Bukit Broga

Landskap lalang tarikan Broga

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA



 

JARUM jam menunjukkan pukul 6 pagi. Sebahagian besar penghuni-penghuni di sekitar Kampung Bunga yang terletak di mukim Semenyih, Selangor itu masih lena diulit mimpi. Lagi pun, hari itu merupakan cuti umum di seluruh negara berikutan perayaan Thaipusam. Tidak hairanlah laluan di kampung itu agak sunyi berbanding hari-hari biasa.

Bagaimanapun rumah Loy Soi Lan sudah terang-benderang. Dia dan suaminya sudah bersiap-siap sejak dari awal lagi.

Wanita berusia 51 tahun itu pantas membantu suaminya mengangkat rak-rak minuman bersama beberapa buah kelapa muda ke dalam bonet kereta. Begitu juga beberapa bekas yang berisi air gula, plastik, penyedut minuman, sudu dan ketulan ais.

Selepas beberapa minit, enjin kereta dihidupkan dan kedua-duanya menuju ke kawasan ladang kelapa sawit di kaki Bukit Broga yang terletak beberapa kilometer dari kampung itu.

Walaupun cuaca masih gelap, kenderaan pengunjung sudah mula memenuhi kawasan parkir yang disediakan sehingga melimpah ke tepi-tepi jalan raya.

Sebaik tiba, Soi Lan segera menyusun segala peralatan bahan jualannya di atas sebuah meja kecil. Sekaki payung besar juga didirikan berhampiran untuk membolehkannya berlindung daripada panas dan hujan.

“Selamat pagi aunty, bagi air mineral dua botol, air tin satu,” sapa seorang pelanggan di hadapannya.

Soi Lan tersenyum, sejak berniaga di situ lebih dua tahun yang lalu, itulah rutinnya setiap hari. Dia turut menyediakan beberapa meja dan kerusi kecil untuk keselesaan mereka.

Dulunya ladang getah

DI beberapa bahagian puncak bukit pendaki masih perlu berhati-hati kerana perlu memanjat bongkah batu.


 

Selain gerainya, terdapat beberapa peniaga lain yang menjual minuman, makanan dan kuih-muih serta aiskrim turut mencari rezeki di situ. Kesemua mereka juga agak sibuk melayan pelanggan masing-masing.

“Dulu sekitar kawasan bukit ini merupakan ladang getah dan menjadi punca rezeki penduduk setempat, jarang ada orang luar yang datang ke sini apatah lagi untuk mendaki.

“Sejak aktiviti mendaki mula popular di negara ini, ia mula menjadi tumpuan. Boleh dikatakan saban hari ia dikunjungi pengunjung, kadang-kadang mencecah ratusan orang terutama pada hujung minggu dan cuti umum,” katanya yang memberitahu ada yang pengunjung yang datang dari sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Melihat potensi yang ada, di samping ketiadaan kedai atau gerai di kawasan sekitarnya menyebabkan dia dan suaminya bertekad untuk berniaga di situ.

“Setakat ini, jualan amat menggalakkan, lebih-lebih lagi pada hujung minggu dan cuti umum, tolak modal dan sebagainya dapatlah keuntungan sedikit dan bantu suami menyara keluarga.

“Sebagai penduduk di kawasan ini saya berbangga Bukit Broga kini semakin dikenali dan popular di kalangan rakyat di negara ini. Ia pasti memberi keuntungan dan menjana pendapatan penduduk setempat,” ujarnya yang berniaga pelbagai jenis minuman.

PENDAKI Bukit Broga boleh meletakkan kenderaan mereka dengan selamat pada harga parkir RM2.


 

Terletak di kawasan sempadan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan kira-kira 50 kilometer dari Kuala Lumpur, Bukit Broga merupakan lokasi yang sesuai untuk aktiviti riadah dan mereka yang mahu merasai pengalaman mendaki.

Bukit itu memiliki tiga puncak dan yang tertinggi berada 400 meter (1,312 kaki) dari paras laut. Masa yang diperlukan untuk tiba di puncaknya ialah di antara 20 hingga 40 minit, bergantung kepada keupayaan pendaki.

Laluannya tidaklah begitu lasak dan mencabar menjadikannya sesuai untuk pendaki amatur. Pendakian paling curam adalah pendakian ke puncak pertama bukit itu kerana pendaki perlu melalui hutan-hutan sekunder yang berselirat dengan akar-akar kayu.

Biarpun tampak mudah, namun pendaki perlu berhati-hati kerana terdapat beberapa cenuram tajam dan dalam di sepanjang laluan. Sebarang kesilapan pasti mengundang kejadian yang tidak diingini.

 

Panorama lalang Broga


NUR HAMIZAH


 

Bagaimanapun, terdapat tali sokongan yang disediakan di beberapa lokasi bagi memudahkan pendakian.

Keunikan Bukit Broga adalah puncak yang tidak ditumbuhi pokok-pokok besar. Permukaan bukit dipenuhi bongkah batu dan dilitupi lalang-lalang tinggi menjadikan pemandangan puncaknya begitu indah dan menakjubkan.

Faktor itu menyebabkan Noor Hidayah Shahidan tidak pernah jemu berkunjung ke situ walaupun sudah dua kali mendaki bersama teman-temannya sebelum ini.

Gadis berusia 26 tahun itu berkata, trek yang tidak begitu mencabar serta keindahan panorama yang ditawarkan di Bukit Broga sukar diungkapkan dengan kata-kata.

“Saya gemar memulakan pendakian pada sebelah petang kerana mahu melihat panorama matahari terbenam di atas puncaknya.

“Sinaran matahari yang memancar di selang-selikan dengan kehijauan hutan dan bukit-bukau di sekelilingnya meredupkan mata.

“Jika cuaca baik, pendaki boleh melihat seluruh pekan Broga yang terletak di sebelah timur dan Semenyih di barat,” katanya yang sedang mengikuti pengajian di peringkat sarjana di Universiti Putra Malaysia.

Ujarnya, laluan ke puncak Bukit Broga tidak terlalu mencabar dan sesuai untuk semua peringkat usia khususnya mereka yang mahu berjinak-jinak dalam sukan mendaki.

“Cabaran utama hanyalah cuaca. Treknya agak berdebu ketika kering dan sangat licin ketika basah.


PADA ketinggian 400 meter Bukit Broga sesuai menjadi lokasi pendakian pelbagai lapisan pendaki termasuk kanak-kanak.


 

“Bagi mereka yang inginkan cabaran boleh meneruskan pendakian sehingga ke puncak seterusnya. Bagaimanapun, pendaki perlu melepasi beberapa bongkah batu besar sebelum tiba ke puncaknya.

“Walaupun memenatkan namun ia berbaloi, terutama apabila melihat papan tanda tertera perkataan Puncak Bukit Broga,” katanya.

Melepaskan tekanan

Bagi Nur Hamizah Hamda, 22, dia gemar berkunjung ke situ kerana suasananya yang tenang dan mendamaikan serta jauh dari hiruk-pikuk kota.

Pelajar Universiti Kolej Nilai itu berkata, melihat kehijauan hutan dan langit biru yang terbentang luas di angkasa dapat menghilangkan tekanan selepas bertungkus-lumus menelaah pelajaran.

“Pada masa yang sama, aktiviti yang dilakukan juga baik untuk kesihatan serta mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan lain,” katanya.

Gadis itu memberitahu, lokasi itu juga popular peminat-peminat fotografi yang sering mengabadikan keindahannya melalui lensa kamera. Berbeza dengan bukit lain, trek Broga yang dihampari lalang menghijau menyajikan satu landskap yang sangat memukau.

KEHIJAUAN landskap lalang di Bukit Broga menjanjikan pendakian dan pengalaman fotografi yang mengagumkan.


 

“Tidak hairanlah kalau sedang mendaki kita akan terserempak dengan ramai pengunjung yang datang dengan membawa kamera, tripod dan sebagainya.

“Mungkin disebabkan bentuk muka bumi dan panorama yang ditawarkan berbeza dengan lokasi-lokasi lain di negara ini. Malah angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan pasangannya, Dr. Halina Mohd. Yunos juga mengabadikan gambar perkahwinan mereka di sini,” jelasnya.

Sementara itu, Kamal Karim dari Kampung 6 Takir, Beranang pula mengambil kesempatan cuti umum untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga di kawasan itu.

Lelaki yang sememangnya meminati aktiviti lasak itu berkata, biarpun tinggal berdekatan, namun itulah kali pertama dia berkunjung ke Bukit Broga.

“Selama ini saya pernah mendaki Gunung Datuk di Negeri Sembilan, menjelajah ke Taman Negara Endau Rompin, kali ini tiba-tiba hati saya terbuka untuk ke sini, itu pun selepas mendengar cerita kawan-kawan.

“Saya tidak sangka ia begitu popular dan sesak dengan pengunjung mengalahkan tapak pasar malam pula, kawasan parkir penuh malah, hendak mendaki pun kena beratur panjang,” katanya.

Posted February 19, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: