Laman Padi gamit seribu kenangan

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD

Keseronokan aktiviti menyerkap ikan juga merupakan antara tarikan utama bagi pengunjung di Laman Padi, Langkawi.

Melangkah masuk sahaja ke Laman Padi, Langkawi, mata terus melirik kepada peralatan dan gambar-gambar lama yang dipamerkan.

Peralatan seperti bajak, tampi padi, serkap ikan, bubu, tong membanting padi, pengisar dan pelbagai varieti benih pasti mengimbau kenangan lama.

Bagi mereka berasal daripada kampung yang pernah hidup dikelilingi pemandangan indah sawah padi, kenangan zaman kanak-kanak pasti menerjah memori.

Masakan tidak, ‘hamparan’ sawah yang dipenuhi padi menguning pastinya mengembalikan kenangan sewaktu remaja di mana kita keriangan mengejar ikan haruan dan betuk di dalam petak sawah setelah padi dituai.

Pengalaman mengayuh basikal tua sambil meniti batas sawah juga tidak mungkin luput di ingatan.

Apatah lagi jika basikal tua yang ditunggang tergelincir dan jatuh terjelepok ke dalam sawah yang dipenuhi lumpur.

Kini semuanya hanya tinggal kenangan, namun memori kampung halaman dan sawah padi akan terus segar di ingatan.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan merasai pengalaman bersawah, Laman Padi atau yang lebih dikenali sebagai Muzium Laman Padi menawarkan pengalaman bagaimana hidup seorang pesawah.

Bermula daripada menanam, membanting, menumbuk, mengisar, menampi padi sehinggalah menyerkap ikan keli, aktiviti tersebut kini tersedia untuk anda.

Malah bagi mereka yang lahir di bandar, Laman Padi ini menawarkan suasana sebenar bagaimana masyarakat Melayu mengusahakan sawah padi zaman dahulu.

Menurut Penolong Pegawai Kurator Laman Padi, Nor Farni Mod Famy, pusat tersebut mula beroperasi pada tahun 1998. Laman Padi itu berkeluasan 8.6 hektar, merangkumi kawasan pertanian seluas lima hektar berkonsepkan alam semulajadi dan suasana kampung.

“Objektif asal penubuhannya adalah sebagai produk pelancongan berasaskan pelancongan tani, melibatkan budaya dan tamadun masyarakat Melayu dalam aktiviti penanaman padi.

“Laman Padi juga berfungsi sebagai pusat pengembangan pelbagai guna seperti penyelidikan dan penerangan,” ujarnya ketika ditemui sempena Lawatan Media bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) baru-baru ini.

Antara kemudahan yang boleh dikunjungi adalah Galeri Padi di mana pengunjung berkesempatan menikmati pemandangan sawah atas bangunan yang ditanam secara bertingkat.

Juga Laman Herba bagi pengunjung mengenali dan mempelajari pelbagai jenis tanaman herba yang boleh menyembuhkan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.

Selain itu, turut disediakan Laman Variasi yang mana pengunjung boleh menyelami kehidupan petani dan menghayati kehijauan sawah dengan mengharungi lumpur dalam petak sawah yang disediakan.

Malah, pengunjung juga boleh menyertai aktiviti-aktiviti di sawah sebagaimana yang dilakukan oleh pesawah dalam kehidupan harian mereka.

Dengan bayaran RM3 seorang untuk pelancong tempatan manakala RM5 untuk pelancong asing, segala aktiviti yang berkaitan sawah dapat anda rasai.

Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan adalah mencabut semaian anak padi dan menanamnya di petak sawah yang telah disediakan.

Ia merupakan cara menanam padi seperti mana yang dilakukan oleh petani. Malah pengunjung juga berkesempatan membajak sawah menggunakan kerbau, menyerkap ikan dan mempelajari cara menyemat atap.

Segala aktiviti tersebut juga tersedia dalam kaedah tradisional dan juga moden.

Jelas Nor Farni, padi ditanam secara berperingkat-peringkat bagi memastikan tanaman tersebut sentiasa ada untuk tujuan lawatan dan penyelidikan.

“Ia tidak sama seperti musim menanam dan menuai padi sebenar yang dilakukan oleh petani iaitu hanya dua kali setahun,” jelasnya.

Bagi pengunjung yang sedang merancang untuk bercuti di Langkawi, Laman Padi ini patut dimuatkan dalam senarai untuk dilawat bersama ahli keluarga.

Posted April 28, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: