Keunikan Embhan & Semban

Misteri Etnik: Keunikan Embhan & Semban
Oleh Azrul Affandi Sobry

  • Foto

Etnik dilingkari kehidupan misteri, sukar di puncak gunung sempadan Sarawak/Kalimantan

TUJUH wanita warga emas tersenyum lebar menampakkan gigi merah pekat sambil tidak henti-henti mengunyah sirih pinang. Di tangan mereka tidak pernah lekang daripada memegang gobek atau lesung (alat menghancurkan pinang), begitu sinonim dalam kehidupan seharian mereka.

Badan kurus kecil dengan dihiasi gelang tembaga dari pergelangan tangan sehingga ke siku dan hampir menutupi seluruh betis menjadi aksesori wajib ke mana saja mereka pergi, tidak kira masa termasuk ketika mandi dan sehingga ke bilik tidur.

Tidak ada seutas rantai emas menghiasi mereka, cuma yang ada juntaian hiasan sulaman manik berwarna warni yang dipakai saban hari. Tampak ringkas, namun cukup unik. Itulah kebanggaan mereka yang dikatakan penyeri sejak turun temurun dan sebagai lambang kehidupan berada serta kecantikan sejati wanita di situ.

Itulah tarikan utama masyarakat Embhan yang kini mendiami kampung Semban di kawasan puncak tinggi pada ketinggian lebih 400 meter dari paras laut di Gunung Kepang Sibanyang, berhampiran sempadan Sarawak/Kalimantan, Indonesia.

Mereka adalah pecahan etnik Bidayuh tetapi kini menjadi satu-satunya masyarakat yang masih ada wanita generasi tua memakai luyang (gelang tembaga di lengan) dan lasung (di betis). Itupun jumlah pemakainya hanya ada tujuh orang, sekali gus menjadikan tradisi yang hanya ada di Semban itu bakal pupus tidak lama lagi.

Keunikan kampung Semban juga tidak mampu bertahan lama kerana dalam tempoh dua tahun lagi perkampungan 200 keluarga yang turut mendiami kampung Rejoi, sejam perjalanan dari Semban bakal dipindahkan ke lokasi baru untuk memberi laluan kepada projek empangan Bengoh.
Kesempatan untuk mendekati masyarakat itu amat bertepatan sekali kerana selain kampung itu sendiri yang bakal dipindahkan, keunikan yang masih diteruskan oleh pengamal kepercayaan pagan di situ turut sukar ditemui di mana-mana. Mereka sendiri dengan bangganya mendakwa, hanya tujuh wanita itu yang memakai aksesori sebegitu di Malaysia.

Semban bukan saja menarik kerana tujuh wanita itu. Kehidupan dikelilingi hutan dan bukit tinggi itu sendiri mengujakan untuk diterokai. Cara hidup mereka dalam meneruskan kehidupan seharian pasti tidak mudah dijalani sesiapa saja terutama bagi kita yang tinggal di bandar besar.

Bayangkan, perjalanan untuk sampai ke kampung itu jika mengikut jalan darat ialah lebih kurang enam hingga lapan jam perjalanan. Jangan mimpi untuk mendapatkan kenderaan kerana memang tiada jalan ke situ. Hanya laluan kecil yang diterokai penduduk menggunakan parang dan diletak buluh sebagai tangga pendakian menjadi perantara kampung itu dengan Bengoh, lokasi terhampir ke jalan utama.

Jika ada yang mahu sampai segera ke sana, hanya helikopter yang kadar sewanya mencecah RM5,000 untuk perjalanan pergi dan balik boleh digunakan. Itupun terhad kerana pasti tidak ada penduduk kampung yang sanggup membayar perkhidmatan itu.

Embhan dan Semban memang cukup unik. Hari pertama kami di sini sudah berdepan dengan pengalaman luar biasa kerana suhu pada malam itu mencecah hanya berbelas darjah Celsius, sama dengan suhu minimum alat penghawa dingin. Air paipnya sesejuk sebaldi ketulan ais yang dinginnya sampai menusuk ke tulang.

Kejutan itu hanya sebahagian kecil pengalaman yang kami peroleh di sini kerana sebenarnya banyak lagi yang mengejutkan terutama apabila mendekati dan mengenali cara hidup mereka yang nyata sekali bagai langit dan bumi dengan kehidupan masyarakat lain terutama di bandar.

Pasti kita boleh mengagak jika hidup di pedalaman sebegitu, malah di kawasan gunung pastinya menjauhkan mereka daripada sebarang kemudahan seperti dinikmati orang lain. Namun, lebih sukar lagi apabila semua kelengkapan harian perlu dibeli di Bengoh yang jaraknya antara enam hingga lapan jam berjalan kaki.

Oleh kerana itulah, boleh dikatakan setiap hari kami bertembung dengan beberapa lelaki mahupun wanita yang memikul barang dianggarkan seberat lebih 10 kilogram, malah ada juga membawa tong gas yang beratnya mencecah 20 kilogram mendaki gunung itu. Lebih memeranjatkan, ada juga wanita separuh usia masih larat dan kuat melalui rutin sebegitu.

Berkebun adalah sektor ekonomi utama masyarakat Embhan. Mereka menanam apa saja yang boleh mendatangkan hasil sama ada untuk dijual atau sekadar kegunaan sendiri. Padi bukit, lada, nanas, koko, jagung dan pelbagai lagi menjadi taruhan mereka untuk meneruskan kehidupan dengan lada adalah tanaman paling menguntungkan untuk dijual.

Jarak kebun dengan rumah bukan dekat. Ada yang sampai berjam-jam perjalanan. Ia dibuktikan apabila penulis menempuh perjalanan penuh mencabar dan memenatkan dari Semban ke Rejoi, kelihatan seorang wanita pertengahan usia sedang berkebun.

Terkejut juga lantas bertanya: “Wah! hampir sejam dari kampung pun masih ada yang buat kebun?” Jawapan dilontarkan pengiring, Sagen Adan lebih memeranjatkan: “Ini adalah kebun paling dekat, yang lain lebih jauh dari ini.”

Melopong juga mendengar jawapan itu kerana selepas sejam perjalanan itupun kami sudah rasa separuh mati. Bagaimana mereka boleh saban hari meneruskan rutin yang sama, bukan oleh orang muda, kebanyakannya sudah separuh usia.

Paling memeranjatkan, ketika berbual dengan seorang remaja belasan tahun yang sarat mengandung lapan bulan, Jocelyne Ajang, dia memberitahu terpaksa meredah hutan dan puncak tinggi itu setiap bulan, berjam-jam semata-mata untuk ke Bengoh bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan ibu mengandung. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul!

Senario sama juga terpaksa dihadapi pelajar sekolah kerana meskipun Sekolah Kebangsaan Semban Pedawan pada awalnya dibina di kampung Semban, namun sejak 1976 ia sudah dipindahkan ke kampung Rejoi. Bayangkan betapa seksanya pelajar seusia kanak-kanak itu berjauhan daripada ibu bapa tinggal di asrama dan perlu mendaki puncak berjam-jam untuk pulang ke kampung setiap minggu.

Itupun mujurlah ada asrama kerana sebelum ini mereka terpaksa berulang setiap hari. Sekali lagi kami terlopong memikirkan bagaimana mereka meneruskan rutin sebegitu kerana sukar untuk digambarkan betapa seksanya mendaki puncak dari Semban ke Rejoi. Sudah rasa baru tahu penangannya!

Apapun, itulah keunikan Embhan di Semban dan Rejoi. Mereka tahu hidup mereka dikelilingi kesulitan saban hari. Mereka juga sedar betapa jauhnya mereka daripada pembangunan, namun mereka sebenarnya sayang untuk meninggalkan kampung halaman meskipun ditawarkan bayaran ratusan ribu ringgit untuk projek empangan Bengoh.

Mungkin kerana sejarah sudah tertulis bahawa mereka antara golongan yang sayangkan tanah halaman. Jika tidak, masakan Embhan menjadi antara mereka yang paling kuat berlawan dalam perang potong kepala semata-mata untuk memastikan Semban terus menjadi milik mutlak mereka. Semangat itu masih ada sehingga kini.

Ia dibuktikan juga ketika kami berkunjung ke Rejoi yang mana beberapa ratus meter dari kampung itu, iaitu di puncak sebelah kiri kampung, kelihatan beberapa penduduk Embhan sedang tekun menyiapkan rumah. Ia dikatakan kampung baru yang sedang dibina sebagai tanda mereka enggan berpindah jika sampai masa berbuat demikian.

Ada juga yang sudah bersedia menyiapkan sampan besar sebagai satu tanda bahawa mereka tetap mahu tinggal di situ meskipun Rejoi bakal tenggelam dua tahun lagi. Malah, mereka lebih bersedia tinggal di kampung yang sudah menjadi pulau semata-mata kerana mahu terus menjadi orang Embhan di Rejoi.

Meskipun kebanyakan penduduk di situ sudah menganut Kristian, masih ada 16 orang, semuanya melebihi usia 50 tahun masih tegar dengan kepercayaan pagan, mempercayai isyarat oleh haiwan dan elemen alam untuk meneruskan kehidupan seharian.

Malah, penganut Kristian di situ juga tidak membuang terus kepercayaan lama itu kerana masih percaya kepada beberapa petanda diperoleh terutama daripada burung kusak. Ketika kami dalam perjalanan ke Rejoi dari Semban, suara burung kusak yang kedengaran dari sebelah kanan kami dikatakan memberi petanda buruk.

“Burung kusak ini bunyinya di sebelah kanan. Maksudnya, kita tidak akan ditimpa malapetaka buruk jika perjalanan ini diteruskan tetapi selalunya apa yang kita mahu buat di tempat dituju tidak akan berhasil,” kata Sagen.

Bagi orang Islam, perkara sebegitu tidak boleh dipercayai kerana ia boleh menyebabkan syirik, namun secara kebetulan, hampir semua tujuan asal kami ke Rejoi menemui kegagalan. Guru Besar Sekolah Kebangsaan Semban enggan membenarkan kami meneruskan tinjauan di sekolah kerana katanya tiada kebenaran daripada Pejabat Pelajaran Daerah.

Gadis yang kami mahu untuk dijadikan model menyorok kerana malu. Jana kuasa rosak meskipun sudah ditukar dua tiga kali dan paling mengecewakan, komputer riba kami diserang virus apabila cuba menyalin data mengenai sekolah daripada pemacu keras milik guru penolong kanan sekolah itu. Ia terus dikatakan sebagai kejadian buruk akibat isyarat oleh burung kusak, namun kami tidak pula mempercayainya.

Itulah senario yang menambahkan keunikan masyarakat itu yang sebenarnya lebih menarik untuk didekati dan diterokai merangkumi pelbagai elemen terutama cara hidup mereka.

Posted February 22, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: