Siakap Masjid Kristal

Oleh Tamizam Abdul Karim

pix_gal0

KUALA TERENGGANU: Jam 10 pagi mereka berdua menyusuri Sungai Terengganu sambil menunda gewang. Tiba di lokasi berdekatan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Zaidil Pateni Zaid yang bertindak sebagai jurumudi bot memperlahankan enjin.

“Kita sekarang ini masuk kawasan ikan baham gewang… pegang joran molek sikit,” katanya kepada Nor Kamal Hisham Jusoh.

Zaidil biasa menduga kawasan berkenaan mempelawa Kamal untuk memancing yang ketika itu balik bercuti di kampungnya. Sudah banyak ikan siakap diperoleh sama ada dengan teknik menunda, menggunakan gewang atau mengumpan di lokasi persembunyian ikan raja muara itu.

Malah banyak kali Zaidil berputih mata kerana ikan yang mengena, akhirnya meloloskan diri kerana saiznya besar. Pagi itu, mereka siap sedia dengan peralatan terbaik untuk menumpaskan mangsa.

Kamal menggunakan joran G Loomis GL2 10 ~ 25lb dipadankan dengan mesin Shimano Conquest berisi tali Berkley 20 paun. Apabila menerima arahan Zaidil supaya memegang joran apabila memasuki zon lubuk, Kamal bersedia sepenuhnya.

Tidak lama selepas itu, firasat Zaidil terbukti apabila sesuatu membaham gewang Yozuri Minnor warna biru yang dilontar dan dikarau berhadapan dengan Masjid Kristal. Serentak itu Kamal mula merasa tekanan mendadak pada jorannya.

Nasib baik joran yang digenggam kemas tidak terlucut. Beliau tidak menunggu lama untuk merembat balasi. “Strike!” kata Kamal ringkas tetapi agak gementar.
“Kau layan molek sikit,” kata Zaidil seolah tidak yakin dengan kekuatan tali yang digunakan Kamal.

Rasa terhibur juga apabila melihat mangsa menghambur di permukaan air dalam cubaan untuk meloloskan diri. Kilauan putih perak memukau ramai pemancing.

Terdapat beberapa orang awam yang berkunjung di Tamadun Islam turut mengambil peluang melihat gelagat dua pemancing itu bertarung dengan siakap.

Ramai pemancing kehilangan siakap putih kerana spesies itu memiliki pipi setajam pisau yang mampu memotong tali 100 paun dengan mudah.

Namun pengalaman mereka ternyata tidak mampu digugat oleh siakap seberat 6 kilogram yang akhirnya terdampar dalam bot.

Lubuk siakap ini tidak jauh dari gelanggang pertandingan memancing sempena Monsoon Cup anjuran Unit Joran Berita Harian di Pulau Warisan dekat sini, 4 Disember ini.

Posted February 17, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: