Pantai Puteri dilanda Malong

Oleh Nasir Abd Wahab dan Zulhilmi Hat
pix_gal0
LEBIH 10,000 pengunjung termasuk kira-kira 1,300 pemancing membanjiri Pantai Puteri, Melaka bagi memeriahkan dan menyahut cabaran Karnival Pra GP Joran 2011 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM46,500 pada 5 dan 6 Mac lalu.

Persiapan selama sebulan oleh tuan rumah nyata membawa banyak kelainan kepada Pantai Puteri apabila diberi pujian kalangan pengunjung dan pemancing yang terhibur dengan acara santai seperti permainan tradisional dan aktiviti jualan di gerai penaja.

Meskipun hanya 62 ikan dengan berat keseluruhan 19.39 kilogram dinaikkan, namun ia tetap memberi kepuasan kepada 40 pemenangnya yang membawa pulang habuan lumayan berupa wang tunai dan hamper barangan penaja.

Bagi Mohd Azlan Othman, 27, yang membawa pulang RM20,000 selaku juara, tidak menyangka malong membantunya muncul juara kerana pada awalnya hanya mensasarkan pari, selepas mengakui menjadi keliru dengan kehadiran begitu banyak malong di pantai itu pada pagi berkenaan.

Situasi serupa dihadapi dua rakan pemenang tempat kedua dan ketiga, iaitu Samsuri Sulaiman, 45, yang juga menaikkan malong untuk membantunya meraih RM10,000 selaku naib juara manakala Sahdeli Jeli, 28, agak bertuah apabila menang di tempat ketiga dengan jenahak seberat 0.90 kilogram.

Kemunculan sejumlah malong yang begitu banyak (27 ekor) pada sebelah pagi, mencemaskan kebanyakan peserta yang masing-masing bertarung mengelak kekeliruan apabila spesies sesirat turut mencelah sebagai pengacau.

Spesies sesirat amat dibenci setiap pemancing pantai mahupun laut kerana bau hanyirnya dikatakan boleh menjauhkan sama sekali spesies ikan yang diburu.
Kekalutan itu nyata menguji kemahiran kebanyakan peserta yang tali umpannya dibelit sesirat terpaksa memotong sebahagian tali pancing masing-masing bagi mengelak hanyir ikan itu melekat sekali gus menjauhkan ikan lain mendekati umpan.

Jika tahun sebelumnya, kebanyakan peserta diuji dengan kehadiran ikan buntal yang menggigit tali pancing peserta, kali ini mereka turut diuji dengan kehadiran sesirat yang mirip malong sehinggakan ada sesirat yang turut dihantar ke meja hakim untuk ditimbang meskipun ia tidak termasuk dalam kategori ikan yang dipertandingkan.

Situasi kembali normal menjelang jam 11 pagi apabila gelama, tetanda, daun baru, gerut-gerut dan jenahak mula menggetu umpan menyebabkan suasana kalut kembali reda dan tumpuan mengail ikan besar seperti pari kembali diberi tumpuan tetapi hampa apabila tiada seekorpun spesies berkenaan ditewaskan.

Posted March 21, 2011 by Keluarga82 in Berita

%d bloggers like this: