Persis hotel mewah

Oleh Bennie Zie Fauzi

  • Foto
  • Foto
  • Foto
  • Foto

Doktor muda jadikan penginapan lima bintang rujukan hias kediaman berkembar di Puchong, Selangor

PEPATAH ada menyebut jauh perjalanan, luas pengalaman. Namun, mengambil kira sudut pandangan Umayaal Shahlini, kesukaan melancong serta melihat tempat orang dimanfaatkannya bagi mencari gaya penataan menepati cita rasa selain berupaya memberi keselesaan sekeluarga.

“Kekerapan mengikut suami bertugas di luar negara dan sesekali melancong berdua mendedahkan saya dengan kepelbagaian hiasan dalaman khususnya tata hias hotel penginapan. Jujur saya katakan, kediaman kami ini banyak dipengaruhi perancangan serta pembentukan bilik hotel khususnya bilik air yang dilengkapi jakuzi, ruang berdandan selain sinki berpermukaan granit dan berkembar laci,” katanya yang menjadikan hotel penginapannya di China dan Jerman sebagai sumber rujukan utama menghias kediaman teres berkembar di Puchong, Selangor.

Menghangatkan gaya, boleh dikatakan majoriti perhiasan rumah dan dinding doktor muda yang selesa dipanggil Shahlini itu, adalah ole-ole dari luar negara terutama Sri Lanka, Venice, Fiji, Bali dan Vietnam. Namun, dia tidak sembarangan membeli sebaliknya setiap pilihan barangan perlu mematuhi kriteria ditetapkan termasuk sejarah, latar belakang dan tanda pengenalan destinasi dikunjungi.

“Ketika di Bali, saya dapati ukiran kayu berbentuk figura dan watak wayang kulit sangat popular di sana. Saya tidak lepaskan peluang membeli dua tiga hiasan seumpamanya, misalnya, ukiran patung bangsawan yang diletakkan di ruang tamu,” katanya.

Shahlini juga sanggup banyak berbelanja demi hiasan dinding motif gajah dari Sri Lanka, topeng opera di Venice, Itali serta senjata perburuan golongan pribumi Fiji. Di Vietnam, hatinya terpaut panel dinding senario perkampungan nelayan yang diperbuat daripada kulit telur.

“Ada juga hiasan tidak menggambarkan langsung jati diri serta budaya tempatan. Misalnya di Sri Lanka, saya beli dinding wanita Geisha yang diketahui wujud di Jepun. Saya tertarik kehalusan mutu selain kagum dengan kemahiran pengukirnya yang menggabungkan 25 spesies kayu,” katanya merujuk ‘Geisha’ dalam bingkai dan tanpa barnis yang digantung di tengah dinding bilik tidur tetamu dengan ruang dapurnya itu.
Selaras koleksi perhiasan etnik dan perabot kayu yang mendominasi ruang, maka baik Shahlini mahupun suami, Davinder Singh Dillon, memutuskan warna alam gabungan coklat dan hitam digunakan selain sisipan merah penyeri suasana. Baginya, warna inspirasi bumi itu mencetuskan suasana tenang selain berpadanan perabot kayu.

“Saya akui terlalu banyak aksesori kayu menyebabkan ruang bertukar kelam dan membosankan. Namun, sisipan warna memberangsangkan seperti merah menerusi kusyen hiasan dan jambangan bunga dan biru lampu gantung mampu menukar suasana,” katanya.

Merujuk pemilihan perabot, kemasan serta aksesori, nyata Shahlini antara penggemar serta pendukung gaya penataan klasik. Tidak menafikan dia antara peminat setia barangan kayu diresapi sentuhan klasik, bagi Shahlini konsep hiasan seumpamanya tidak terjejas dek perubahan masa.

Baginya, gaya kontemporari senang dilupakan sebaik aliran gaya dan rekaan baru menjengah.

“Hiasan dalaman klasik tetap diminati biarpun untuk berpuluh-puluh tahun akan datang. Gaya klasik ada aura dan estetika melangkaui zaman.

“Ini juga punca saya memperbanyakkan kelengkapan kayu berbanding kemasan krom, fabrik serta logam. Jika adapun, hanya membabitkan pemasangan jubin dan granit yang mengiringi kabinet dapur,” katanya yang sudah empat tahun bermastautin di kediaman itu.

Selama menetap di rumah itu, dia dan suami sempat melakukan pengubahsuaian membabitkan perluasan kawasan bilik tidur utama dan ruang dapur menjadi dwi fungsi iaitu kering dan basah.

Selain menaik taraf bilik air mengikut kamar mandi hotel lima bintang, kabinet pakaian siap turut dipasang biarpun terpaksa mengorbankan balkoni ruang tamu.

Sedikitpun tiada rasa sesal dengan keputusannya itu, kata Shahlini menggantikan ruang berkenaan dengan bilik air wajar kerana dia dan suami sememangnya tidak gemar bersantai di situ.

“Daripada terbiar begitu saja, lebih baik diroboh untuk dibina bilik air yang lebih selesa, cantik dan berupaya memenuhi cita rasa serta keperluan. Ini baru dikatakan kediaman impian,” ujarnya.

Info: Kediaman Umayaal Shahlini

  • Rumah jenis teres berkembar dua tingkat di Puchong Selangor.
  • Gaya penataan klasik
  • Himpunan aksesori gabungan klasik dan moden mengikut ruang tertentu.
  • Cat warna alam serasikan dengan kemasan kayu.

  • Posted February 23, 2011 by Keluarga82 in DEKOR

    %d bloggers like this: