VESPA

Vespa kekalkan ciri klasik

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
 

Vespa GTS 300 mengekalkan bentuk klasik dalam rekaan yang lebih moden.

 

 


MOTOSIKAL klasik sering kali dikaitkan dengan jenama yang tidak lapuk dek zaman walaupun setelah melangkaui alaf baru. Antaranya seperti jenama motosikal dari Itali, Vespa yang cukup popular di negara ini dan sehingga kini ia masih diminati pelbagai golongan masyarakat.

Seperti yang sedia maklum, Vespa telah lama dikenali kerana reka bentuknya yang cukup klasik.

Oleh itu, bagi mempopularkan semula jenama itu, Piaggio telah mengeluarkan tiga buah model terbarunya iaitu LX 150, GTV 250 dan GTS 300.

Setiap model itu direka berdasarkan rekaan prototaip Vespa klasik pertama dibina oleh Piaggio pada 1946.

Ia menawarkan evolusi gaya, keselesaan dan prestasi baru yang pasti menawan hati setiap penggemar motosikal jenis skuter.

Bercirikan reka bentuknya yang masih mengekalkan rupa asal, setiap Vespa keluaran terbaru itu tidak ketinggalan digabungkan dengan sentuhan moden dan teknologi terkini.

Misalnya bagi model LX 150 dibina dengan menggunakan hampir 70 peratus bahan yang diperbuat daripada besi yang kukuh dari bahagian hadapan sehingga ke belakang.

Pada bahagian hadapannya, LX 150 menggunakan lampu depan jenis halogen yang menyediakan pencahayaan lebih terang walaupun pada waktu malam, manakala lampu belakangnya masih mengekalkan bentuk bulat yang menampilkan ciri-ciri klasik motosikal itu.

Casis keluli tunggal yang digabungkan dengan enjin berprestasi tinggi mampu memberikan gambaran baru terhadap jenama Vespa dalam kelasnya yang tersendiri.

Bagi tunggangan yang lebih lancar, enjin LX 150 dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan Piaggio Leader yang mudah dikendalikan.

Ia turut menawarkan pengendalian penunggangan yang lebih selesa selain menjamin jangka hayat model tersebut untuk digunakan lebih lama.

Sistem breknya pula lebih menyakinkan kerana ia dilengkapi dengan cakera garis pusat rangkaian hidraulik dan omboh dual angkup hidraulik.

Brek belakangnya pula menggunakan sistem brek drum dalam rangkaian rekaan mekanikal yang lebih menawan.

Sementara itu, kaedah sistem penyejukan udara forced circulation mampu mengurangkan tahap kepanasan ketika perjalanan jauh selain menjadikannya sebuah motosikal yang lebih mesra terhadap alam sekitar.

Ditambah dengan sistem suspensi bahagian depan yang menggunakan spring suspensi helicoidal yang berkesan lebih dua kali ganda bagi menyerap hentakan dan suspensi hidraulik shock absorber mampu menjamin keselesaan ketika menunggangnya dalam apa jua situasi jalan.

Secara tidak langsung, ia menjadikan model itu sebagai motosikal paling selesa berbanding pesaing sekelasnya ketika mengharungi perjalanan di bandaraya mahupun ketika di lebuhraya.

Pengedar rasmi Vespa keluaran Kumpulan Piaggio di Malaysia, Naza Premira Sdn. Bhd., turut menyasarkan untuk memperluaskan penjualan model baru Vespa ke seluruh negara menjelang tahun ini.

Pengurus Jualannya, Dzul Helmee Mohd. Zariff berkata, kesemua model baru masih mengekalkan ciri-ciri klasik dengan sentuhan teknologi terkini.

“Menjelang tahun ini, penjualan ketiga-tiga model berkenaan akan diperluaskan lagi ke seluruh negara.

“Selain itu, bagi mengembalikan nostalgia Vespa, kami menggunakan tema I Am Vespa bagi menarik perhatian peminat motosikal tersebut,” katanya.

Bagi model LX 150, ia menawarkan enam pilihan warna antaranya perak, kuning, biru dan hitam serta GTV 250 (hijau) dan GTS 300 (merah, hitam dan putih).

LX 150 dijual pada kadar harga RM10,800 manakala GTV 250 (RM34,300) dan GTS 300 (RM35,900).

Posted February 17, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: