Aura eksklusif bambu

Oleh Bennie Zie Fauzi

 

  • Foto
  • Foto
    Rumah bambu sejuk dan selesa menjadikan penghuninya dekat dengan alam.
  • Foto
    Tangga berkemasan jubin terpakai menghubungkan ruang dalam dengan balkoni.
  • Foto
    Katil buluh sejuk dan selesa.
    Rumah buluh ampuh cuaca, nyaman serta selesa didiami

BERBANDING Indonesia, kewujudan rumah bambu atau rumah buluh di negara ini boleh dibilang dengan jari. Selain faktor geografi yang selamat daripada bencana alam khususnya gempa bumi dan letupan gunung berapi, masih ramai sangsi mengenai keperluan serta relevan membina kediaman seumpamanya di tanah air beriklim panas lembap ini.

Hakikatnya usahawan perabot bambu dan seni taman sunda, Mohd Ramadhan Abdul Hamid menanam kepercayaan tinggi terhadap rumah buluh yang disifatkannya ampuh cuaca, sejuk serta selesa didiami selain menawarkan ciri ekslusif lagi estetika.

Bahkan, katanya, struktur serta ira buluh dinding rumahnya tidak pernah berubah kusam sejak ia didirikan tiga tahun lalu.

“Semuanya bergantung kepada teknik pengawetan buluh berkenaan. Sekiranya kena dengan caranya seperti pilihan buluh dipastikan cukup umur selain pantang larang jangan menebang ketika bulan mengambang penuh dipatuhi, saya jamin buluh berkualiti serta berkekalan hayatnya mampu diperoleh,” katanya.

Namun, kata Mohd Ramadhan, pemantauan dan penjagaan teliti perlu dilakukan bagi dua tahun pertama kediaman didirikan dengan menyapu barnis di seluruh permukaan dinding khasnya bahagian yang menghadap matahari.

“Barnis melindungi buluh daripada pancaran terik matahari sekali gus memastikan rupanya kekal terpelihara biarpun bertahun digunakan. Untuk rumah induk seluas 111 meter persegi ini, saya membelanjakan sehingga RM2,000 membeli 10 tin barnis yang setiap satunya empat liter dan selebihnya 40 peratus petrol bagi mengurangkan kelikatan barnis,” katanya.
Selain rumah induk, Mohd Ramadhan turut membina beberapa rumah buluh lagi di sekitarnya berfungsi sebagai stor, penginapan tetamu dan surau. Bertunjangkan konsep rumah peranginan, rumah bambu mengambil inspirasi arkitektur tradisional Jawa Barat itu dibina merujuk kesesuaian kontur tanah tidak rata serta bertingkat.

Bagi daya tahan, khususnya melindungi daripada dirosakkan hujan dan air tanah, sebahagian dindingnya dibentuk menggunakan batu-bata berpadu tiang beton setinggi 90 meter berlapiskan lempeng batu alam. Kemasan bambu selaku dinding atasnya diyakini kukuh serta utuh sehingga 25 tahun lagi.

“Buluh juga digunakan untuk pembentukan tiang seri serta sisi, kasau dan alang bumbung serta lantai. Untuk itu, beberapa spesis buluh diketengahkan termasuk betung, gombong, tali dan buluh hitam. Ukur lilit terbesar membabitkan buluh bentung selaku tiang penyokong berukuran 22 sentimeter.

“Paling kecil menawarkan ukur lilit enam sentimeter,” katanya seraya menunjukkan buluh dimaksudkan bersama 12 jenis ikatan tali ijuk yang nyata lebih menyerlahkan kekuatan serta keindahan karektor bambu berkenaan.

Rekaan atapnya menampilkan seni bina rumah Pasundan yang mengutarakan jalinan ilham gaya Garuda Ngupuk dan Julang Ngapak (Indonesia), sementara bahan atap menggunakan genting tanah ringan berwarna hijau yang selayang padang begitu sebati dengan landskap berbukit, lembah dan hutan kecil kawasan itu.

Mohd Ramadhan berkata, dia sudah lama mengimpikan kediaman damai di samping mengikut gerak nalurinya bahkan rumah itu sering dijadikan persinggahan kala dia sekeluarga ingin bermanja dengan alam.

“Saya mempunyai perancangan ingin menjadikan tempat ini inap desa bagi kumpulan kecil pengunjung. Mana tahu mereka di luar sana khasnya syarikat korporat berminat menganjurkan aktiviti perkhemahan dan bina semangat di sini, saya sedia menyewakan namun dihadkan sehingga 30 peserta saja,” ujarnya.

Elemen santai yang menjadi kata kunci pembentukan rumah terbabit turut mengilhamkan pembentukan balkoni. Selain menambah citra dan menyuntik ekslusif rumah bambu berkenaan, ruang itu sering dimanfaatkan penghuninya untuk beristirehat, berborak dan menikmati hidangan petang.

Ditanya masa depan rumah buluh, Mohd Ramadhan yakin ia mempunyai potensi untuk berkembang.

Menerusi suntikan perabot komersial dan bernilai seni seperti gandingan perabot rotan, rumput paya dan daun pisang berbentuk ikan paus rekaan Rahim Ismail dari Design Principles yang digunakannya kini, lenyap sudah status tradisional kediaman itu diganti dengan suasana ranggi lagi kontemporari.

Posted February 23, 2011 by Keluarga82 in DEKOR

%d bloggers like this: