Misteri telur hitam

Oleh Mohd Azis Ngah
  • Foto
  • Foto
  • TELAGA air panas kesan letusan gunung berapi.
  • Foto
  • WAKIL media dan Honda Malaysia berlatarkan Gunung Fuji.

Tak boleh makan lebih tiga biji

Jika di Malaysia ada telur pindang yang berwarna kehitaman, jangan terkejut jika anda bertemu telur seakan sama di sebuah bandar kecil di Jepun. Menariknya, telur ini yang direbus dalam telaga air panas bercampur tanah belerang kekal putih dan kuning di dalamnya. Lebih menarik, warga tempatan punya kepercayaan mistik iaitu jika makan sebiji telur ini mampu memanjangkan usia sehingga tujuh tahun. Penduduknya juga percaya kepada semangat gunung. Wartawan Edisi Mingguan, MOHD AZIS NGAH tidak melepaskan peluang merasai keistimewaan telur hitam Jepun ini ketika berkunjung ke Hakone, kira-kira 100 kilometer dari Tokyo

MENGUNJUNGI Hakone di daerah Ashigarashimo, Kanagawa, Jepun meninggalkan seribu kenangan indah buat penulis dan penuh rasa kagum bagaimana negara matahari terbit itu menjaga kepentingan ekosistem mereka.

Bandar kecil yang cuma mempunyai kira-kira 15,829 penduduk, kini menjadi tarikan utama pelancong ke Jepun kerana mempunyai kawasan mata air panas semula jadi yang menarik.

Tidak hairanlah setiap tahun kawasan yang diwartakan sebagai Taman Negara itu merekodkan kira-kira 20 juta pelancong setahun dengan purata lapan juta mengambil kesempatan bermalam di situ, memilih mana-mana satu daripada 600 hotel kecil yang ada.

Kedudukannya yang termasuk dalam lingkungan Taman Negara Gunung Fuji juga menjadi faktor tarikan kerana lebih 300,00 orang sudah menjejakkan kaki di puncak gunung kebanggaan rakyat Jepun itu. Sudah pasti mereka juga mengambil peluang melawat Hakone.

Sepanjang perjalanan dari Tokyo, kira-kira 100 kilometer dari Hakone, pengunjung pasti tertarik dengan keindahan semula jadi di kiri kanan jalan. Pengunjung mempunyai pilihan menaiki kereta api atau kenderaan persendirian menuju ke puncak.
Kawasan tumpuan utama ialah beberapa telaga kecil air panas yang mengeluarkan bau belerang sepanjang laluan ke puncak Hakone pada ketinggian 2,700 meter itu. Ketinggian berkenaan direkodkan sebelum puncak terbabit runtuh akibat letusan gunung berapi suatu ketika dulu.

Kisah mistik juga banyak di Hakone. Misalnya, keajaiban telur hitam yang menjadi kebanggaan dan daya tarikan pelancong di sini. Begitu juga dengan kepercayaan penduduknya terhadap semangat gunung.

Ia kini kawasan pelancongan kerana kesan runtuhan membentuk lurah yang cantik dan paling menarik tentunya telaga kecil air panas. Pengunjung berpeluang menjejak laluan telaga itu hingga ke pertengahan puncak yang turut menempatkan sebuah bangunan kecil khas untuk tetamu.

Satu daripada keunikan telaga air panas itu ialah ia turut digunakan pengurusan kawasan berkenaan untuk memasak telur ayam dan menjualnya kepada pelancong. Ia digelar telur hitam kerana hangus terbakar dalam air panas bercampur tanah belerang.

Walaupun kulitnya hitam, rasanya memang cukup enak dan isinya kekal putih.
Menurut kepercayaan orang Jepun, sebiji telur hitam ini mampu memanjangkan umur selama tujuh tahun tetapi mereka tidak boleh makan melebihi tiga biji seorang.

Penulis yang menyertai rombongan media bersama Honda Malaysia membuat liputan program ‘Honda Insight Eco Trip’ turut berpeluang merasai keenakan telur hitam terbabit yang dijual di kedai di kaki Gunung Hakone. Mereka menggunakan kotak khas mengisi telur sebelum ditarik menggunakan kabel ke puncak untuk direbus.

Di puncak, pengunjung dikejutkan dengan muzik tradisional mengasyikkan yang sebenarnya adalah lagu memuja semangat gunung. Berdasarkan cerita lisan, Hakone pernah disebut Gongen Hakone ketika era Heian dan direkodkan di Kuil Shinto.

Sepanjang Perang Gempei, Minamoto no Yoritomo berdoa di kuil itu untuk kemenangan ke atas musuhnya, selepas mengalami kekalahan di Pertempuran Ishibashiyama, kawasan yang bersempadan dengan Hakone ketika ini.

Sama seperti kawasan lain di Wilayah Sagami, daerah Hakone turut berada di bawah kawalan Keluarga Hojo, Odawara sepanjang tempoh pemerintahan Sengoku. Di awal zaman Edo, Hakone-Juku adalah stesen pos kawalan sempadan di jalan raya Tokaido yang menghubungkan Edo dengan Kyoto.

Selain kisah silam yang bagi sesetengah orang, mungkin agak sukar untuk difahami itu, Hakone sememangnya amat menarik untuk sesiapa saja yang berpeluang menjejak kaki di Jepun. Jika rezeki menyebelahi anda, berkunjunglah ke bandar ini dan pastinya jangan lupa mencuba keenakan telur hitam.

Info
Hakone

  • Keluasan 92.82 kilometer persegi.
  • Mendapat status bandar pada 1889.
  • Bergabung dengan lima bandar pada 1956 dan membentuk garis sempadan negara.
  • Pada 1876, diterima sebagai sebahagian Wilayah Ashigarashimo.
  • Pernah menjadi lokasi pos pemeriksaan sempadan Wilayah Kanto (Hakone sekisho)

Posted April 27, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: