang dengan syarat tahu menggunakan khidmat tekong pakar di sekitar Pulau Redang.

Jika bertuah, perjalanan sesingkat tiga hingga empat jam sudah mampu memberikan anda kepuasan tidak terhingga menggunakan khidmat nasihat dan petunjuk daripada tekong mahir dalam teknik pancing dasar dan mengetahui lubuk ikan gred A di perairan Pulau Redang dan sekitarnya.

Pulau Redang sememangnya dipenuhi tukun dan unjam yang dihuni pelbagai khazanah spesies hebat seperti kerapu bara, kertang serta pelbagai jenis ikan merah dan yang paling utama ibu kerisi yang manis jika digulai segera.

Untuk menawan ikan berkenaan, hanya tekong kategori pakar dan banyak pengalaman boleh membantu pemancing menduga lubuk sekitar Pulau Redang ini antaranya ialah lubuk Batu Payung, Batu Selar dan Batu Laut yang sememangnya nelayan-nelayan di sini sahaja yang menyimpan rahsianya.

Walaupun lubuk-lubuk ini hanya 3 hingga 4 jam sahaja daripada daratan, tetapi hasilnya cukup memuaskan hati dengan tangkapan ibu kerisi yang seronok dipancing dan sedap dimakan itu.

Selain memancing di tukun itu, terdapat banyak unjam yang dihuni pelbagai jenis ikan seperti tongkol, belitung dan selar bersaiz sederhana.
Di dasar unjam pula, terdapat pelbagai lagi spesies ikan dasar seperti kerapu, ikan merah dan juga tambak yang sudi mengejar umpan sotong mahupun hirisan isi ikan.

Dalam kunjungan singkat penulis ke Pulau Redang, baru-baru ini, nyata umpan yang digunakan dengan mudah menjinakkan spesies berkenaan hanya beberapa jam memancing di unjam berkenaan.

Jika bernasib baik, kehadiran tenggiri dan ebek juga boleh diperoleh sekali gus membuatkan lubuk-lubuk di sini begitu popular.

Dalam kunjungan itu, penulis puas melayan belitung saiz besar meskipun hanya menggunakan umpan tiruan bulu ayam, selepas melihat sentapan lumayan, rasa menyesal pula terbit kerana tidak menggunakan selayang hidup sebagai umpan sejak awal.

Antara lubuk paling berpotensi ialah Tukun Kapal Siam atau disebut Batu Siam, selama singgah di situ, sah terdapat banyak spesies mahal terutama ibu gelama yang sememangnya sukar ditemui di perairan Semenanjung Malaysia.

Selain itu, banyak lagi lubuk yang diceritakan bakal kami selongkar seperti Batu Payung, Batu Selar dan Batu Laut yang dikhabarkan menyimpan rahsia besar dan hanya diketahui segelintir tekong anak jati Pulau Redang.

Posted February 17, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: