Warisan unggul keluarga Syria

Oleh HAMZAH ABDUL HAMID



 

SALAH satu daripada kelaziman ketika seseorang itu melancong atau mengembara adalah memikirkan tentang pembelian cenderamata dibawa pulang ke tanah air.

Tidak cukup dengan menceritakan semula pengalaman melancong itu atau melihat hasil rakaman lensa kamera, seseorang perlu tahu mencari ole-ole yang mempunyai nilai berkali-kali ganda lebih estetik berbanding poskad, magnet peti sejuk ataupun rantai kunci.

Selain cerewet tentang harga, ia perlu menepati beberapa kriteria lain seperti nilai autentik, keaslian buatan, kaitannya dengan budaya dan juga keindahannya untuk dimiliki atau dipakai.

Kalau ke Indonesia misalnya, seseorang pasti mahu membeli batik, ke China untuk mencari seramik, atau ke India untuk membeli fabrik sari.

Sewaktu Kosmo! mengikuti agenda lawatan ke Damsyik, Syria, ternyata pertemuan dengan Amira al-Samman, 76, yang gigih mengusahakan warisan seni kebanggaan keluarganya menepati ciri pencarian tersebut.

Wanita warga emas itu tatkala ditemui di bazar seni bersebelahan Citadel Damsyik sedang asyik menukul kepingan-kepingan halus mozek untuk melekatkannya ke dalam rongga yang diukir pada permukaan sebuah peti kayu.

“Kotak mozek ini adalah kraf buatan tangan yang tertua di Damsyik. Selalunya ia tidak dihasilkan di kilang yang besar sebaliknya dijalankan dalam keluarga di bengkel-bengkel kecil,” ujarnya yang hanya berbahasa Arab dan sesekali menyelitkan frasa Inggeris untuk menjawab pertanyaan Kosmo!.


AMIRA (kiri) bersama pekerjanya sibuk menguruskan jualan di kedainya di tengah kesibukan bandar lama Damsyik.


 

Amira sudah lebih 30 tahun mengabdikan dirinya dengan kraf beridentitikan Syria itu. Dia yang menyimpan rahsia kemahiran halus tersebut dalam jalur keluarganya memberitahu, proses membuatnya bermula dengan mencantumkan batang-batang kayu dengan gam khas.

Batang-batang kayu yang dicantum itu adalah mengikut corak yang dikehendaki sebelum dipotong secara melintang setebal kira-kira 2 milimeter bagi mendapatkan kepingan-kepingan mozek.

“Gabungan kayu daripada jenis berlainan seperti kayu pic, kayu ros (rosewood), layu lemon dan kayu walnut memberi tekstur, warna dan aroma yang berbeza,” terang Amira.

Seterusnya adalah proses menampal kepingan mozek tersebut ke dalam ruang ukiran pada permukaan kotak kayu. Selain kepingan mozek yang rumit itu, kepingan cengkerang laut turut digunakan.

Cangkerang import

Walaupun kesenian ini diperhalusi dan disempurnakan di Syria, namun bahan-bahan yang digunakan dibawa masuk dari negara lain.

“Misalnya, rosewood ini dari India manakala cangkerang laut ini pula diimport dari Jepun, Hong Kong dan China.

“Kami tidak menggunakan cangkerang laut dari perairan Arab atau Mediterranean kerana ia tidak berapa cantik dan berwarna-warni,” ujar wanita gigih itu.

Selain penggunaan playar, tukul kecil, ragum, gergaji kecil dan pahat pengukir, Amira turut cekap menggunakan beberapa peralatan khas lain seperti kertas pasir, pengilat dan kemasan venier untuk menyempurnakan hasil kerjanya.


KUANTITI penghasilan bukan keutamaan Amira kerana wanita ini lebih mementingkan nilai kesenian produk krafnya.


 

“Langkah mengilatkan cangkerang agak rumit dan sensitif kerana tukang kraf perlu pandai mendapatkan keunggulan warna dan corak semula jadi pada cangkerang itu,” terang Amira yang secara purata menghasilkan kira-kira 25 buah kotak mozek sebulan dengan bantuan empat orang anak-anaknya.

Menurutnya yang turut mempunyai kedai di Sepanyol itu, corak geometri Islamik yang dihasilkan pada kotak mozek berbeza mengikut keluarga yang membuatnya. Bagi penilai yang arif, melihat pada perinciannya sudah boleh mengenal pasti pembikinnya.

Selain kotak dekorasi segi empat, seni hiasan itu turut dihasilkan untuk rekaan produk yang lebih besar seperti kotak barang kemas oktagon, peti, kerusi, meja, set catur, bingkai cermin dan banyak lagi.

Bagi kotak yang berdimensi 11 x 11 x 4 sentimeter, ia dijual pada harga sekitar 200 pound Syria (RM13). Kotak yang lebih besar mula dijual pada harga 850 pound Syria (RM55) ke atas, bergantung kepada penggunaan cangkerang laut, reka bentuk, kualiti kemasan dan kerumitan corak.

“Ada juga produk yang mencapai harga beribu-ribu pound Syria. Lazimnya, reka bentuk yang banyak sudut melengkung lebih mahal daripada yang berpermukaan rata.

“Anda mungkin menemui produk yang hampir sama di Turki atau Mesir tetapi ia tidak seteliti buatan Syria. Di negara lain, kepingan mozek hanya ditampal terus di atas permukaan kayu, sedangkan di sini, kami menebuk rongga pada kayu dan ‘menanam’ mozek ke dalam kayu itu,” jelas Amira yang bangga produknya turut mendapat permintaan di Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat.

Arus kemodenan

Sama seperti Amira, seorang lagi pengusaha kotak dekorasi mozek, Hassan Harastani, 39, yang menjalankan perniagaannya di Qaymariya Street di bandar lama Damsyik, tidak teruja dengan penghasilan produk itu menggunakan teknologi baru.


Keratan melintang daripada cantuman batang-batang kayu pelbagai jenis menghasilkan kepingan mozek bercorak.


 

“Industri asli di Damsyik adalah mengenai kemahiran menggunakan tangan. Jika anda melibatkan mesin, hasil kerja anda akan kehilangan nilai spiritualnya. Saya kesal sekiranya lama-kelamaan pelanggan tidak tahu membezakan nilai barangan seni yang mereka beli,” luahnya.

Hakikatnya, kebanyakan tukang kraf barangan mozek sudah mula menggunakan peralatan berkuasa tinggi. Menurut mereka, cara itu boleh menjimatkan masa dan wang, meningkatkan produktiviti serta menggandakan keuntungan.

“Hari ini, para pengusaha mereka bentuk produk dalam aplikasi komputer dan rupa fizikalnya sudah diketahui sebelum proses pembuatan selesai. Kerja memotong dan membersihkan kepingan mozek menjadi lebih tepat menggunakan peralatan berkuasa tinggi itu,” kata seorang tukang kayu di bazar seni kraf Tekiyeh Al-Suleimaniyeh, Jihad al-Halabi.

Namun bagi penggiat tradisional seperti Amira, dia tidak pernah rasa tergugat dengan kemunculan pengusaha moden sedemikian.

“Ini adalah warisan kebudayaan Syria. Ia perlu terus dihasilkan dengan cara begini kerana penggemar seni yang sebenar tahu membezakannya. Menggunakan mesin mungkin mudah, tetapi kraf buatan tangan memang tiada bandingannya,” ungkap Amira.

Posted March 1, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: