Memburu haruan

 

 

Oleh Mohamed Semail

SEBUT saja ikan haruan (Channa striatus), majoriti masyarakat di Malaysia pasti terbayang mengenai khasiatnya yang dikatakan mampu mengubat luka dalaman. Rahsia dan khasiat ikan itu sudah diketahui sejak sekian lama malah semua masyarakat di negara ini dikatakan setuju memakannya terutama untuk memulihkan organ dalaman wanita dan isteri lepas bersalin. Namun, bagi Ismail Abdullah, 38, dan anaknya Shafie, 24, pemburu haruan dari Pekan, Pahang, tidak menghiraukan fakta saintifik itu sebaliknya berazam mendapatkan haruan setiap hari untuk dijadikan hidangan lauk di meja makan. Katanya, khasiat haruan tidak dinafikan memang banyak, bukan saja untuk menyembuh luka dan penjagaan kesihatan, malah ia dikatakan mampu mengurangkan kesakitan selepas pembedahan. Ini berikutan ia mengandungi sejenis asid amino serta asid lemak unik yang mampu mempercepatkan pertumbuhan sel kulit sekali gus menyembuhkan luka selain amat mujarab untuk rawatan gastrik jika pandai menyediakannya. “Soal khasiat perkara kedua. Yang penting, bagaimana untuk mendapatkan haruan dengan banyak dan bagaimana menangkapnya. Lazimnya, pancing menggunakan umpan katak hidup kaedah paling berkesan memperdaya haruan. “Haruan pantang melihat katak, ia pasti terus menyambarnya. Ikan ini akan lebih garang, jika ia bersama anak kecil. Waktu ini, ia amat agresif dan akan menyerang apa makhluk yang cuba mengganggu anaknya. “Untuk mengail haruan perlu tahu kaedahnya, pertama pemancing mesti tahu di mana tempat ia bersembunyi. Jika kolam terbiar lama dan banyak semak di tepinya, di situ pasti tempatnya bersarang. “Justeru, kail hendaklah dicampak di tepi semak. Ini kerana tabiat haruan tidak suka mendiami di tengah kolam atau sungai yang berarus,” katanya. Mengulas mengenai kaedah memasak haruan Ismail berkata, khasiat ikan itu lebih ketara jika dibuat sup atau masak kukus bersama halia. Katanya, pada kelazimannya, selepas menghirup semangkuk sup haruan, badan seseorang akan terasa panas dan mulai berpeluh. Dari kajian yang dilakukan beberapa pakar perubatan, isi haruan banyak membekal sumber protein, iaitu kira-kira 60 hingga 70 peratus manakala 20 peratus lemak. Difahamkan, isinya juga turut mengandungi vitamin A yang berfungsi meningkatkan daya ingatan serta penglihatan manakala lendirnya mengandungi asid olenik dan linolik tidak tepu selain bahan kalogen yang mampu mencantikkan kulit, sekali gus melambatkan proses penuaan. Namun, Ismail mengesyorkan hanya memakan haruan liar yang hidup di persekitaran semula jadi dan bukannya haruan yang diternak di kolam simen kerana haruan ternak tidak mempunyai lendir asli yang sebenarnya menyumbang kepada faedah perubatan.

Posted February 28, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: