Penuh sembilan tong

Oleh Osman Lisut
pix_gal0

Kerisi bali Tenggol

MUSIM tengkujuh cukup menggerunkan kaki pancing untuk turun ke laut. Tersilap percaturan buruk padahnya. Namun bagi ahli Team Veteran dari Kota Damansara, menjenguk perairan Pantai Timur sebelum tengkujuh adalah masa terbaik memperoleh tangkapan lumayan.

Team dianggotai Abang Ali, Kossem, Abdul Razak, Arman JPS, Haji Din, Che Din, Ahad dan Mohd Zaily Ros (Bob) selaku ketua ekspedisi dan kunjungan ke perairan dekat Pulau Tenggol, baru-baru ini nyata berbaloi kerana puluhan spesies ikan didaratkan.

Antara yang memenuhi sembilan tong Coleman ialah ikan merah, merah suman, kerapu, kerapu bara, kerisi bali, ibu kerisi, kalat, geropoh, jemuduk serta aruan tasik. Rata-rata hasil tangkapan antara 3 hingga 10 kilogram (kg) malah ada kerapu mencecah 15kg.

Zaily berkata, kebanyakan ikan ditangkap dengan kaedah pancing dasar selain jigging, popping dan casting. Hanya ikan melebihi 3kg diambil, manakala kurang daripada itu dilepaskan semula ke laut, kecuali sudah mati apabila masuk ke dalam bot.

“Berumpan ikan segar hampir 7kg yang dibeli di pasar Kuala Dungun, kami berpesta jemuduk dan kerapu pada hari pertama. Menjelang jam 4 petang, semua umpan habis memaksa tekong Pak Suli mengarah pemancing segera menggulung tali untuk ke unjam berhampiran mencari umpan baru.

“Kami bernasib baik kerana ada unjam buluh berhampiran. Selepas menggunakan apollo, hampir dua tong Coleman dipenuhi selar kuning, kembung, beliak mata, cencaru, tamban dan selayang. Selepas itu, kami segera ke lubuk di belakang Tenggol. Di situ, kami bergasak dengan ikan merah dan geropoh di sebelah malam,” katanya.
Esoknya, Pak Suli memandu bot ke lubuk lain kira-kira dua jam perjalanan ke utara Pulau Tenggol. Di sana, mereka diserbu kerisi bali, kerapu bara dan geropoh hampir empat jam.

“Kossem, Arman dan Che Din terpaksa mengangkat bendera putih apabila ikan bertali arus membaham umpan mereka. Teknik pancing apollo menggunakan tiga mata nyata berbaloi apabila hampir kail mengena ikan merah, kerapu, jemuduk dan kerisi.

“Ikan itu kemudian dimasak singgang oleh pembantu tekong untuk juadah makan tengah hari. Jam 12 tengah hari hingga 4 petang, tiada aksi menarik. Kami hanya berbual kosong mengenai umpan segar yang hampir habis. Melihat keadaan itu, tekong segera menghidupkan enjin bot untuk mencari unjam batu bagi mencari umpan,” katanya.

Malam kedua menyaksikan tiada banyak aksi menarik. Hanya Zaily dan Haji Din menaikkan geropoh serta aruan tasik bersaiz sederhana.

Kira-kira jam 5 pagi, Geng Veteran dikejutkan satu henjutan kekili Saltiga H450 milik Zaily. Serta-merta gelendung tali berpusing ligat dan berdecit nyaring ditarik ikan besar.

“Selepas beraksi hampir 15 minit, seekor gerepoh seberat 8kg didaratkan. Walaupun ikan itu mengganggu tidur saya namun puas kerana saiznya besar. Selepas itu, saya terus berjaga hingga ke tengah hari,” katanya.

Ekspedisi empat hari tiga malam itu menghasilkan hampir 500kg tangkapan.

Posted February 17, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: