Tebal bibir

Tebal bibir Nicobar jadi azimat
Oleh Mohammad Shamwen Hashim
Che Nan bersama ikan tebal pipi perairan Nicobar yang dipancingnya, baru-baru ini. 

Che Nan bersama ikan tebal pipi perairan Nicobar yang dipancingnya, baru-baru ini.

HATI berkobar-kobar untuk ke Nicobar! Itulah luahan hati Che Nan apabila berpeluang ke perairan Kepulauan Nicobar, India, setelah mendapat pelawaan daripada rakan karibnya di Phuket, Thailand.

Disebabkan hati ingin sekali menduga spesies ganas, pelik dan mahal, Che Nan segera menempah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Phuket, iaitu satu-satunya jarak terdekat menuju ke kepulauan larangan yang ditadbir India itu.

Rakan di Phuket sengaja memilih bot berbanding pesawat yang memerlukan permit mendarat yang agak rumit, jika menaiki bot, pelayaran selama empat hari sejauh kira-kira 250 kilometer itu boleh juga diisi dengan aktiviti memancing.

Sampai di sana, rakan-rakan Che Nan sudah sedia menjemputnya lalu dibawa menaiki sebuah bot mewah yang sedia menunggu di jeti marina Patong Beach.

Masing-masing kelihatan ceria sambil berbual mesra kerana sudah lama tidak bertemu.

Setelah selesai urusan pasport, barulah pelayaran mengharungi perairan India menuju ke Kepulauan Nicobar menerusi Port Blair selama empat hari.

Sepanjang pelayaran itu memang penuh dengan keseronokan manakala kedalaman air dan arusnya memang sesuai untuk memancing ikan gred A.
Bagi penggemar jigging dan popping inilah masa terbaik untuk menduga kekuatan mental dan fizikal bertarung dengan gerepoh bagak di sekitar perairan Nicobar.

Walaupun pemancing ini agak berusia, tetapi mereka masih gagah melakukan popping dan jigging.

Berbeza di lokasi lain, perairan ini penuh dengan karang semula jadi yang dihuni pelbagai ikan besar khususnya kakap merah besar, kerapu dan ikan merah.

Daripada pengakuan tekong, nyata perairan ini sudah banyak memberikan kepuasan tidak terhingga kepada setiap kaki pancing yang mendaratkan kakap bersaiz besar dan semua tangkapan direkodkan untuk rujukan pemancing akan datang.

Berbekalkan umpan sotong segar dan hirisan ikan aya (tuna), ia menjadi amat berkesan untuk menduga penghuni karang semula jadi di laut sebelah sini.

Bagi yang lebih berani, mereka menurunkan umpan seekor ikan aya bersaiz setengah kilogram untuk menduga spesies ganas khususnya ketika memburu kertang bersaiz 100 kilogram ke atas.

Bayangkanlah nikmat dan kepuasan jika menaikkan kertang gergasi itu, harga di Malaysia saja mencecah puluhan ringgit sekilogram, jika dapat dua ekor, terasa pulang modal ke Nicobar.

Itulah yang difikirkan Che Nan ketika memulakan langkah ke Nicobar, sepanjang berada di perairan ini, Che Nan memperoleh hasil yang cukup lumayan.

Sasaran utama ialah ikan kakap merah dan kerapu pinang yang menghuni terumbu karang semula jadi dan gugusan batu. Che Nan beberapa kali berjaya menewaskan kakap merah dan red sea bass ketika memancing berhampiran beting.

Semua pemancing dapat merasa tarikan ganas kakap merah yang meragut kuat setiap kali umpan dilepaskan. Kadang-kadang, dua ekor sekali gus dinaikkan.
Walaupun saiz ikan yang dinaikkan antara 3 hingga 5 kilogram tetapi ia cukup menggembirakan kerana setiap lubuk yang dikunjungi pasti dihuni ikan bergred A.

Begitupun, disebabkan kesuntukan masa, harapan membawa pulang kertang terus hampa, namun kekecewaan itu bagaikan terubat apabila tanpa disangka, Che Nan kembali teruja sejurus seekor ikan tebal bibir berjaya ditawan.

Ikan tebal amat jarang diperoleh di mana-mana perairan terutama di negara kita. Ikan istimewa tersebut begitu cantik hingga Che Nan mengakui sayang hendak dijadikan santapan.

Tetapi apa yang lebih menyeronokkan adalah daya juangnya yang tinggi membuatkan Che Nan ingin kembali lagi ke Kepulauan Nicobar bersama pasukan lebih besar suatu hari nanti.

Posted February 17, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: