Cahaya semula jadi

Bersama Hamidon Abdullah

  • Foto

Ruang yang cukup cahaya matahari boleh mengurangkan masalah bakteria atau hama.

  • Foto

Penggunaan pintu dan dinding kaca manfaatkan sinaran matahari.

Manfaatkan sinaran mentari sebagai sumber tenaga alternatif, rumah bebas kuman

PENCAHAYAAN amat penting dalam kehidupan seharian kerana menerusinya, semua aktiviti dapat dijalankan dengan sempurna. Sumber cahaya diperoleh secara semula jadi dan bekalan tenaga elektrik. Bagi cahaya semula jadi, sumbernya sinaran matahari yang digunakan untuk menerangi persekitaran manakala pada waktu malam, cahaya buatan daripada tenaga elektrik mengambil tugas menerangi persekitaran.

Rumah mesra alam menggunakan sumber semula jadi sebagai punca cahaya. Selaku negara beriklim tropika, kita tiada masalah mendapatkan sumber itu kerana kehadiran sinaran matahari sepanjang tahun. Selain menjimatkan penggunaan elektrik, cahaya itu juga baik untuk kesihatan badan terutama matahari pagi yang dipercayai membantu perkembangan fizikal, kulit serta melenyapkan bakteria akibat suhu lembap.

Malah ruang yang cukup cahaya matahari, boleh mengelak masalah bakteria atau hama yang disebarkan tikus. Malah makhluk perosak yang diketahui aktif menyebarkan hama itu sememangnya sukakan tempat gelap dan lembap. Namun, cahaya yang menyinari kawasan rumah berupaya mengekang perkembangan haiwan berkenaan bersama serangga pemusnah lain seperti lipas, semut dan anai-anai.

Kedudukan cahaya matahari yang terbit di sebelah timur dan terbenam di barat perlu diambil kira bagi menentukan kedudukan atau letak bangunan. Sebab itu, sebaiknya kedudukan tingkap serta pintu mengadap sudut menerima cahaya pagi manakala petangnya, matahari menyinari kawasan belakang rumah. Ini petua untuk mendapatkan keselesaan kediaman kerana cahaya matahari petang diakui lebih terik berbanding pada waktu pagi.

Kedudukan kediaman mengadap utara dan selatan pula sememangnya dialu-alukan kerana tidak diganggu bahang terik matahari. Namun, untuk memperoleh cahaya maksimum pada waktu berbeza, anda digalakkan menyediakan sekurang-kurangnya tiga sisi bukaan.

Bagi rumah kediaman, kuantiti serta kualiti cahaya mentari yang diterima ditentukan oleh saiz serta orientasi tingkap. Kadar iluminasi atau terang cahaya bergantung kepada kedudukan dan saiz bukaan tingkap. Secara asasnya, tingkap lebar dan besar menerima banyak kemasukan cahaya.
Kemasukan cahaya ke ruang secara efektif dibantu oleh siling dan dinding belakang berbanding lantai dan dinding sisi. Selain itu, permukaan berwarna cerah membalikkan serta menyebarkan cahaya lebih efektif berbanding permukaan gelap. Namun, sebolehnya elakkan memilih permukaan berkilat kerana berupaya membalikkan cahaya lalu menyebabkan silau.

Penggunaan tenaga solar sebagai bekalan alternatif amat digalakkan bagi mengurangkan pergantungan kepada tenaga elektrik. Penggunaannya secara meluas patut digalakkan seterusnya ada inisiatif oleh kerajaan mengurangkan harga alat penyimpan tenaga suria supaya ia bukan saja mampu dimiliki kediaman mewah tetapi dinikmati kediaman sederhana dan kos rendah.

Memaksimumkan penggunaan cahaya semula jadi:

  • Buat bukaan cahaya pada daun pintu maka biarpun ditutup, cahaya tetap boleh menembusinya.
  • Bina tingkap luas supaya lebih banyak cahaya masuk ke ruang. Ini boleh menjimatkan penggunaan lampu kala siang hari.
  • Sediakan bukaan di setiap sisi dan atas bangunan seperti bumbung telus cahaya untuk mendapatkan sinar matahari sepanjang hari.
  • Cahaya diperlukan kabinet dan almari bagi membantu mengurangkan kelembapan selain mengelak serangga perosak bersarang di tempat terlindung cahaya.

    Bagi mengurangkan kesan sinaran matahari, perlindungan diperlukan bagi memelihara jangka hayat bahan juga mengelakkan kerosakan. Biarpun ketika ini banyak bahan dan kemasan boleh memberi perlindungan daripada kesan iklim namun ia mungkin berkesan untuk tempoh tertentu saja. Cara terbaik adalah merekabentuk sesuatu binaan dengan mengambil kira perlindungan dari ancaman iklim.

    Kesan cahaya berlebihan menghasilkan silau seterusnya menghalang serta mengganggu daya penglihatan. Ada dua kesan silau iaitu secara terus yang disebabkan kesan cahaya berlebihan terhadap daya penglihatan manusia normal. Manakala, jenis tidak terus berlaku disebabkan kesan pembalikan berlebihan kepada objek cahaya kepada deria penglihatan.

    Namun, silau mampu dikawal menerusi alat pengawal silau seperti ram selain menanam pokok bersebelahan bangunan.

    Sinaran matahari lazimnya masuk secara terus, berselerak atau pantulan dari permukaan luar bangunan. Justeru, disyorkan mengurangkan bahan binaan serta kemasan yang berpotensi menyinar haba.

    Ada beberapa cara bagi mengelak kesan matahari seperti menanam pokok di sebelah kaki lima supaya daunnya dapat menyerap haba tanpa memantulkan bahang cahaya. Pokok kecil sesuai bagi menghindari bahang namun membawa sinar matahari menerangi ruang.

    Bagi ruang tidak memerlukan cahaya, pilihan pokok untuk ditanam adalah ketinggiannya mengatasi tingkap. Sebaiknya, tanam pokok yang tidak menghalang laluan udara dan angin manakala ketinggiannya dapat menahan pantulan sinar matahari.

    Kawasan perumahan yang tidak membenarkan penghuninya menanam pokok, bolehlah memasang sirip atau ram tetap (louvers) kayu atau aluminium yang lebih praktikal. Pemasangan kekisi sirip dan ram sebaiknya tidak melekat terus pada dinding kerana menyekat ruang daripada menerima cahaya matahari.

    Sinaran dan bahang matahari juga menyerap permukaan dinding. Binaan dinding luas berbanding tingkap menyebabkan banyak penyerapan haba. Dinding konkrit dan bata akan menyerap haba pada siang hari terutama pada waktu tengah hari. Haba berkenaan akan tersimpan pada bahan dan permukaan dan dilepaskan pada waktu malam ketika cuaca luar sejuk.

    Proses ini menyebabkan suhu dalam ruang tidak selesa berpunca daripada suhu tekanan tinggi mengalirkan haba ke bahagian suhu tekanan rendah.

    Tip elak bahang mentari:

  • Tanam tumbuhan menjalar di dinding luar yang berperanan sebagai elemen penebat atau rintangan bahang matahari.
  • Bagi sinaran matahari di permukaan gelap, sebahagian habanya dipantulkan ke udara manakala selebihnya diserap. Haba diserap mengakibatkan ruang dalaman menjadi tidak selesa. Namun, permukaan dinding bercat warna cerah mampu mengurangkan penyerapan cahaya matahari.
  • Sesuaikan reka bentuk, bahan dan binaan dengan keperluan dan kehendak alam sekitar.

  • Posted February 23, 2011 by Keluarga82 in DEKOR

    %d bloggers like this: