Kelong Bagan Lalang

Rezeki Kelong Bagan Lalang
Oleh Abu Bakar Ali

SEKUMPULAN pemancing bersama hasil tangkapan masing-masing. 

SEKUMPULAN pemancing bersama hasil tangkapan masing-masing.

BAGI menghilangkan kebosanan angkara tidak dapat memancing di laut dalam ketika angin monsun berserta musim tengkujuh yang melanda di beberapa tempat khususnya pantai timur, maka sebahagian dari kaki pancing beralih arah dengan mengunjungi kelong sebagai tempat melampias kegelisahan memancing.

Memancing di kelong ini lazimnya menjadi pilihan kaki pancing kerana bau dan udara lautnya tetap sama cuma badan menjadi manja kerana tidak akan dilambung ombak berbanding menaiki bot.

Suasana agak santai manakala fikiran lebih tenang kerana tidak perlu berada di dalam perut bot sepanjang masa sambil terumbang ambing dibuai ombak.

Bagi kaki pancing yang prihatin, pilihan ke kelong juga sesuai untuk membawa seisi keluarga terutama anak-anak yang perlu dilatih menjadi jagoan pancing buat menggantikan ketua keluarga andainya si ayah dikehendaki berada di lokasi lain.

Memancing di kelong juga amat sesuai kerana agak mustahil seseorang pemancing ditimpa gejala mabuk laut apatah lagi risiko karam seperti yang kerap berlaku seandainya pemancing menaiki bot ke tengah laut.

Justeru, ketika musim monsun tiba ke kemuncaknya Disember lalu, penulis sempat berkunjung ke Kelong Bagan Lalang di Sepang, Selangor.

Kelong yang terletak di pesisir pantai ini hanya mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan menaiki bot berkuasa kuda 40.
Berdasarkan pengalaman Razeli Yusof serta beberapa rakan lamannya, kelong ini tidak menghampakan kerana jika kena pada tarikh, hari dan masa yang sesuai, spesis tenggiri, talang, pari, kerapu dan siakap boleh dinaikkan di kelong ini.

Pengakuan sama diberikan Aziz Ahmad yang menjadi pengunjung tetap yang datang bersama anak isteri serta iparnya yang sememangnya gemar ke situ untuk memancing gelama, senangin, selar, tamban, daun baru, serta sembilang.

Posted February 21, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: