Lubuk Mersing tak mengecewakan

Oleh Nuri Angkasa
TENGGIRI tunggal Unjam Tengah milik penulis (kiri) berjaya mengubat kehampaan selepas trip memancing di Pulau Aur gagal mencapai sasaran.

TENGGIRI tunggal Unjam Tengah milik penulis (kiri) berjaya mengubat kehampaan selepas trip memancing di Pulau Aur gagal mencapai sasaran.

JIKA ada gelaran wira laut, maka kumpulan pemancing Tuna Biru (Tengo Bravo) yang berpangkalan di ibu kota paling layak menerimanya.

Apa tidaknya, ketika amaran laut bergelora pada hujung musim Tengkujuh masih dikeluarkan Mac lalu, geng Tuna Biru sebaliknya mengintai peluang memancing di perairan Mersing selepas Tekong Taib membisikkan pedomannya agar turun ke gelanggang pancing di perairan itu.

Percaya dan yakin dengan pengalaman luas tekong itu, tanpa berlengah, jadual dan tarikh memancing ditetapkan penulis lalu bersama rakan geng Tuna Biru menuju ke jeti nelayan Kampung Sungai Dua Mersing seawal pagi yang ditemani angin timur bertiup lembut.

Penulis yang merangka program ekspedisi memancing 3 hari 2 malam amat mengharap agar cuaca sebaik ketika itu kekal hingga tamat misi menawan tenggiri tercapai meskipun segelintir nelayan di situ sendiri enggan mengambil risiko ketika cuaca di perairan itu kerap berubah ketika malam.

Sasaran pertama ialah beberapa lubuk sekitar Pulau Besar dan Pulau Hujung, Mersing yang dipercayai ketika itu menjadi lubuk gerut-gerut, tebal pipi dan ibu gelama memburu makanan sekitarnya.

Lokasi itu dipilih kerana memiliki dasar yang berlumpur, pasir dan karang rendah yang menjadi lubuk kawanan ikan gred mahal bersarang manakala sedikit umpan sotong segar dan isi ikan kembung dan selayang segar yang dibawa dikatakan bakal mengamit selera ikan gerut-gerut, jenahak dan tambak yang lapar pada waktu pagi.

Dengan kedalaman air kira-kira 40 meter dengan arus sederhana membuat kami dapat bertahan lama di lokasi pertama, meskipun tanpa tangkapan lumayan lantas Tekong Taib berubah haluan menuju ke Pulau Bahara untuk memburu merah suman pula.
Menjelang matahari terbit keesokannya, kami sudah meninggalkan perairan Pulau Besar, Pulau Hujung dan Pulau Batu Bahara menuju ke Pulau Tioman pula dengan harapan menebus kehampaan awal.

Selepas bergerak selama sejam 30 minit, semua geng Tuna Biru terlelap sehinggalah tiba di unjam berdekatan muara kampung Juara Pulau Tioman yang membuatkan semangat kami pulih selepas mata apollo yang dihulurkan penuh dengan ikan kecil meskipun ikan selar yang dihajati berkurangan di situ.

Tanpa membuang masa, kami beralih ke Unjam Tengah antara Pulau Tioman dengan Pulau Pemanggil lantas memperoleh beberapa selar aktif yang kemudian dicangkuk di mata kail penulis sebagai umpan hanyut.

Selar menjadi pilihan utama dijadikan umpan kerana sifatnya yang lasak dan mampu bertahan berjam-jam sebagai umpan hanyut meskipun dipercayai menanggung kesakitan angkara dicangkuk mata kail.

Tidak disangka selar hidup itu berjaya melebarkan harapan rakan pancing lain apabila selar hidup disambar ganas tenggiri dan akhirnya berjaya didaratkan selepas hampir lima belas minit bertarung.

Sebelah malamnya, kami berada di satu lokasi jauh ke utara Pulau Pemanggil dengan lubuk karang semula jadi dan kedalaman air kira-kira 75 meter.

Sebaik sauh di turunkan, kami mula menurunkan umpan melalui pancing dasar. Kami serentak menerima henjutan tapi tidak berlaku tindak balas, manakala umpan tidak sedikit pun terjejas.

Melihat keadaan ada yang tidak kena di kawasan itu tekong Taib berpindah ke lokasi lain dengan jarak satu jam perjalanan menuju arah ke pulau Aur pula, namun lokasi kegemaran yang dianggap dapat menebus kehampaan sebelum ini rupanya kekal dalam dilema yang sama, cuma ikan kecil seperti di unjam saja yang mengisi harapan.

Selepas dilanda siri kegagalan, maka penulis bersama rakan membuat keputusan untuk menamatkan ekspedisi itu lebih awal kerana keadaan cuaca mula berubah, apa pun rezeki ketika pulang ke Mersing antara Pulau Rimau memberikan harapan cerah apabila seekor tenggiri saiz 7 kilogram berjaya didaratkan melalui teknik pancing tunda (trolling).

Apapun, selepas berbincang, kami dapati musim sesuai memancing di situ bermula April dan seterusnya kerana mulai Julai, musim sotong sekali gus suasana memburu ikan merah kembali meriah manakala pemilik bot tidak menang tangan melayani tempahan pemancing.

Posted May 13, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: