Sebarau Pergau buat darah berderau

Oleh Zulhilmi Hat
HANIF berjaya menangkap sebarau Empangan Pergau, Jeli, baru-baru ini.

HANIF berjaya menangkap sebarau Empangan Pergau, Jeli, baru-baru ini.

EMPANGAN Pergau, di Jeli, Kelantan cukup sinonim dengan ikan sebarau dan tomannya yang bagak-bagak, justeru tidak hairanlah kedua-dua spesis ini menjadi buruan kaki mengilat dekat sana.

Apabila tiba musimnya, gerombolan ikan-ikan ini boleh dilihat timbul sambil mengejar anak-anak ikan yang menjadi diet utama makanan hariannya.

Baru-baru ini, enam rakan penulis dari Pantai Timur iaitu Hanif, Apen, Zainal, Ayoi, Fizi dan Joned mengatur satu trip memburu ikan ini di sekitar empangan hidroelektrik itu selepas mendapat kebenaran bertulis daripada pihak pengawalnya.

Musim tengkujuh menjadi pilihan mereka di mana pada masa ini ikan sebarau cukup pantang apabila melihat gewang yang dihulurkan.

Dua bot disewa dijadikan pengangkutan utama membawa enam sahabat ini seawal jam 7 pagi untuk menjelajah suak atau lubuk sekitar empangan.

Dengan kadar sewa RM150, enjin muatan 15 kuasa kuda mampu menjelajah hampir separuh empangan buatan manusia itu.

Cuaca pada pagi hari itu kelihatan mendung. Keadaan itu berlaku selepas hujan semalaman menyebabkan paras air di empangan ini naik mendadak.
Begitupun, keadaan ini bukanlah petanda yang buruk, malah membawa berita gembira kerana dikatakan sebarau dan toman akan lebih aktif dengan cuaca sebegini.

Setiba di lubuk Kayu Mati, Hanif yang sudah bersedia dengan joran Abu Fantatista Yabai 4-12 paun (lb) membuat balingan ke arah kumpulan sebarau yang bermain di gigi air.

Beliau yang tidak sempat membuat karauan pertamanya terus disergah mangsa yang tidak teragak-agak menyambar gewang jenis selaman dalam berwarna oren miliknya.

Beliau yang bersedia dari awalnya menyentap kuat jorannya dan kemudian mangsa membawa lari gewang ke kawasan terbuka.

Hanif yang sudah faham dengan kerenah ikan sebarau ini cuma menahan ‘drag’ pada kekili menegak Shimano Conquest Calcutta sambil membuat kayuhan cepat.

Akhirnya sebarau berskala satu kilogram (kg) berjaya dinaikkan yang menandakan tangkapan pertama pada hari itu.

Tidak lama selepas itu, giliran Apen dan Joned yang berada di bot lain turut menaikkan spesis sama secara serentak selepas membuat balingan pada kawasan sebarau yang muncul mengejar anak-anak ikan. Fizi hanya memperoleh seekor toman remaja yang mengejar gewang permukaan jenis Yozuri 3D berwarna oren miliknya.

Lubuk seterusnya yang tidak jauh dari lubuk Kayu Mati menjadi destinasi kedua. Hanif menyatakan kumpulan lain yang pernah datang ke Lubuk Ular ini berjaya menaikkan sebarau atau badong bersaiz lebih 5 kg.

Hanif membuat balingan menggunakan gewang Smith Panish 65DD ke arah rumput timbul tidak menunggu lama apabila jorannya melengkung ‘U’ diasak mangsa dipercayai sebarau.

Selepas berhempas pulas kira-kira 5 minit, sebarau berskala 2.26 kg berjaya dinaikkan. Tangkapan itu menamatkan trip musim tengkujuh mereka pada hari itu.

Pada trip kali ini sebanyak 14 ekor sebarau dan empat toman berjaya dinaikkan dan sebahagiannya dilepaskan kembali selaras dengan konsep tangkap dan lepas oleh kumpulan ini.

Hanif yang dihubungi penulis berkata, memancing di empangan Pergau tidaklah sehebat memancing di empangan lain.

Walaupun begitu, sekiranya kena pada musimnya mereka yang sering ke sini tidak menang tangan menaikkan sebarau bersaiz sekilogram ke atas.

Justeru, katanya mereka yang berhasrat berkunjung ke sini digalakkan membawa bot sendiri ekoran perkhidmatan bot sewa yang disediakan adalah terhad.

Posted April 27, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: