Kerapu boron Pulau Jarak

Oleh Zulhilmi Hat
INDRA bersama ikan kerapu boron bersaiz 10.9 kg yang dipancing menggunakan umpan sotong.

INDRA bersama ikan kerapu boron bersaiz 10.9 kg yang dipancing menggunakan umpan sotong.

PULAU Jarak di Perak boleh dikatakan kawasan memancing yang sangat mencabar dan paling cerewet sekali oleh kaki pancing yang sudah biasa ke sana.

Selain terpaksa melalui cuaca yang tidak menentu, cabaran yang paling utama sekali ialah untuk mendapatkan hasil yang terbaik cukup sukar kerana ikan di sekitar perairan ini begitu cerewet untuk memakan umpan jika tidak kena dengan caranya.

Justeru pemilihan umpan yang ‘serasi’ amatlah penting untuk menjinakkan mangsa yang kebanyakan dihuni spesies gred A seperti jenahak dan kerapu boron (gelaran ikan kerapu bersaiz besar).

Baru-baru ini, satu trip selama empat hari tiga malam ini di sertai oleh Akasah, Fahiz, Ptit dan 12 rakan pemancing dari lembah Klang untuk menduga perairan Pulau Jarak, dekat sini sebagai persiapan menyahut cabaran di Karnival GP Joran di Tanjung Leman.

Menurut Akasah, perjalanan mereka bermula dari jeti LKIM Lumut, menuju ke Pulau Jarak yang memakan masa hampir enam jam dengan menaiki bot Seagull yang terkenal di kalangan pemancing sekitar negeri utara ini.

Katanya, sepanjang perjalanan bot dinaiki mereka beberapa kali berhenti di lubuk untuk proses mencari umpan sotong hidup yang dikatakan umpan paling berkesan memancing ikan dekat sini berbanding umpan isi ikan.

“Memancing di Perairan Pulau Jarak, selain menghadapi perjalanan yang lama, pemancing juga hendaklah berjaga sepanjang malam kerana ikan di Perairan Pulau Jarak ini lebih aktif memakan umpan pada lewat malam.
“Umpan yang menjadi pilihan ikan-ikan di sini ialah umpan sotong hidup yang di candat berhampiran bot. Isi ikan dan umpan lain juga boleh di gunakan tetapi di dapati kurang berkesan berbanding sotong hidup,” katanya ketika dihubungi wartawan JORAN.

Mengulas lanjut, Akasah menceritakan nasib mereka pada hari pertama dan kedua mereka memancing di perairan pulau Jarak menyebelahi kumpulannya kerana cuaca buruk dan arus laju yang hingga amat menyukarkan mereka melabuhkan umpan dan batu ladung.

“Bayangkan batu ladung bersaiz 24 senang-senang dibawa jauh oleh arus. Hasil kami ketika itu amat mengecewakan dan hanya beberapa ekor jenahak dan merah yang berjaya dinaikkan.

“Umpan yang dicari dari awalnya habis dikerjakan ikan kecil dan ikan sasaran kami iaitu kerapu boron masih belum kelihatan yang mungkin disebabkan faktor cuaca buruk ini,” katanya.

Katanya lagi, pada malam terakhir nasib menyebelahi mereka apabila kelihatan gerombolan sotong hidup berkeliaran berhampiran bot apabila cuaca kembali reda.

“Pada malam itu kami berpesta mencandat sotong untuk dijadikan umpan berkesan menjerat kerapu boron. Dengan adanya stok sotong hidup yang banyak, kami telah menerima asakan kerapu boron bertubi-tubi tanpa henti pada malam itu.

“Satu persatu kerapu boron berjaya dinaikkan. Salah seorang rakan kami iaitu Indra menjadi yang paling bertuah ketika itu kerana berjaya menaikan kerapu boron yang terbesar yang bersaiz 10.9 kilogram (kg),” katanya.

Tambahnya, semakin besar umpan yang mereka digunakan, semakin besar peluang menaikkan kerapu boron bersaiz bagak.

“Memang betul kata tekong, ikan kerapu boron cukup cerewet memilih umpan hinggakan kami yang menggunakan sotong sotong bersaiz besar dan dapat ikan pun bersaiz besar,” katanya.

Sehingga malam malam terakhir itu, kumpulan ini berjaya menaikkan lebih sepuluh ekor kerapu boron yang bersaiz bagak. Cukup untuk memenuhkan tong ikan milik mereka.

Kata Akasah lagi, pengalaman menaikkan ikan kerapu boron cukup meletihkan kami hingga set memancing yang baru si beli hampir ‘terbarai’ dikerjakan ikan kerapu ini.

“Kami pasti akan ke sana lagi selepas ini walaupun tahu cerewet ikan kerapu boron ini boleh dipujuk dengan umpan sotong hidup,” katanya.

Posted May 13, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: