Penangan renjatan bulan

Oleh Zulhilmi Hat


Foto

Foto
IKAN bulan yang berjaya dipancing menggunakan teknik umpan pancing layang.

KAEDAH pancingan mengilat layang atau spin fly kian makin digemari pemancing tempatan ketika ini terutama kaki pancing yang yang gemar aksi terbang ikan Bulan atau nama saintifiknya Megalops Cyprinoides yang banyak didapati di kebanyakan sungai atau muara sungai negara ini.

Kaedah ini yang sudah popular di negara barat sejak sekian lama menjadi pilihan kerana ia menggunakan umpan yang amat ringan dengan tujuan tidak mengejutkan kumpulan ikan di sungai sebaik saja ia dilontarkan. Kaedah ini amat sesuai dipraktikkan untuk kaki pancing yang suka cara ‘senyap’ menawan ikan tertentu.

Justeru penulis yang berkesempatan menggunakan teknik ini memperakui sambaran yang diterima ikan bulan atau tarpon cukup menakjubkan berbanding penggunaan gewang yang setara berapa di pasaran masa kini.

Berbekalkan set ringan, penulis mencuba teknik ini bersama Acab, Ajib, Atiq dan Shidi di Sabak Bernam, Selangor selepas mengetahui ikan bulan memanng terkenal dengan aksi akrobatiknya bermastautin di sungai berair payau itu.

Kelengkapan di bawa kami kali ini adalah beberapa jenis umpan layang jenis ‘ Clouser Minnow’ atau mata kail berbulu yang menggunakan mata kail saiz 5. Kelengkapan lain iaitu batu ladung V-Fox berbentuk tirus.

Senjata kami masing-masing menggunakan set mengilat dari kekili mendatar yang dipadankan dengan joran bersaiz 4-12 paun (lb) bagi memberi tentangan paling adil untuk ikan bersaiz 800 gram ke bawah.

Shidi dan Ajib memilih umpan layang berwarna merah putih manakala penulis, Acab dan Atiq memilih umpan berwarna putih. Pemilihan umpan berbeza warna dilakukan untuk mengetahui diet ikan bersirip dengan kilauan perak disamping mencari umpan sesuai untuk memancingnya.
Balingan kami hanya tertumpu pada kumpulan ikan yang timbul mengambil oksigen. Cara ini paling senang diguna pakai untuk mendapat kadar sentapan yang banyak berbanding balingan secara membuta tuli.

Cara karauan hendaklah henjutkan umpan layang secara perlahan dengan menggayakan aksi seakan udang berenang.

Ajib yang membuat balingan di bawah pokok tempat kumpulan ikan tidak menunggu lama mendapat sentapan apabila ikan bulan tiba-tiba membuat larian padu ke reba kayu. Beliau yang mengetatkan sepenuhnya pelaras gegelung ternyata kecewa apabila tali joran miliknya putus.

Pemburuan kami bersambung di lokasi sama pada parit sebesar 4 meter itu.
Penulis membuat balingan ke kumpulan ikan yang bergerak seakan ikan lumba-lumba sambil menunjukkan sirip dorsal. Satu sentapan kasar diterima penulis dengan umpan layang yang dipersembahkan sambil mangsa membawa lari tali ke tepi parit.

Karauan dibuat secara laju sambil hujung joran di rendahkan untuk mengelakkan ikan melakukan aksi akrobatiknya. Tentangan diberikan ikan bulan cukup kuat apabila menggunakan set ringan pada skala 4-12 lb.

Selepas berhempas pulas kira-kira seminit, ikan bulan seberat 500 gram berjaya didaratkan dengan aksi yang cukup dramatik ini.

Selepas itu dengan kaedah sama, penulis berjaya menaikkan kira-kira sembilan ekor ikan bulan dan ditambah seekor haruan serta belukur ubi sehingga tamat acara memancing pada lewat petang.

Eksperimen kami menggunakan umpan pancingan layang cukup berbaloi berbanding gewang biasa. Hasil kira-kira 15 ekor ikan bulan bukanlah kejayaan besar untuk trip ini tetapi teknik baru yang diguna pakai dalam mempelbagaikan persembahan dalam arena memancing akan memberikan kepuasan yang maksimum.



Posted March 6, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: