Pantai emas pemulih semangat

Oleh HAMZAH ABDUL HAMID



 

MESKIPUN nama daerah ini tidak sepopular Kuching atau Miri dari aspek pelancongan dan komersial di Sarawak, ia tidak bermakna Bintulu langsung tiada aset atau pertaruhan menarik untuk dimuatkan dalam agenda pelancongan Malaysia.

Dalam bahagian berkeluasan 12,500 kilometer persegi dan berpopulasi kira-kira 200,000 orang itu, bandar Bintulu menjadi nadi ekonominya. Sama seperti banyak kota pesisiran pantai lain di zon tropika, ia sebenarnya menawarkan ciri jelajah yang seimbang iaitu antara kehijauan hutan dan juga panggilan dunia samudera.

Krew Kosmo! telah dibawa menyusuri rentangan jalan berkontur kira-kira 30 kilometer (km) dari bandar untuk segera menghirup dos oksigen segar di Taman Negara Similajau. Menyambut tetamunya dalam redup landskap hutan pinggir pantai, destinasi tersebut menawarkan destinasi melepas tekanan dan keseronokan rekreasi berkonsep kembara lasak.

“Taman negara ini diwartakan pada 1 Disember 1976 dan dibuka kepada kunjungan orang awam pada April 1978. Kawasan hutan dara seluas hampir 9,000 hektar ini bermula dari Sungai Likau di sebelah selatan hingga sejauh 30 kilometer ke Sungai Similajau di utara,” ujar Eksekutif Konservasi, Sophia Sik.

Walaupun secara geografinya ia sekadar bentangan kecil bagi sebuah taman negara, hutan sepi yang menjadi habitat burung kenyalang, murai, takor (barbet) dan ratusan spesies unggas lain itu sangat kaya dengan rekod penemuan flora dan fauna.

“Di pantai-pantai terlindungnya, kami pernah menemukan penyu hijau yang mendarat untuk bertelur. Begitu juga dengan kehadiran ikan lumba-lumba spesies humpback dan Irrawady. Kelibatnya mudah dilihat ketika bukan musim laut bergelora,” jelas Sophia mengenai dua daripada 12 spesies mamalia marin yang terdapat di situ.

Itu belum lagi terkejut kalau ‘disapa’ kera, siamang dan ungka yang bertembung secara tidak sengaja semasa merentas hutan.

Bagi peminat tumbuh-tumbuhan, di taman negara itu juga terdapat variasi spesies, baik yang sifatnya melata dan menjalar hinggalah kepada pokok kayu keras yang tinggi membentuk kanopi hutan. Paling mudah ditemui ialah pokok periuk kera Ampilarua.

Malah, di pejabat penerangan renjer taman negara itu, pengunjung dapat melihat beberapa batang pokok tongkat ali yang berbuah. Ia dikatakan satu-satunya lokasi tempat pokok formula tenaga itu mengeluarkan buahnya!

Merentas hutan


KEDAMAIAN di Turtle Beach ini bagaikan ganjaran buat mereka yang telah bersusah-payah merentas hutan.


 

Bagi merasai sendiri pengalaman menyerap aura hutan itu, rombongan media yang Kosmo! sertai memulakan sesi merentas hutan untuk ke pantai sunyi yang dikenali sebagai Turtle Beach.

“Hanya perlu berjalan sejauh enam kilometer dan tiada jalan pintas untuk pulang. Anda perlu menempuh semula jarak yang sama untuk kembali ke sini,” pesan Sophia yang menjangkakan perjalanan pergi dan balik mengambil masa kira-kira lima jam lantaran laluannya berliku-liku.

Memang benar, hampir separuh daripada kumpulan media tidak dapat menghabiskan perjalanan lalu berpatah balik. Ada juga yang risau akan kehadiran binatang buas dan juga pacat. Namun hakikatnya, seekor pacat pun tidak ditemui. Kami terfikir juga akan teori tahap kemasinan tanah hutan pinggir laut itu yang mungkin tidak ‘disenangi’ si penghisap darah itu.

Menempuh cabaran laluan berbukit, lereng curam dan licin, teres batu air terjun, rintangan pokok tumbang dan akar berduri melecehkan pergerakan kami. Enam kilometer sebenarnya tidak jauh, namun halangan-halangan itu bagaikan sengaja mematahkan harapan kami.

Setiap kali melintas jambatan di atas sungai, kami teringin juga untuk membasuh muka dan menyejukkan badan. Begitupun, kami tidak berani untuk berhenti lama lantaran melihat papan tanda peringatan bertulis: ‘Jangan meredah sungai, ada buaya air masin! Serta-merta hasrat itu terbatal.

Perjalanan diteruskan juga walau otot kaki semakin lenguh dan sakit. Semangat yang hampir hilang akibat menempuh pelbagai halangan itu akhirnya terubat setelah kami tiba di Turtle Beach yang benar indah pada khabar dan rupa. Kami tidak dapat membayangkan panorama di Golden Beach yang memerlukan perjalanan lebih jauh. Turtle Beach sudah memadai!

Pasir halus berwarna keemasan memukau kami untuk menyeret sisa tenaga akhir bagi mencelup kaki di gigi air. Musim ombak besar malangnya telah menghalang kami untuk berseronok lebih daripada itu. Cukup sekadar berehat di atas pasir sambil melayan bayu segar dan deruan ombak Laut China Selatam.

Dalam pada melepas lelah sambil bersorak kepuasan dan mencuri peluang fotografi, tiba-tiba terdengar seorang rakan media mengungkapkan kata-kata antiklimaks: “Oh, ada lagi enam kilometer untuk ditempuh dalam perjalanan pulang nanti!”

Suku Tatau


JAMBATAN gantung di Taman Negara Similajau ini merentasi sungai yang menjadi tempat persembunyian buaya air masin.


 

Selain mengunjungi Taman Negara Similajau, tidak lengkap pengisian kunjungan ke Bintulu jika tidak singgah ke Rumah Panjang Jalong di Sungai Tatau.

Pemanduan dari bandar ke jeti Sungai Tatau lazimnya mengambil masa sejam setengah sebelum bertukar mod pengangkutan. Dari situ, bot panjang pula perlu dinaiki meredah sungai selama 30 minit.

Meriah disambut oleh suku Tatau iaitu salah satu daripada 42 etnik di Sarawak, suasana di Rumah Jalong begitu istimewa. Mereka ialah penghuni megah rumah panjang tunggal di daerah tersebut dengan bilangan penghuni seramai 108 orang.

“Hanya lapan daripada kami merupakan darah asal Tatau. Semuanya kini dalam lingkungan usia emas. Susur galur keluarga kami, khususnya anak dan cucu, sudah berkembang kerana perkahwinan antara kaum seperti Cina, Melayu dan Iban. Kebanyakannya masih tinggal bersama di sini,” ujar tuai rumah, Jalong Anyik, 63.

Lokasi itu sememangnya amat bermakna bagi pengunjung yang tidak pernah merasakan pengalaman mendekati serpihan warisan Borneo yang kaya. Di pinggir Sungai Tatau itu, tetamu pasti terhibur dengan layanan mesra laksana keluarga sendiri.

Di situ juga, tetamu Jalong mempunyai pilihan untuk merasa hidangan eksotik tempatan seperti sayur midin peram masam, ayam yang dimasak dalam buluh, ikan empurau, kuih-muih tradisi dan tuak beras.

Tamu Bintulu


SAMBUTAN penuh mesra dan beradat oleh ahli keluarga rumah panjang Jalong.


 

Sebelum meninggalkan daerah ini, alangkah baiknya kalau singgah di Tamu Bintulu untuk mengenali sumber kulinari tempatan. Didatangi penduduk sekitar dan juga para pelancong, pasar yang terbahagi kepada beberapa segmen itu menjerat perhatian dan selera melalui aroma serta warna.

Kalau hendak menikmati delikasi Sarawak, aras dua kompleks berbentuk terendak itu menyediakan medan selera yang selesa. Berjalan-jalan di sekelilingnya, pasti ramai yang terpesona pada kepelbagaian jenis sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil laut yang segar. Paling utama, pengunjung tentunya mahu membawa pulang cenderamata popularnya iaitu belacan dan cencaluk!

Terhasil daripada udang geragau penuh yang sungguh lemak dan tidak ketara masin, anugerah daripada laut itu memang menjadi buruan ramai selain daripada udang harimau dan kekapis segar. Semua itu boleh dibungkus ketat tanpa perlu bimbang ia mengeluarkan bau di dalam pesawat.

Bintulu sebenarnya cukup menyeronokkan bagi pengunjung yang datang dalam percutian singkat. Elemen semula jadi yang terhampar di segenap penjuru daerahnya bagai terapi minda bagi mereka yang selama ini terlalu sesak dengan elemen ekstra di kota-kota besar.

Sesudah puas mengenali flora dan fauna, mendekati etnik tempatan dan merasai menu yang jarang ditemui, pasti juga ada yang sekadar mahu berehat di bandarnya yang semakin pesat membangun.

Kafe gaya hidup yang menyajikan minuman kopi berjenama dan kulinari antarabangsa serta kedai serbaneka sedia melayan tuntutan tersebut.

Posted March 5, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: