Talang, alu-alu Pulau Batu Hitam baham Popper

Oleh Nuri Angkasa
SuFFian menunjukkan seekor talang yang paling awal membaham gewang popper yang digunakan ketika bertarung di perairan Pulau batu Putih, berhampiran Pulau Sembilan, baru-baru ini.
SuFFian menunjukkan seekor talang yang paling awal membaham gewang popper yang digunakan ketika bertarung di perairan Pulau batu Putih, berhampiran Pulau Sembilan, baru-baru ini.
MESKIPUN separuh rentung dibakar sinar matahari, keseronokan memancing membuatkan kumpulan lasak pemancing Bukit Antarabangsa Kuala Lumpur (BAKL) seolah-olah sanggup memancing selama 30 hari dalam sebulan.

Puas menyelongkar dari satu lubuk ke satu lubuk, mereka menyusun ke lokasi tetap di Pulau Sembilan selang beberapa hari berjaya memerangkap ikan talang dan kerapu di perairan Tanjung Tuan.

Kesan panahan matahari di badan Jimmy yang mengetuai kumpulan pemancing lasak BAKL belum hilang, mereka sanggup ke Pulau Sembilan pula demi kepuasan memancing sambil menghirup udara tenang di laut.

Bahkan Jimmy menganggap laut mengajar dia menjadi seorang insan paling cekap dan mampu bertindak pantas ketika berdepan gelora di laut.

Bermula dengan singgah di sebuah pelantar nelayan Pulau Pangkor untuk membeli ikan kembung dan udang segar, pemburuan kami diteruskan menuju ke
sembilan buah pulau di perairan Lumut yang menjadi pintu rezeki bagi nelayan tempatan sambil kami berkongsi sedikit habuan untuk mengisi hobi.

Suffian yang bertindak sebagai tekong membawa bot kami menuju ke Pulau Batu Putih dengan kedalaman air kira-kira 30 hingga 35 meter.
Menggunakan teknik popping dan jigging, Suffian awal-awal membuka tirai apabila poppernya dikejar ikan talang yang gemar memburu umpan di permukaan air sekali gus menobatkan namanya sebagai juara.

Namun, sejurus kemudian, seekor lagi talang menjadi milik Jimmy untuk memintas senarai menerusi kaedah popping dengan bunyi letupan berbeza sekali gus membuatkan rakan lain yang tidak memasang popper hanya menjadi pemerhati pesta talang itu.

Sebaliknya, rakan lain dilihat berpuas hati menimbang cencaru kuda dan anak ikan merah sambil sesekali ikan gerut-gerut menjadi lauk lumayan hasil umpan yang dihidangkan oleh Usup dan Pak Tam.

“Ok juga, kecil-kecil cili padi,” kata Usup yang sejak tadi mendiamkan diri memerhatikan gelagat Pak Tam senyum lebar.

Dari Pulau Batu Putih, kami beredar ke Pulau Batu Hitam yang letaknya tidak jauh antara satu sama lain sambil mengulangi kaedah popping dan jigging yang nyata memberi hasil berbaloi sehingga lenguh mengarau tali.

Beberapa minit sebelum mentari terbenam di langit sebelah barat, popper Jimmy pula tiba-tiba disambar seekor barakuda (alu-alu) lalu membangkitkan semangat juangnya yang sebentar tadi dilihat mula merosot.

Selepas hampir sepuluh minit bertarung, akhirnya kelibat mangsa sah dapat ditewaskan sambil menanam azam untuk meneroka pula ke Pulau Jarak dalam aktu terdekat ini.

Posted February 28, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: