Snek biji rambutan

Oleh Puteri Murni Salleh Hudin dan Muhammad Hairi Hussain
Mohamad Azli Razali menunjukkan snek biji rambutan serta pingat yang dimenanginya.

Bermula daripada tergigit biji rambutan secara tidak sengaja, seorang penyelidik Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya menghasilkan snek berkhasiat daripada biji rambutan.

Snek yang dipanggil Rambuseed Florentine menggunakan 40 peratus biji rambutan yang telah dikeringkan sebagai bahan utama.

Penyelidik terbabit, Mohamad Azli Razali yang merupakan pensyarah di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan menyatakan bahawa Florentine adalah sejenis manisan yang berasal dari Itali.

Manisan tersebut terdiri daripada pelbagai jenis kacang seperti badam, walnut dan hazel dan disaluti dengan gula karamel.

Beliau yang juga merupakan juara pertandingan realiti memasak “Maggi Mencari Bintang” telah mengadaptasi makanan Itali tersebut mengikut selera tempatan.

Keunikan produk ini adalah ia menggunakan bahan terbuang. Ini kerana kebiasaannya biji rambutan tidak dimakan dan akan dibuang begitu sahaja.

Justeru, penggunaan biji rambutan untuk snek ini dilihat sebagai salah satu cara untuk mengoptimumkan penggunaan biji rambutan.

Selain daripada itu, penggunaan biji rambutan yang telah dikeringkan dapat mengurangkan kos pembuatan snek tersebut.

Ini kerana kacang seperti badam, walnut dan hazel adalah mahal memandangkan kacang tersebut diimport dari luar negara.

Lebih istimewa, meskipun rambutan merupakan buah-buahan yang bermusim, biji rambutan boleh dikeringkan dan disimpan bagi memenuhi permintaan di luar musim buah rambutan.

Snek ini juga terbukti mampu dijadikan sebagai makanan kesihatan.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Solis-Fuentes et al., 2010 daripada Journal Bioresource Technology menyatakan bahawa biji rambutan mengandungi nutrisi seperti protein (7.80%) karbohidrat (46%), serat (11.6%) selain mengandungi asid lemak seperti oleic (40.3%), arachidic (6.1%), palmitic (7.1%) dan stearic (6.3%).

Asid oleic dan Asid Stearic mampu mencegah penyakit berkaitan jantung.

Produk unik ini telah memenangi pingat gangsa di pertandingan rekacipta Inventions, Innovations and Design (IID) peringkat UiTM.

Produk ini telah mendapat maklum balas yang baik daripada pengunjung yang menghadiri pertandingan itu.

Rasanya yang rangup, lemak manis dan sedap menjadi tarikan kepada orang ramai.

Azli yakin produk ini akan mendapat sambutan sekiranya dipasarkan kerana pelbagai snek kacang yang telah berada dipasaran tetapi belum ada pihak yang menghasilkan snek daripada biji rambutan ini.

Posted May 20, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: