Sawah padi restoran buluh

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


GERBANG utama yang menyambut tetamu juga diperbuat daripada buluh.


 

BAYU senja bertiup lembut ke pipi tatkala krew Jurnal tiba di lokasi restoran yang terletak di sisi Jalan Hulu Kelang-Ampang ini.

Disapa manis oleh pelayan yang berkemeja dan bertopi koboi membuatkan kami terasa bagai tidak berada di bumi Malaysia.

Sedang asyik menyusuri laluan pejalan kaki dari pintu utama ke ruang makan, mata tidak kalis memandang bumbung rumbia yang dilapis anyaman buluh, tiang-tiang buluh berwarna kuning keemasan dan lantai beralaskan tikar buluh.

Keunikan buluh inilah yang ditonjolkan dalam setiap dekorasi restoran yang diberi jolokan Istana Bambu ini selain keenakan hidangannya.

Saat menunggu Pengurus Pemasaran Korporat restoran ini, Nurul Anis Mokmin, segelas minuman berjus dalam gelas kaca unik singgah ke meja kami.

Tidak lama, gadis kecil molek yang murah senyuman datang menyapa. Selain petah berbicara, Anis yang berusia 24 tahun juga gemar bergurau.

Menceritakan tarikan utama di Istana Bambu, Anis mengulas elemen buluh yang diserap daripada konsep dekorasi rumah dan premis di Bandung, Indonesia mencetus inspirasi.


RUANG makan utama yang boleh memuatkan lebih 170 pelanggan pada satu-satu masa.


 

Bendang

“Elemen tradisional menjadi tema asas restoran ini selain disuntik dengan beberapa ornamen kontemporari untuk memberikan sedikit nafas moden,” ujarnya yang sering menguruskan pelbagai acara mega di restoran yang dipagari pepohon dan tanah tinggi ini.

Buluh dipilih kerana keunikan sifatnya yang mampu menyerap haba sama ada ketika bahang mentari tegak di kepala mahupun semasa kedinginan malam menyelimuti tubuh.

“Kami tidak terlalu bergantung kepada kipas atau penyaman udara kerana buluh itu sendiri berupaya menyejukkan premis ketika panas dan menghangatkan ruang terutama waktu malam,” getusnya.

Uniknya, sawah padi melatari hampir 70 peratus daripada landskap restoran.

Malah, di satu sudut berdekatan dengan surau yang mampu memuatkan lebih 20 orang jemaah, pokok padinya masih muda dan menghijau.

Restoran buluh ini menerapkan ciri-ciri tradisional sebagai motif utama setiap dekorasi termasuk pencahayaan yang mengguna pakai peralatan menangkap ikan seperti bubu.

Dinding terbuka yang menjadi pemisah ruang juga dianyam dengan corak buluh.

Langsir rona putih yang digantung di setiap sudut dan tiang utama restoran mencampurkan secalit unsur dramatik dan romantis.

Perabot yang menggunakan unsur buluh sebagai asasnya dihasilkan oleh kerja tangan anak watan.

“Daripada meja makan hingga kerusi semuanya adalah hasil sentuhan tangan orang Malaysia yang kreatif mengolah buluh dengan teknik tersendiri,” singkapnya bercerita mengenai restoran di bawah kendalian syarikat Ofisgate Sdn. Bhd. ini yang kos pembinaannya mencecah RM500,000.


UMPAMA kembali ke kampung halaman, tanah bendang menjadi daya penarik restoran Istana Bambu.


 

Hidangan

Selain ruang makan utama yang mampu memuatkan lebih 170 pelanggan, binaan gazebo di sekeliling restoran juga menjadi tarikan.

“Tiga jenis gazebo bersila disediakan. Gazebo paling kecil muat untuk empat orang, sederhana pula boleh diisi 10 orang manakala yang paling besar mampu menampung 40 pelanggan,” ujar Anis lagi.

Selain ruang makan, galeri khas juga tersenarai sebagai pilihan pelanggan yang gemarkan konsep makan yang santai namun privasi.

Bagi majlis korporat yang perlukan ruang bermesyuarat pula, bilik mesyuarat melengkapi hasrat.

Lokasi yang padat ketika bulan Ramadan memaksa pihak pengurusan menambah ruang makan di sudut kanan bersebelahan dapur utama yang berupaya memuatkan 100 pelanggan.

Tidak lengkap kiranya sambil mulut mengunyah juadah lazat yang terhidang di depan mata jika telinga tidak memperoleh halwanya.

“Maka, muzik latar pelbagai genre juga mengisi setiap ceruk Istana Bambu bermula daripada masa ia dibuka hingga ditutup pada larut malam,” tambah Anis.

LALUAN masuk ke ruang utama restoran menggunakan elemen buluh daripada atap hingga ke lantai.


 

Dalam usia yang tidak sampai setahun selepas dibuka secara rasmi pada 6 Mei 2010, Anis mengakui pelbagai acara menarik berlangsung di Istana Bambu.

“Kami menyediakan lokasi untuk pelbagai acara seperti sidang media, majlis berbuka puasa, sambutan hari jadi malah resepsi perkahwinan,” katanya.

Pada mulanya restoran yang mudah diakses ini menjadikan masakan Thailand dan Cina sebagai menu utama, namun selepas mendapat sambutan pelanggan, pihaknya mula menambah sajian baru.

“Kini, kami menyediakan hidangan tempatan Melayu dan Barat.

“Apa yang menarik, restoran ini menyediakan juadah yang semuanya halal,” katanya yang turut menggunakan khidmat tukang masak terlatih dari Australia.

Restoran yang mampu memuatkan lebih 300 pelanggan pada satu-satu masa ini turut menerima kunjungan daripada golongan kenamaan dan kerabat diraja.



Posted March 1, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: