Tanjung Leman banyak lubuk pancing

Oleh Nasir Abd Wahab
PEMANDANGAN satelit kawasan memancing yang kaya lubuk ikan gred A di sekitar perairan Tanjung Leman, Mersing yang bakal menjadi tuan rumah Karnival GP Joran pada 7 dan 8 Mei ini. Gambar kecil, bot pancing di sekitar Tanjung Leman bersedia membawa pemancing menduga ikan di beberapa lubuk sekitar Pulau Sibu, berhampiran Tanjung Leman.

PEMANDANGAN satelit kawasan memancing yang kaya lubuk ikan gred A di sekitar perairan Tanjung Leman, Mersing yang bakal menjadi tuan rumah Karnival GP Joran pada 7 dan 8 Mei ini. Gambar kecil, bot pancing di sekitar Tanjung Leman bersedia membawa pemancing menduga ikan di beberapa lubuk sekitar Pulau Sibu, berhampiran Tanjung Leman.

PELBAGAI lubuk di sekitar luar perairan pulau di Mersing menanti kaki pancing.
Habuan yang menanti rata-rata ikan karang gred A seperti ketarap, kaci, jenahak,
merah dan ebek selain tenggiri.

Spesies itu yang dalam lingkungan 2 hingga 5 kilogram, adalah yang lazim dibawa pulang pemancing yang boleh menginap di Tunjuk Laut Beach Resort, Tanjung Leman atau menikmati percutian lebih tenteram di Sibu Island Resort.

Tunjuk Laut mempunyai 25 unit resort manakala Sibu Island menyediakan 121 bilik.

Resort pulau itu terletak di Pulau Sibu Tengah dengan kira-kira 30 minit perjalanan menaiki katamaran atau 15 minit dengan bot laju dari Jeti Tanjung Leman.

Kedua-dua resort itu menyediakan pakej memancing dengan harga berpatutan.
Kalangan operator bot pancing di situ pula mengenakan caj RM600 untuk sehari, dua hari satu malam (RM900) dan tiga hari dua malam (RM1,400).
Jeti Tanjung Leman adalah pintu masuk pelancong ke Laut China Selatan khususnya yang mahu meneroka percutian termasuk memancing di gugusan pulau – Sibu Besar, Sibu Tengah, Sibu Kukus dan Sibu Hujung selain Pulau Tinggi, Pulau Aur, Pulau Dayang, Pulau Aur, Pulau Rawa dan Pulau Pemanggil.

Kompleks jeti itu dibina oleh Johor Corporation (JCorp) pada 1997 dan diuruskan Damansara Asset Sdn Bhd, yang juga anak syarikat JCorp. Ia menyediakan pelbagai kemudahan di situ termasuk premis menjual makanan dan minuman, cenderamata, barangan runcit serta restoran KFC.

Seorang pengusaha bot pancing di situ, Samidin Ibrahim, 47, berkata gugusan pulau di Mersing termasuk berhadapan Tanjung Leman ada lubuk yang sedia diteroka
pelancong.

Antaranya Lubuk Batu Ibang yang terletak di belakang Pulau Tinggi kira-kira
sejam perjalanan dari Sibu Island Resort atau 30 minit jika menaiki bot laju.

Katanya, lubuk lain ialah Murau, Kapal Lama serta karang Pulau Tinggi manakala di Pulau Lima misalnya, pemancing boleh mengunjungi Tokong Sanggul, Tokong Rakit dan Tokong Cupak selain beberapa unjam di sekitarnya.

Di perairan Tanjung Leman juga terdapat pengusaha kelong yang menjadi tumpuan
kaki pancing.

Tip memancing yang boleh dikongsi dengan beliau ialah umpan dan teknik serta melihat keadaan arsu dan cuaca.

“Gunakan umpan udang hidup kalau memancing sebelah siang untuk mencari ebek.
Ikan ketarap pula aktif makan sebelah pagi,” katanya.

Katanya, ikan karang seperti merah, kaci dan jenahak juga boleh dipancing sebelah siang menggunakan umpan udang hidup.

Namun, jika memancing sebelah malam menggunakan sotong hidup dan kena tekniknya, pemancing boleh membawa pulang ikan yang lebih besar kerana spesies bersaiz itu dikatakan lebih aktif sebelah malam.

Beliau yang mempunyai empat bot untuk disewa dan boleh memuatkan
maksimum 12 pemancing.

Bot Samidin dilengkapi tandas dan dapur untuk keselesaan pelanggannya.
“Awak-awak sedia masak nasi dan lauk seperti asam pedas atau ikan goreng yang
dibawa pemancing. Kami hanya menyediakan air batu,” katanya.

Hubungi Tunjuk Laut Resort di talian 07-7913002 atau Sibu Island Resort 07-2199805 untuk pertanyaan dan tempahan bilik. Layari laman web http://www.tunjuklautresort.com atau Facebook/tunjuklaut resort

Posted April 27, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: