5 hari punggah ikan Burma Bank

Oleh Zulhilmi Hat
SYED BadliShah bersama tangkapan ikan gerepoh atau GT berskala 8 kilogram.

SYED BadliShah bersama tangkapan ikan gerepoh atau GT berskala 8 kilogram.

KEPUASAN memancing di perairan Laut Andaman seperti Burma Bank tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Meskipun kepenatan angkara menempuh perjalanan beribu-ribu kilometer, namun melihat hasil diperoleh, segala keletihan hilang kerana semua pengalaman berada di laut cukup berbaloi bahkan ada ketikanya tidak menang tangan menaikkan ikan bersaiz besar.

Baru-baru ini, seorang kaki pancing tegar dari Perlis Indera Kayangan yang mahu dikenali Syed Badlishah mengatur satu trip memancing di Burma Bank, Thailand bersama 12 anggota kumpulan selama lima hari ke sana.

Kunjungan Syed yang juga kerabat Diraja Perlis ke lubuk Burma Bank itu adalah kali ketiga selepas trip sebelum ini menyaksikan kira-kira satu tan setengah ikan gred ‘A’ berjaya dipancing.

Kali ini, Syed Badlishah sekali lagi mengetuai 12 pemancing dari negeri sama untuk menduga perairan yang terkenal kaya dengan pelbagai jenis ikan saiz besar.

Menceritakan pengalamannya kepada penulis, trip kali ini diatur hampir seminggu disebabkan enggan mengambil risiko berikutan jarak perjalanan dari Bukit Kayu Hitam, Kedah menuju ke lokasi memancing memakan masa hampir sehari semalam.

Setibanya di jeti Ranong, mereka menaiki bot memancing Polaris yang ditempah sebulan lebih awal. Bot ini menjadi pilihan kerana faktor keselamatan selain perkhidmatan tekong yang cekap dan layanan makan minum terbaik disediakan petugas bot sepanjang aktiviti memancing di sana.
Lubuk pertama yang dikunjungi kumpulan ini memakan masa hampir 11 jam. Ketika dalam perjalanan, masa banyak dihabiskan dengan merehatkan diri di kabin bot manakala waktu selebihnya digunakan untuk mempersiapkan joran dan mata kail.

Setibanya di Burma Bank, Syed Badlishah dan anggota kumpulannya memancing selama lima hari di lubuk ini. Aktiviti berlangsung siang dan malam yang memenuhi jadual mereka di mana dua kaedah memancing iaitu ‘jigging’ dan memancing dasar cukup sesuai di perairan bersempadan Myanmar ini.

Menurutnya, ikan kerisi, kerapu arang besar, wahoo, dan tuna sirip kuning yang beratnya hingga 10 kg setiap ekor dengan mudah dipancing di lubuk ini.

Katanya, ikan di sekitar perairan Burma Bank amat menggemari umpan isi ikan tongkol dan sotong segar. Mereka menggunakan kaedah apollo dengan dua mata kail bersaiz 6/0 dan dipadankan perambut 120 hingga 150 paun (lb).

Dari segi persediaan joran berkekuatan PE 2-4 dan 5-6 cukup ampuh menahan ikan bersaiz mega dengan dipadankan kekili elektrik susulan kedalaman lautnya yang mencapai 100 hingga 300 meter.

Katanya, tidak sampai dua minit umpan dilabuhkan, beberapa ikan kerisi dan kerapu bersaiz 5 kg hingga 7 kg dengan mudah dinaikkan.

“Bayangkan pula apabila kedua-dua tangkapan terbabit mencapai berat masing masing 7 kg, bahu saya seakan tercabut apabila menaikkan ikan walaupun menggunakan bantuan kekili elektrik,’’ katanya.

Beliau berkata, sepanjang lima hari berada dalam bot, mereka seakan-akan berpesta dan ikan yang dipancing ini disimpan ke dalam tong khas sebelum dipindahkan ke dalam lori muatan 3 tan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Setibanya di Malaysia, semua hasil tangkapan dibahagikan kepada 12 pemancing yang mengikuti trip ini untuk dijual atau sebaliknya.

Syed menambah, kepuasan memancing di Burma Bank tiada tandingannya dan beliau sedia mengetuai mana-mana trip ke sana pada masa depan

Posted April 14, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: