Kandungan gula tinggi dalam durian

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF


PERLAWANAN bola sepak Piala Amal Menteri Besar Perak yang berlangsung di Stadium Perak, Perak, baru saja lima minit bermula. Tatkala mood para pemain sedang berkobar-kobar untuk mengecapi kemenangan secara tiba-tiba semua yang berada di dalam stadium dikejutkan dengan insiden yang mencemaskan.

Bekas juara bina badan dan Mr. Asia enam kali, Datuk Malek Mohd. Noor, yang bermain pada posisi penjaga gol diserang sakit jantung. Bekas atlet berusia 57 tahun tersebut dilihat berpaut pada tiang gol gara-gara menahan kesakitan pada bahagian dada.

“Mula-mula saya berasa pening. Kemudian, sesak nafas sehingga saya rasakan badan semakin mengembang dan jersi mula mengetat terutamanya di bahagian perut. Oksigen saya pula pada waktu itu bagaikan tidak mencukupi dan membuatkan saya tercungap-cungap.

PENGAMBILAN durian secara berlebihan boleh memudaratkan penghidap diabetes.

“Sedangkan semasa melakukan sesi memanaskan badan sebelum perlawanan tubuh badan saya dalam keadaan baik saja. Saya boleh melompat dan berlari setempat,” jelas Malek ketika dihubungi Kosmo! mengenai situasi yang menimpanya sewaktu terlibat dalam perlawanan bola sepak antara Pasukan Pilihan Menteri Besar Perak dan Pasukan Legenda Negara baru-baru ini.

Ditebak soalan adakah dia menghidap masalah jantung, anak kelahiran Kampung Sri Gading Batu Pahat, Johor itu menidakkan sekeras-kerasnya. Sebaliknya, graduan dari Universiti Denver di Amerika Syarikat (AS) tersebut memberitahu, dia bebas daripada diabetes, darah tinggi apatah lagi penyakit jantung.

Atas faktor berkenaan, Malek yang menetap di Ampang, Selangor masih terkejut apabila doktor mengesahkan serangan jantung itu berpunca daripada dua saluran jantungnya yang tersumbat.

Sesak nafas

MALEK diserang penyakit jantung ketika mahu memulakan perlawanan bola sepak baru-baru ini.

“Paling mengejutkan, ada pula pihak yang mendakwa serangan jantung ini akibat saya makan buah durian sewaktu menyertai aktiviti melawat sebuah ladang buah-buahan di Ipoh, Perak anjuran Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb). Sukar bagi saya untuk mengiyakan dakwaan itu kerana doktor pun tidak mengesahkannya.

“Lagipun, pada hari itu saya hanya memakan empat ulas durian. Kemudian, disusuli pula meminum air kelapa dan menjamu selera dengan lauk-pauk yang lain,” tutur Malek yang pernah membintangi filem Rimba Malam sekitar tahun 1992 dalam nada suara yang masih lemah.

Kisah makan durian sehingga menjejaskan faktor kesihatan terhadap masyarakat tempatan bukanlah perkara baru. Pada tahun lalu, media melaporkan akibat terlebih makan durian, Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang mengalami kesesakan nafas sehingga mencemaskan para tetamu yang menghadiri jamuan Pesta Durian dan Promosi Daging Kambing di bangunan Parlimen.

“Sejak kecil saya sudah mengenali buah durian yang berkulit keras dan mengeluarkan bau yang kuat. Setiap tahun, tiba saja musim durian saya dan keluarga pasti pulang ke kampung ayah di Kuala Kangsar, Perak.

AMALKAN minum banyak air kosong bagi mengurangkan rasa panas badan selepas makan durian.

Di sana, kami berpeluang menikmati buah durian sepuas-puasnya kerana datuk mempunyai dusun yang luas.

“Seronok apabila makan beramai-ramai sehingga riuh-rendah di pekarangan dusun. Kadangkala kami adik-beradik bersaing siapa yang makan durian dalam kuantiti yang banyak. Setakat ini, saya mampu menghabiskan lebih enam biji durian pada satu-satu masa,” jelas penggemar tegar durian, Faridatul Husna Othman, 27, kepada Kosmo!.

Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur itu yang mesra disapa Husna, tidak cukup dengan menikmati buah durian di kampung, mereka sekeluarga pasti tidak melepaskan peluang membawa bekalan longgokan durian pulang ke Kuala Lumpur.

“Bagi saya keunikan durian terletak pada tekstur dan isinya yang lazat. Biarpun menyedari sesetengah individu kurang gemar pada bau durian tetapi itulah yang menjadikan durian antara buah-buahan tempatan yang istimewa.

TEMPOYAK salah satu produk daripada buah durian yang popular di kalangan masyarakat Melayu.

“Lagipun durian bukan saja enak dinikmati secara mentah malah ia boleh dimasak bubur, manisan, aiskrim, kek ataupun tempoyak yang dihidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan ulam-ulaman,” ujar Husna.

Walaupun pernah terbaca tentang beberapa individu yang jatuh sakit akibat makan durian, bekas pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Batu 4, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur itu tidak pernah gusar. Cerita Husna, sebenarnya ia bergantung kepada individu itu untuk menjaga diri sendiri.

Namun begitu, Husna mengakui bahawa pengambilan buah durian dalam kuantiti yang banyak membuatkan badannya berpeluh-peluh dan terasa panas. Bagi menghilangkan kepanasan tersebut dia mengatasinya dengan meminum banyak air kosong. Ini termasuklah mengikut petua nenek moyang supaya minum air putih yang diisi dalam kulit durian.

Minum banyak air

DURIAN amat tinggi kandungan karbohidrat yang secara tidak langsung meningkatkan paras gula dalam darah.

“Sukar untuk dijelaskan, keberkesanan minum air putih dalam kulit durian yang dapat meredakan kepanasan dalaman badan. Lagipun petua ini telah dipraktikkan secara turun-temurun.

“Pendapat peribadi saya, jika tidak mahu suhu badan terasa panas, janganlah makan durian umpama tiada esok bagi durian lagi,” saran peniaga durian, Mustafa Ali, 53, ketika ditemui di tapak bazar Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Menyentuh mengenai kepanasan badan gara-gara menikmati buah durian, pakar perubatan dan pernafasan Hospital Pantai Ampang, Dr. Zal Ab. Rahim memberitahu, buah durian mempunyai kandungan gula dan lemak yang tinggi. Jadi apabila individu memakan durian dalam kuantiti yang banyak maka ia mengganggu sistem metabolisme gula di dalam badan.

Kesan daripada peningkatan kadar metabolisme akan menghasilkan haba dalam badan.

“Bagi penghidap diabetes, jantung atau darah tinggi mereka perlu mengelakkan makanan yang manis, kandungan garam yang tinggi, berkolesterol dan berlemak. Durian antara buah yang mempunyai ciri-ciri itu.

“Cara untuk mengurangkan suhu dalam badan adalah dengan minum banyak minum air kosong,” jelas Zal.

Posted April 27, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: