Trek ekstrem Bukit Cerakah Jaya


TREK Bukit Cerakah Jaya yang sesuai untuk pemandu baru dan pertengahan.


 

TIDAK dinafikan semangat dan keberanian yang tinggi menjadi salah satu daripada elemen penting yang perlu ada dalam diri sebelum seseorang itu mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam aktiviti lasak pacuan empat roda atau 4×4.

Selain faktor keberanian, sukan tersebut turut menjadi medan untuk menguji kesabaran serta semangat setia kawan yang ada pada diri setiap ahli kumpulan 4×4.

Berpengalaman dalam sukan tersebut lebih 10 tahun, Rahim Ismail berkata, sikap kerjasama antara ahli merupakan satu elemen yang wajib ada.

“Katakan bila kita berada di dalam hutan, sebuah jambatan yang perlu diseberangi runtuh, jadi kena buat jambatan. Kalau seorang, memang tidak boleh siap, jadi kerjasama adalah jalan penyelesaian,” katanya ketika ditemui semasa menjalankan pandu uji di kawasan trek baru yang terletak di Bukit Cerakah Jaya, Selangor baru-baru ini.

Selain semangat kerjasama, kemahiran membaiki jentera juga mesti dipelajari walaupun hanya mengetahui asas-asas penting sahaja.

Memberi contoh dirinya yang tidak pernah tahu kemahiran membaiki jentera, penglibatannya dalam sukan lasak itu menyebabkan dia kini mampu membaiki kerosakan-kerosakan kecil.

“Saya memang tidak pernah tahu asas baiki kenderaan, tetapi jika terlibat dalam sukan ini, kena belajar juga kerana kerosakan boleh berlaku di mana-mana sahaja,” katanya yang memiliki empat buah pacuan empat roda sehingga kini.


SUKAN lasak 4×4 menguji kemahiran memandu dan keberanian seseorang.


 

Bercakap mengenai trek di Bukit Cerakah Jaya, menurut Rahim, laluan trek yang berukuran sepanjang empat kilometer itu sesuai bagi pemandu baru dan pertengahan yang ingin melangkah ke peringkat yang lebih lasak.

“Trek Bukit Cerakah Jaya sesuai untuk yang baru hendak bermula dan di peringkat pertengahan. Mereka bukan sahaja boleh merasai pengalaman menuruni cerun atau mendaki bukit yang tinggi, malah turut lengkap dengan kawasan berpaya.

“Selain laluan ekstrem, trek itu turut dilengkapi dengan laluan yang sederhana serta kawasan untuk mendapatkan bantuan seperti yang ada pada setiap trek 4×4 yang biasa,” katanya yang sebelum ini hanya beraksi di Lubuk Kawah, Tanjung Malim, Raub, Pahang atau Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.

Kini dengan adanya trek di Bukit Cerakah Jaya, penggemar sukan lasak dari serata lokasi boleh berkunjung ke trek tersebut untuk beraksi.

Posted March 7, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: