Udang galah Kuala Selangor menjelma

Oleh Zulhilmi Hat

Soffan menunjukkan udang galah bersepit biru yang berjaya dipancing.

Soffan menunjukkan udang galah bersepit biru yang berjaya dipancing.

MELIHAT berpuluh joran tersusun rapi atas sampan di sekitar sungai Kampung Sepakat dan Kampung Kuantan, di Kuala Selangor, adalah fenomena biasa ketika kena pada musim udang galah galak memakan umpan.

Ini ditambah pula, cuaca panas dan keadaan air mati yang menyebabkan berpusu-pusu kaki pancing sekitar Lembah Klang tidak melepaskan peluang memancing spesies Macrobranchium rosenbergii.

Baru-baru ini tiga sekawan iaitu Soffan, Helmi dan Heiry yang baru berjinak-jinak dalam arena memancing udang galah mengaturkan satu trip memancing udang galah di sekitar Kampung Sepakat, dekat sini.

Kunjungan mereka adalah sekadar ingin mencuba apabila rakan lain yang memberitahu memancing dekat sungai di sini pasti tidak membawa balik tangan kosong.

Sejurus tiba di jeti Kg Sepakat, sebuah bot sudah disewa seminggu awal daripada Wak Aris Gondol menunggu di jeti sungai. Bot yang dikenakan sewa RM40 hingga RM50 sehari tanpa jurupandu dan minyak petrol perlu dibawa sendiri itu mampu memuatkan dua hingga tiga pemancing saja.

Selepas memunggah barang selesai, bot sepanjang 15 kaki dengan kapasiti enjin bot lima kuasa kuda bergerak ke lubuk seperti diperkatakan oleh Wak Aris.

Wak Aris berpesan, lubuk udang galah boleh dikenal pasti melalui kawasan teluk bereba yang berair tenang dan apabila tiba di situ matikan enjin bot dan dayung perlahan-lahan bot hingga berada di atas lubuknya.
Tiga sekawan itu yang sudah bersedia dengan umpan udang putih dan ikan guppy yang digaul belacan bergegas melabuhkan enam joran sekali gus joran di bibir bot.

Tidak sampai 5 minit, joran Soffan mula melentur perlahan yang menandakan udang galah menggetu umpan. Perlahan Soffan mengarau jorannya perlahan-lahan kerana bimbangkan udang akan terlepas.

Akhirnya, udang galah bersaiz 200 gram (g) dengan sepit berwarna biru berjaya dinaikkan yang menjaminkan mereka tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Belumpun, Soffan meletakkan joran kembali di bebir bot, dua batang joran Hairey yang diletakkan di belakang bot pula di getu mangsa. Beliau cepat-cepat mendapatkan jorannya sambil dibantu Helmi.

Mereka berdua mengarau joran masing-masing dengan merendamkan hujung joran di dalam air bagi mengurangkan hujung lenturan tujahan udang yang begitu kasar.

Tidak sampai seminit ‘bermain’ dengan mangsa, dua ekor udang sekali gus berjaya dinaikkan yang menjadi pelengkap lesen untuk hari itu.

Aksi tarik dan mengarau joran berlangsung hingga setengah jam apabila udang galak memakan umpan. Mereka bertiga tidak menang tangan menaikkan udang dan ikan duri yang boleh dikatakan ‘ramah’ memakan umpan yang dilabuhkan.

Selepas keadaan sunyi sepi dan matahari yang semakin meninggi, Soffan bergerak ke lubuk seterusnya ke hulu sungai.

Mengingatkan pesan Wak Aris, udang galah sentiasa bergerak mengikut pasang surut air untuk mencari makanan dan mereka tidak boleh tertumpu pada satu lubuk saja.

Lusteru, lubuk berdekatan pokok nipah di sepanjang sungai Kg Sepakat menjadi destinasi seterusnya tiga sekawan ini memancing kali. Soffan, Helmy dan Heiry masing-masing bergegas melabuhkan joran di kawasan redup di mana udang dikatakan berkumpul di kawasan ini untuk ‘berehat’.

Telahan mereka tidak memihak apabila ikan duri banyak mencuri umpan berbanding udang yang di buru. Memandangkan keadaan ini berterusan Soffan mencadangkan mereka pulang saja memandangkan air mula pasang yang menunjukkan ikan lebih aktif mencari makanan berbanding udang.

Setibanya di jeti, kira-kira 20 ekor udang berjaya dipancing yang rata-ratanya bersepit biru. Tersenyum puas tiga sekawan ini walaupun baru berjinak-jinak dengan aktiviti memancing udang ini.

Posted April 27, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: