Dari marin ke ladang

Oleh KARL SHAFEK IBRAHIM


IKAN pari ini antara ribuan spesies marin yang boleh ditemui di dasar laut perairan Sabah.


 

ADAKALANYA kreativiti diperlukan apabila merencana sesebuah percutian. Walaupun terbatas dengan masa yang singkat, kita sebenarnya mempunyai banyak kaedah dan pilihan untuk berseronok dalam tempoh kunjungan tiga hari dua malam.

Negeri Sabah contohnya, sentiasa menanti tetamunya dengan hamparan hutan hujan menghijau dan serakan pulau indah untuk diterokai. Pilih saja gabungan lokasi yang menarik mengikut keselesaan agenda masing-masing.

Di Semporna, terdapat beberapa kepulauan yang terkenal buat para pencinta dunia marin, bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia malah komuniti antarabangsa. Setiap hari ada sahaja pelancong yang berkunjung dengan hanya satu tujuan – menyelam skuba!

Sudah pasti Pulau Sipadan menjadi agenda utama bagi penyelam-penyelam antarabangsa itu. Selain Sipadan, Pulau Mabul yang terletak 15 batu nautika atau lebih kurang satu jam perjalanan menaiki bot laju dari pekan Semporna turut menjadi lokasi persinggahan utama. Sehingga kini, tiada lagi penginapan disediakan di Sipadan.

Pulau Mabul juga merupakan salah satu lokasi fotografi makro dasar laut terhebat di dunia. Pulau yang terletak di perairan jernih Laut Sulawesi tidak jauh dari pantai Sabah dikelilingi terumbu karang yang melandai sedalam dua hingga 40 meter. Pulau seluas 30 hektar itu lebih besar daripada Pulau Sipadan dan menjadi tempat tinggal kaum Bajau Laut yang merupakan salah satu daripada etnik pribumi Sabah.

Sebuah pusat pembelajaran menyelam, Borneo Divers Mabul Resort sering menjadi pilihan mereka yang baru sahaja ingin berjinak-jinak dengan aktiviti itu.

Menawarkan pakej-pakej berpatutan, seorang boleh mendapatkan lesen menyelam skuba pada harga serendah RM1,320.

MABUL dan Sipadan menawarkan kawasan selam skuba bertaraf dunia.


 

“Tiada had umur untuk menjadi seorang penyelam skuba dan tempoh empat hari sudah memadai untuk melengkapkan kursus peringkat permulaan,” ujar Suboh Mohd Yunus, 48, yang telah menjadi jurulatih skuba sejak tahun 1996.

Yunus atau lebih dikenali sebagai Steven dalam kalangan para penyelam meninggalkan kerjayanya sebagai jurutera 15 tahun lalu kerana minat yang mendalam terhadap aktiviti menyelam.

Aktiviti menyelam boleh dijalankan sepanjang tahun. Antara hidupan laut yang terdapat di perairan sekitar dua pulau eksotik itu ialah kuda laut, tapak sulaiman, ikan gobi, ikan baji-baji, pipefish dan belut ular selain beribu-ribu jenis terumbu karang yang hidup subur. Terdapat lebih daripada lapan kawasan selaman yang popular di sini dengan setiap satunya mempunyai tarikan dan kelebihan tersendiri.

Di Mabul juga terdapat tiga buah resort yang menyediakan tempat penginapan untuk penyelam skuba – dua terletak di pulau tersebut sementara satu lagi terletak di atas sebuah pelantar minyak yang telah diubah suai kira-kira 500 meter dari pinggir pantai.

Selain itu, terdapat juga calet-calet kecil yang menyediakan perkhidmatan yang sama, seperti di Scuba Jeff Sipadan. Kesemua resort itu boleh mengatur lawatan sehari ke pulau yang berdekatan iaitu Pulau Sipadan dan Kapalai.

Eko-pertanian Balung

Satu lagi tarikan pelancongan menarik di bahagian pantai timur Negeri Di Bawah Bayu adalah Balung Eco Resort yang berlokasi di daerah Tawau. Mengambil masa lebih kurang 45 minit pemanduan dari pekan Tawau, lokasi itu menawarkan keunikan percutian dalam taman ekopertanian.

Dimiliki oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh, taman pertanian itu telah beroperasi sejak 10 tahun lalu dan pernah memenangi anugerah Tarikan Semula Jadi Terbaik daripada Kementerian Pelancongan Sabah pada tahun 2003.


BAGI sesetengah pelancong, lawatan ke Balung Eco Resort adalah ibarat kunjungan ke pusat akademik.


 

Kepelbagaian tanaman herba sehinggalah ke ternakan kambing dan ikan membentuk satu putaran ekosistem yang lengkap di sini. Pokok-pokok herba seperti serai dan misai kucing, pohon-pohon balak seperti gaharu dan jati serta aneka buahan-buahan tropika menjadi keluaran utama ladang seluas 3,000 hektar itu.

Objektifnya adalah menjadi pengeluar makanan dan minuman perubatan organik bernutrisi dan berkualiti tinggi. Ladang tersebut yang giat mengeluarkan dan mempromosikan produk makanan berlabel Balung sentiasa menanti pengunjung yang inginkan kelainan dalam percutian mereka. Pendek kata, Balung Eco Resort adalah pusat sehenti pendidikan lengkap khususnya mengenai dunia agrikultur.

Untuk maklumat lanjut tentang percutian di Mabul dan Balung Eco-Resort sila layari laman web scubajeffsipadan.com, borneodivers.info dan balungplantation.com.

Posted March 5, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: