Patin Sg Karangan

Sungai Karangan penuh patin

PATIN menjadi habuan Saiful dan Pak Ya Rela ketika mencuba nasib di Sungai Karangan, Kedah, baru-baru ini. 

PATIN menjadi habuan Saiful dan Pak Ya Rela ketika mencuba nasib di Sungai Karangan, Kedah, baru-baru ini.

IKAN patin atau dikenali sebagai pegasius adalah ikan air tawar yang popular di negara kita.

Bagi memburunya, ramai penggemar ikan patin akan menyusuri alur-alur sungai semata-mata untuk bertarung dengan spesies yang boleh mencecah puluhan kilogram ini.

Di Sungai Karangan, di Kedah terdapat ramai pemburu patin seperti Saiful Bahri, Pak Ya Rela, Mat Ali dan ramai lagi yang sentiasa mencari ruang yang sesuai untuk memerangkap ikan patin yang enak rasanya ini.

Bagi pemburu patin ini mereka sanggup meredah alur sungai tidak kira siang atau malam. Pelbagai umpan yang dicuba seperti buah kelapa sawit, pisang ranum, buah ara dan macam-macam lagi.

Ternyata saiz patin di lubuk-lubuk sekitar Sungai Karangan dan Sungai Sedim di Kedah, besar-besar belaka. Ia menjadi buruan utama kerana harganya yang mahal di pasaran. Tambahan pula jika selepas musim banjir, pemancing kerap kali berjaya menumpaskan patin besar malah ikan tapah bagak juga akan muncul.

Terdapat beberapa teknik yang efektif untuk menumpaskan ikan patin ini. Ada juga yang menggunakan pelampung walaupun untuk memancing dasar.

Namun begitu perambut hendaklah mencecah dasar walaupun menggunakan pelampung. Teknik ini lebih mudah dikesan kerana pelampung akan tenggelam jika diragut mangsa dari dasar sungai.
Sebenarnya bukan mudah memancing ikan patin ini. Apabila umpan dilarikan, jangan terus merembat joran.

Sentakan terbaik apabila ternampak tali bergerak seakan-akan terapung dan membentuk garisan di atas permukaan air. Drag atau kunci kekili perlu dalam keadaan yang terbaik ketika patin membuat larian. Lagipun di sungai ini memang banyak reba yang boleh membuatkan pemancing berputih mata.

Tekni dan kesabaran penentu kejayaan, jika gopoh, ikan patin ganas akan melarikan diri ke dalam reba sekali gus anda berputih mata.

Pada lazimnya, kudrat melawan ikan patin mega ini tidak seberapa pada peringkat awalnya, tetapi akan bertindak agresif apabila mula disentap dan akan mengamuk apabila semakin hampir ke tebing.

Saat inilah pemancing perlu berhati-hati agar rezeki tidak terlepas di depan mata. Sebab itulah jarang pemancing di sini menggunakan perambut halus atau tidak berkualiti bagi mengelak ia putus.

Pemburu tegar ikan patin Sungai Karangan seperti Saiful dan Pak Ya Rela, satu kepuasan bagi mereka jika dapat menewaskan ikan patin mega menggunakan joran walaupun nelayan sungai yang lain menggunakan pukat dan candik untuk mencari rezeki.

Bagi mereka, tarikan ganas ikan patin mega sentiasa memberi cabaran sebelum dapat ditewaskan. Apa yang pasti Sungai Karangan dan Sungai Sedim merupakan satu lokasi memburu ikan patin yang akan terkenal suatu hari nanti selain port untuk sukan air lain.

Posted February 17, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: