GenKimo untuk tanaman dan ternakan

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar ASWAD YAHYA
Dr. Ramli dan Timbalan Pengarah Perhubungan Industri , Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Dr. Mohmad Mustafa membakar ayam yang diternak menggunakan GenKimo bagi tujuan uji rasa.

TAHUN lalu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengukir nama apabila Pegawai Penyelidik Program Pemakanan Ternakan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Dr. Ramli Mohd. Noor berjaya menghasilkan GenKimo atau dalam bahasa Jepun bermaksud mikroorganisma setempat yang sihat.

“GenKimo merupakan produk probiotik mengandungi mikroorganisma hidup yang terdiri daripada bakteria kecil satu sel.

“Ini termasuk lactobacillus, yis dan bakteria fotosintetik,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di MARDI Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Mendapat pendidikan lanjutan di negara matahari terbit, Dr. Ramli juga menjalankan pelbagai kajian mengenai makanan ternakan bagi ruminan serta unggas.

Kini produk berkenaan berjaya dikomersialkan setelah memenangi pelbagai anugerah di dalam serta luar negara seperti di Pingat Emas semasa Pameran BioMalaysia 2008 dan Pingat Perak semasa SITF 2009 di Seoul, Korea Selatan.

GenKimo dihasilkan melalui proses penapaian dan pemencilan secara semulajadi yang menggunakan 100 peratus bahan organik tempatan.

Dr. Ramli berkata, teknologi GenKimo berasal daripada Korea menggunakan hanya tumbuhan dan mikrob serta boleh diklasifikasikan sebagai produk halal.

Menggunakan bakteria berfaedah, enzim dan asid organik, GenKimo dapat membantu meningkatkan kesihatan dalam ternakan, kualiti persekitaran, daya tumbesaran pada tumbuhan serta ketahanan terhadap penyakit.

“GenKimo bermula dengan pemprosesan silaj bagi memaksimumkan penapaian nutrien asli yang ada dalam tanaman foraj (daun) atau sisa industri pertanian,” katanya.

Secara asasnya, penapaian silaj berlaku secara biasa di bawah keadaan anerobik (tanpa oksigen) dengan kehadiran bakteria yang ada pada tanaman.

Bagaimanapun dalam bidang bioteknologi bilangan inokulan silaj atau bahan tambahan silaj akan ditambah bagi meningkatkan nutrien dan tenaga.

Bagi pelbagai aplikasi, Ramli menghasilkan tiga jenis GenKimo iaitu GenKimo 1 bagi penternakan dan tanaman, GenKimo-bio bagi makanan ternakan dan GenKimo-composeed.

GenKimo-1 bagi ternakan dalam bentuk cecair pribiotik bagi minuman ternakan.

Hanya setitik diperlukan dalam minuman ternakan bagi mengurangkan bau, merawat bahagian dalaman, meningkatkan pencernaan, mengurangkan penyakit dan meningkatkan suhu semasa musim hujan.

“Kajian di ladang ternakan unggas yang menggunakan GenKimo mendapati kadar kematian adalah rendah berbanding yang tidak menggunakannya,” katanya.

Ramli berkata, GenKimo-bio merupakan makanan aditif (tambahan) ternakan yang mengandungi bahan pribiotik dan enzim.

“Produk yang kos efektif ini, boleh digunakan dengan selamat kerana tidak mengandungi bahan toksik.

“Ia juga berupaya meningkatkan metabolik asas, tahap kesihatan, menjamin peningkatan berat badan harian serta kecekapan kadar pertukaran makanan,” katanya.

GenKimo-bio juga dapat mengurangkan bau busuk, kos rawatan dan stres pada ternakan.

Produk GenKimo-composeed atau baja dalam bentuk serbuk mengandungi koloni bakteria terpilih pengurai bahan organik dan pengaktif mikrobial tanah.

Dr. Ramli berkata, produk berkenaan mampu menghasilkan baja organik bermutu tinggi serta mengekalkan mikrob efektif yang mampu memperbaiki kerosakan dan mengembalikan kesuburan fizikal, kimia dan biologi tanah.

Bukan itu saja, malah semasa uji rasa ayam dan ikan tilapia yang menggunakan GenKimo mendapat sambutan menggalakkan di kalangan kakitangan MARDI.

Rata-rata mereka memuji kelazatan ayam dan ikan yang menggunakan GemKimo yang disifatkan berbeza dengan yang lain.

Posted May 20, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: