Dekor

Suasana nyaman sepanjang masa

Oleh Hartini Mohd Nawi
ALA DESA...elemen hiasan landskap lembut dan kejur dipadankan.
ALA DESA…elemen hiasan landskap lembut dan kejur dipadankan.

MENCIPTA keindahan di taman bergantung kepada kreativiti pemiliknya dalam memberikan sentuhan berbeza hingga mencetuskan inspirasi tersendiri.

Tanpa perlu terikut-ikut idea penataan di kediaman orang lain, ketenangan dapat dizahirkan jika ada kesungguhan dan ingin menampilkan suasana memukau pandangan.
Percaya kepada kreativiti yang dimiliki, Daud Md Said, 36, dan keluarga selesa dalam suasana taman mendamaikan itu.

sebelum selepas

Foto
TARIKAN PERTAMA…ruang pintu masuk utama berlatarkan reka letak menarik.

 

Foto
KEINDAHAN MEMUKAU…segenap ruang menampilkan sudut pandangan berbeza.
Foto
TETAP MENARIK…bahagian luar taman juga diberi sentuhan kehijauan.
Foto
SANTAI…tempat duduk praktikal diserikan dengan tanaman hijau segar.
Foto
UNIK…tangga ala kediaman Melaka curi perhatian.

    Taman itu mempunyai daya tarikan tersendiri biarpun terbina atas dasar kreativiti tanpa tema penataan khusus.
    “Hasrat sebenar saya adalah mewujudkan suasana semula jadi ala desa kerana hasil kreativiti sendiri boleh menzahirkan terapi terbaik untuk dimanfaatkan seisi keluarga.
    “Taman yang kita wujudkan dengan idea sendiri memberikan kepuasan dan kos yang sederhana,” katanya.

    Baginya tiada istilah penat dan berputus asa sebaik berpeluang mengindahkan taman saban waktu selain memberikan kepuasan.
    “Setiap kali berada di taman untuk pengubahsuaian dan menambahkan serinya, saya seolah-olah lupa dunia luar kerana terlalu seronok ‘bermain’ dengan persekitaran ciptaan sendiri.

    “Pernah saya mengecat sudut taman ketika hujan renyai-renyai dan biar pun kerja itu mencabar, saya puas dan berbangga dengan hasil kreativiti sendiri,” kata anak kelahiran Melaka itu.
    Daud juga berbangga kerana hasil kreativitinya selama ini sentiasa mendapat sokongan moral isteri tercinta, Norashikin Mahat, 36.
    Malah, Norashikin turut berganding bahu memberikan sentuhan menarik pada taman kediamannya itu khususnya corak ala semula jadi pada binaan pagar.
    “Saya amat kagum dengan kesungguhan dan kreativiti yang dimiliki suami apatah lagi tidak pernah kenal erti jemu dalam mengindahkan persekitaran taman.
    “Lantaran itu, saya banyak berkongsi idea dengan supaya suasana kekal menarik dan melambangkan kebahagiaan serta keharmonian kami sekeluarga,” katanya.
    Latar taman unik di kediaman di Bandar Bukit Raja, Klang itu bagaikan perlambangan landskap semula jadi kerana setiap elemen hiasan dan tumbuhan mengungkapkan simbolik tersendiri.
    Bermula dengan binaan kolam air berpancuran di sebelah pintu masuk dengan binaan wakaf yang menampilkan elemen hiasan menarik selain tangga ala kediaman Melaka.
    Binaan pergola yang diserikan dengan tanaman anggur di hadapan pintu masuk ternyata mewujudkan suasana redup dan nyaman sepanjang masa.
    Penataan di sekitar pintu masuk kediaman turut memukau dengan elemen hiasan landskap lembut dan kejur disatukan.
    Lantai jubin biasa dan dekoratif digabungkan serta menyerlah dengan reka letak tanaman dalam pasu yang mudah dijaga.
    Seterusnya penataan lengkap dengan laluan pejalan kaki dan tanaman rumput menghijau memberikan lebih keselesaan sebaik bersantai di mana-mana sudut taman sekali pun.
    Binaan pintu taman ala Bali yang diletakkan sebagai pelengkap pagar, membuatkan suasana tampil unik dan lebih semula jadi persekitarannya.
    Pilihan beberapa set meja dan kerusi santai menarik dan praktikal diketengahkan kerana aspek keselamatan turut diambil kira supaya tidak menyusahkan kanak-kanak bermain dan warga emas bersantai.
    “Tiada yang lebih membanggakan selain melihat anak bermain dalam suasana selesa tanpa terhad ruang pergerakannya.
    “Apatah lagi taman ini sering menjadi tempat sanak- saudara berkumpul sambil menikmati barbeku khususnya hujung minggu,” katanya.
    Di beberapa sudut khas, kelihatan deretan binaan pondok unik yang sebenarnya menempatkan haiwan peliharaan seperti ayam dan burung.
    Saban waktu bunyi kokokan ayam dan kicauan burung menzahirkan suasana semula jadi bagaikan berada di sebuah desa penuh ketenangan.
    Menyingkap rahsia dan petua penjagaan taman, katanya ia memerlukan kesungguhan, kerajinan dan keprihatinan sepanjang masa.
    “Jika ada masa terluang saya berada di taman untuk kerja penyelenggaraan dan pengubahsuaian supaya suasana sentiasa segar dan menarik,” katanya.

    Posted February 28, 2011 by Keluarga82 in DEKOR